Sunday

Apa Ada Dengan Kata-Kata? Fikir Semula...

Ungkapan ini memang selalu kita dengar. Diulang ribuan kali malah mungkin setiap hari. Actions Speak Louder than Words. Namun, walaupun ia dilaungkan oleh ramai, ada juga segelintir manusia yang tidak berpegang kepada ungkapan keramat ini. Mungkin ada di antara kita yang pernah melalui keadaan di mana kata-kata itu hanyalah mainan bibir yang tidak memberikan apa-apa makna, juga kata-kata yang hanya dihamburkan tanpa membawa apa-apa bukti dengan perbuatan. Dengan erti kata lain, ada segolongan manusia yang gemar berjanji dan berkata-kata namun perbuatannya kontra sama sekali dengan janji atau ungkapan yang terkeluar dari mulutnya. 

Bukan itu sahaja, jika kata-kata yang diucap tidak dimanifestasikan dengan perbuatan, maka sia-sialah jadinya kata-kata itu bak kata orang putih ia menjadi meaningless, tidak bermakna sama sekali. Pernah satu ketika di dalam kehidupan, saya acap kali mengungkapkan kata-kata ini seolah sudah menjadi satu kemestian. Prove what you say with your actions. Saya pernah menghadapai karenah manusia yang gemar bercakap dan berjanji, namun perbuatannya begitu kontra sekali dengan ucapan yang meniti di bibir. Pernahkan kita berjumpa dengan seseorang yang berkata bahawa kitalah yang paling dicintainya namun tindak tanduk dan perbuatannya tidak seiring dengan kata-katanya? Atau pernahkan kita bertemu dengan seorang yang berjanji namun ia hanya tinggal janji? Jika hanya kata-kata yang diucapkan bukannya lahir dari hati, maka kepincangan itu pasti terserlah. Lambat laun, pasti akan ketara juga samada cepat atau lambat sahaja yang boleh memberikan kita signal supaya berjaga-jaga.

Dan, apabila kata-kata itu digunakan hanyalah untuk menutup mulut orang, mengelakkan masalah atau beranggapan penyelesaian terbaik, maka ia pasti akan dihidu juga malah akan mengundang keadaan yang lebih parah dan tidak terkawal lagi. Apabila tersedar bahawa omong kosong itu sudah tidak memberi apa makna lagi, maka apa juga bentuk kemaafan sudah tidak lagi bermakna atau memberi erti. Begitulah hebatnya penangan kata-kata dan janji. Jika tidak dibuktikan dengan perbuatan, maka jadilah ia seperti sia-sia yang akhirnya merugikan diri sendiri. Oleh itu, jika kita berkata-kata atau berjanji, buktikanlah dengan perbuatan kerana kata-kata hanya akan tinggal kata-kata jika tidak ditepati.





Doa Qunut


Hari ini terasa mahu berkongsi doa qunut dengan semua. Mari kita hayati maksudnya supaya kita boleh lebih memahami apa yang kita baca. Jom!

Tuesday

Tuhan Tidak Pernah Meninggalkan Kita

Sesuatu yang tidak diduga dan luar biasa telah berlaku baru-baru ini. Sesuatu yang tidak pernah difikirkan atau dijangkakan walaupun jauh di sudut hati yang paling dalam, mengharapkan sesuatu keajaiban akan berlaku. Baru saya tersedar, kadang-kadang dengan satu kehilangan yang memberi kita azab, akan datang juga satu kesenangan yang tidak disangka. Tuhan Maha Adil. Diambilnya sesuatu yang kita sayang tetapi digantikannya dengan sesuatu yang lebih baik lagi, malah jauh lebih baik dari apa yang diharapkan. Subhanallah! Hanya itu yang mampu saya ucapkan di dalam hati dan alhamdulillah, kerana tiba-tiba hidup mempunyai makna yang lebih dalam. 


Memang bernarlah, kehidupan ini satu perjalanan dan kita akan mengikuti kembara kehidupan kita dengan jalannya yang tersendiri. Di sepanjang perjalanan itu, kita akan melalui banyak halangan, dugaan, ranjau dan juga kebahagiaan, namun untuk tiba ke satu singgahan mungkin amat payah. Hidup ini akan terus berjalan dan kita akan terus singgah sebentar di beberapa destinasi, sebelum memulakan perjalanan baru menuju kehidupan lebih abadi. Begitulah hidup. Tiada apa yang kekal namun jika Tuhan mahukan yang terbaik buat kita, kita akan diujinya berkali-kali. Siapa yang hidupnya tidak pernah diuji, sesungguhnya dia adalah amat rugi kerana ujian yang Allah berikan tanda kasih sayangnya kepada kita untuk menaikkan darjat kita ke tempat yang lebih tinggi. Lebih berat ujian yang Allah beri, lebih tinggi nilainya kita di mata Allah.

Memang sejak dua tiga purnama ini, saya sungguh-sungguh merasakan kasih sayang Allah. Apa yang terdetik di dalam hati sejak beberapa ketika, dikabulkan untuk saya tanpa saya mula memohon. Ini bukan kali pertama. Sudah beberapa kali niat yang tersimpan di dalam hati Allah kabulkan. Ya, kadang-kadang saya tertanya, siapakah saya untuk dikabulkan hajat dan niat yang tersimpan di dalam hati, namun sesungguhnya Tuhan yang paling mengetahui apa di dalam hati kita. Maka diberikannya pada kita walaupun ia hanya terlintas beberapa kali di dalam pemikiran. 

Mungkin kerana saya sudah bersedia, maka niat itu Allah kabulkan. Namun, saya percaya ini bukanlah kebetulan. Ini semua kerja Tuhan. Mustahil Allah akan memberikan kebahagiaan ini kepada saya jika ia hanya untuk sementara kerana telah banyak benar yang saya alami dengan sabar dan di ketika ini, saya cuma boleh berfikir yang Allah sedang memberikan saya ketenangan dan memenuhi impian saya sebelum saya menutup mata satu hari nanti. Setiap yang susah akan melalui senang. Setiap yang duka akan melalui suka. Setiap yang berat akan merasa ringan. Mungkin Allah berkata sudah tiba masanya saya menikmati segala keindahan ini setelah bertahun-tahun bertarung dengan pelbagai dugaan. Sesungguhnya saya yakin dan saya percaya, kehidupan ini akan lebih lengkap, baik dan berseri apabila tiba masanya nanti. Apakah ini masanya yang Allah telah tetapkan untuk saya? Mudah-mudahan begitulah. 

Setelah merasakan hampir mati, hampir putus asa dan hampir tiada harapan untuk apa-apa lagi, Allah hadiahkan sesuatu yang tidak ternilai di dalam hidup ini. Tidak akan disia-siakan peluang yang diberikan kerana mungkin ia tidak akan berlaku lagi. Ya Allah, hambamu ini menadah tangan mengucapkan syukur pada mu. Hanya Engkau yang tahu apa yang ada di dalam diriku. Yang elok dan yang buruk, dan yang telah lepas dan akan datang. Semuanya rahsia dariMu jua. Ya Allah, aku sedar aku tiada daya dan upaya selain mengharapkan padaMu semata-mata, maka di dalam usiaku yang semakin menghampiri penghujungnya, Kau kekalkanlah semua yang sedang berlaku di dalam hidupku dan mudahkanlah semua perjalanan hidup ku, anak-anak ku dan ahli keluarga ku sebelum aku menutup mata. Biarlah separuh lagi kehidupan aku di kala ini disimbahi dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi, rezeki yang tidak putus-putus dan insan-insan yang menyayangi dan menerima aku seadanya. 

Aku cukup merasakan rahmat Mu Ya Allah ke atas diriku. Walaupun aku bukanlah hebat atau bukannya sempurna, tetapi Kau telah menggantikan apa yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Dan Kau telah menguji aku dengan pelbagai ujian, namun aku tetap sabar dan jauh sekali merungut. Aku berharap aku lulus ujian yang kau beri ini dengan cemerlang, ya Rabb. Hanya syurgaMu yang aku hajati dan aku ingin tinggal di dalamnya dengan semua insan-insan yang aku sayangi di dunia ini. 

Terima kasih Ya Rabb. Lorong yang aku rasakan gelap semakin jelas dan nyata. Cuma satu yang aku mohon, janganlah Kau tarik balik kenikmatan yang Kau beri padaku di saat ini. Biarlah semuanya termakbul dan berhasil. Tiba-tiba terasa semuanya berada di landasan yang betul. Dan harapanku agar landasan ini akan terus kekal tegak dan lurus sehingga menuju abadi. Terima kasih Ya Allah. Kau berada di tempat paling atas di dalam hatiku. Kau tidak pernah meninggalkan aku dan kini Kau memelihara aku dengan sebaiknya. Rugilah aku jika aku tidak menyembahMu dengan sebenar-benar ikhlas dan khusyuk. Hanya Engkau yang aku sembah dan meminta pertolongan dan hanya Engkau sebaik-baik pemberi. Limpahkanlah kasih sayangMu kepada kami dan kurniakanlah kami syurgamu dan ampunkanlah dosa-dosa kami.

Syukran Jazilan Ya Rabb! 

Aamiin ya Rabbul Alamin

Musim Luruh Itu

Semasa saya kecil, saya sering menonton rancangan-rancangan dari negara barat. Mungkin pada masa itu, rancangan tempatan amat kurang, maka rancangan baratlah yang sering menjadi hidangan kami sekeluarga. Saya membesar di dalam tahun tujuh puluhan ketika masih lagi kanak-kanak. Pada masa itu cerita yang laku keras ialah cerita kekeluargaan dan cerita-cerita penyiasatan. Pada yang membesar di era itu pasti masih ingat akan cerita Little House on a Prairie, Combat, Hawaii Five O, Charlie's Angels dan banyak lagi. 

Mungkin kerana pengaruh barat yang agak ketara pada masa itu, saya sering terpengaruh dengan empat musimnya iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk. Entah mengapa, saya begitu suka melihat perubahan musim yang berlaku dan terpesona dengan keindahan alam yang diciptakan Tuhan. Di antara keempat-empat musim ini, saya paling tertarik dengan musim luruhnya. Mungkin pada musim ini, pemandangan yang terpampang adalah begitu hebat sekali. Inilah masanya dedaunan pokok akan bertukar warna. Daripada hijau bertukar kemerahan, kekuningan dan keperangan. Pokok-pokok yang berderetan akan kelihatan seperti emas yang bercahaya dan berkilauan. Tanah juga akan disimbahi dengan daun-daun kering yang memenuhi ruang. 

Pertama kali saya mengalami musim luruh, saya seolah terpukau dengan keindahannya. Saya berasa yang saya berada di dalam satu lukisan yang besar. Memang cukup mengasyikkan. Namun saya tidak menyangka bahawa daun-daun yang berada di atas jalan akan melekat di tapak kasut kerana basah. Agak sukar juga sebenarnya mahu berjalan di atas daun-daun yang bertaburan sebegitu rupa. Ini belum lagi bercerita pasal berjalan di atas ais semasa musim sejuk. Pun agak payah jika tidak mempunyai kasut yang sesuai kerana besar kemungkinan kita akan tergelincir kerana jalan yang licin. 

Walaubagaimana pun, apa juga musim yang melanda, semuanya mempunyai keistimewaan sendiri, dan setiap musim juga mempunyai ceritanya sendiri. Until we meet again! 

Monday

Novel Dedaunan Maple Gugur Lagi

Grup Buku Karangkraf ada menyediakan satu portal buat penulis baru yang ingin menghantar karya mereka untuk dinilai jika layak untuk diterbitkan di masa akan datang. Kebetulan saya mempunyai satu manuskrip yang masih diperap, jadi kesempatan itu saya ambil dengan hati yang lapang. Jika anda sudi membaca dan menurunkan komen di link ini, saya amat berbesar hati. Tambahan jika anda memberikan sokongan dengan menglike link ini buat saya, saya amat berterima kasih. Ini ialah manuskrip pertama yang saya tulis pada tahun 2008. Percubaan pertama di dalam Sayembara Novel Remaja 2008 yang menjadi titik tolak bagi saya di dalam bidang penulisan secara serius. Jom singgah di sini untuk membaca. Novel Dedaunan Maple Gugur Lagi

Apa kata anda? Jomlah komen dan like! :)

Saturday

Terima Kasih Teman

MAAF CAKAP SENDIRI...hebat dia..walaupun seorang wanita dia mampu mengharungi arus kota London seorang diri, dengan menyewa sebuah apartment, tinggal seorang diri, memelihara islamnya ditengah tengah arus harbi, mencari makanan halal, membina kelompok masyarakatnya sendiri yg terdiri drp pelbagai ras namun disatukan ALLAH dengan nama Islam..pastinya bukan sedikit saingan yang dilaluinya demi untuk
mencari ilmu kifayah dinegara asing...jika semua ini dilakukan oleh seorang lelaki sudah pasti aku tidak teruja namun oleh sebab dia wanita maka aku terpesona dengan kemampuannya...tidak ku sangka...ada sebanyak itu atau lebih di sebalik nama itu AN...Moga setiap percubaan kamu selepas ini SUKSES....Amin...Tc


Sungguh terharu. Itulah saja yang boleh saya ungkapkan apabila saya membaca komen ini di status seorang teman di facebook. Pada mulanya, sukar untuk saya menghadam status yang ditulisnya yang boleh dibaca oleh semua rakannya di facebook. Hati terdetik seolah berkata, eh! ini macam kisah yang aku tulis di blog. Adakah ini mengenai aku? Tidak semena-mena, hati jadi berdebar, seolah melihat sendiri kisah benar yang pernah saya lalui terpampang di hadapan mata.

Namun, apabila saya membaca mesejnya di kotak facebook, benarlah tekaan saya. Dia sememangnya bercakap mengenai saya. Terima kasih banyak-banyak wahai teman kerana mengagumi semangat saya ketika mengharungi kehidupan pahit manis di rantau orang sebatang kara. Banyak sungguh yang saya kutip dan banyak juga kenangan dan pengajaran yang saya perolehi. Jiwa ini tidak pernah akan mengaku kalah sehinggalah nyawa terpisah dari badan. Jika ada lapang, akan saya ceritakan lagi dan percayalah, jika anda merasa hidup anda susah, dengarlah segala perkara yang pernah saya harungi, anda semua akan merasa lebih bersyukur. Yang pasti, kita semua ada kisah tersendiri... Alhamdulillah. 

Friday

Comelnya Kucing!



Ya Allah! Kalau tengok gambar-gambar kucing ini, rasa nak peluk dan cium. Cukup comel! Tapi, bukan semua orang suka kucing dan ada yang lari apabila tengok kucing. Dulu, saya membela beberapa ekor kucing. Semasa di sekolah menengah, saya mempunyai kucing jantan yang gebu dan montel. Selalu mandikannya dan kadang-kadang biarkan kucing itu tidur dengan saya. Tapi, setiap kali saya memegang kucing, saya akan terbersin dan hidung pun terasa gatal-gatal. Pada mulanya saya tidak tahu, tapi lama kelamaan baru saya perasan yang saya alah pada kucing. Bukan saja kucing, tetapi habuk! Jadi, selepas saya tahu yang saya alahkan kucing, saya terus tidak mahu pegang kucing kecualilah kucing itu sudah bersih dan dimandikan. Jika tidak, dalam beberapa saat saja hidung saya akan gatal dan saya akan mula bersin. Lama-kelamaan, saya menjauhkan diri dari kucing atau habuk-habuk. Jika melihat kucing sekalipun, terpaksa pandang sajalah walaupun hati kadang-kadang teringin juga nak pegang kucing. Tapi, memikirkan yang hidung akan pedih dan mata mula berair, saya batalkan niat dan hanya mampu pandang saja kucing-kucing yang comel. Kesiannya... tapi apa boleh buat. Kalau tidak, habislah hidung saya akan ditenyeh tanpa henti!

Tuesday

Apabila Oktober Tiba

Entah mengapa
aku begitu taksub dengan pokok maple
dan daun kuningnya.
Mungkin kerana itu
menandakan musim luruh
sudah tiba.


Atau mungkin itu mampu
membuat aku
mengimbau kenangan silam
yang penuh pancaroba.

Kenangan indah penuh harapan
Juga kenangan pahit yang
mahu aku lepaskan.

Apabila Oktober tiba
Yang aku ingat ialah musim luruhnya
musim yang panjang dan dingin
musim yang penuh nostalgia
Musim di mana aku belajar
hakikat kehidupan
erti hidup, erti kecewa
erti susah dan erti senang.

Walau kini aku pun sudah lama
tidak menjengah musim luruh itu
sudah banyak bulan purnama
yang mengambang terang
silih berganti
namun, ia masih utuh di hati
kerana ia banyak mengajar aku
tentang segalanya. 

Setiap kali Oktober tiba
Yang pertama aku ingat ialah
daun kering pohon maple
yang jatuh satu persatu
menghempap jalan.

Ada yang berterbangan,
ditiup angin dan
dipijak insan.

Yang aku ingat
ialah daunnya yang basah di jalan
dipijak manusia yang lalu lalang
diheret tapak kaki
dan disapu ke tepi.

Pertama kali aku
melintasi segugusan pokok maple
yang baru sahaja menempuh musim luruh
aku menjadi bisu.

Sehingga pokok maple
yang daunnya kuning, merah dan coklat
membuat aku terpana
menikmati keindahan
yang dicipta Ilahi.

Di dalam kesibukan pagi hari
menjalankan urusan harian
yang tidak akan beres
kaki terus melangkah laju
mengheret daun kering itu
sehingga ada yang melekat di tapak kaki
diheret seolah tidak mahu
lekang dari realiti.

Entah mengapa
Apabila Oktober tiba
Aku menjadi begitu nostalgik
begitu rindu
begitu saya.

Mungkin, sebahagian dari aku
pernah aku tinggalkan di situ
dengan seribu pengharapan
yang akhirnya musnah
sama sekali.

Juga mungkin kerana
dinginnya cuaca musim luruh
membuat aku pasrah
menantikan musim sejuk
yang pasti tiba.

Apabila Oktober tiba
Aku pun mula
hiba.

Bila Gastrik Menyerang

Dua hari ini ialah hari yang tidak produktif. Gastrik saya menyerang lagi sehingga kepala pun berpusing-pusing. Perut pun menjadi sakit dan terasa mahu muntah. Kalau gastrik menyerang, memang satu kerja pun tidak boleh siap. Badan terasa lemah dan lesu dan selera makan jadi tidak menentu. Sudah lama saya mendapat penyakit ini. Kali pertama saya diserang gastrik ialah ketika menuntut di United Kingdom dulu. Sampai tidak boleh bangun dan mahu berjalan pun tiada tenaga. Sakit perut jangan cakaplah. Saya mengambil masa dua tahun untuk menstabilkan penyakit ini. Selama dua tahun, saya berperang dengan kesihatan yang cukup teruk. Bangun pagi tidak ada tenaga, muntah setiap hari dan kalau silap makan, meranalah jawabnya. Akhirnya, saya mengatur jadual makan sendiri dan makan ikut masa. Minum susu bergelen-gelen dan ada kalanya hanya buah-buahan saja yang boleh diterima oleh tekak. Alhamdulillah, gastrik menjadi sedikit stabil tetapi tidak boleh hilang sehingga ke hari ini. Jika saya tersilap makan atau makan lambat, alamatnya akan sakit perut. 

Hari ini saya makan semangkuk ais krim peppermint chips dan rojak buah, selepas makan dua keping roti. Tapi, masih lagi terasa lemah. Dua hari mengalami cirit-birit sehingga badan terasa lesu. Semuanya datang sekali gus. Rasa cukup tertekan sebab banyak kerja yang harus disiapkan. Kalau sudah mempunyai tugasan dan dateline, saya akan pastikan kerja saya siap sepenuhnya sebelum waktu itu tiba. Namun, dua hari ini saya tidak mampu berbuat apa-apa hanya terbaring di katil menahan sakit. 

Nasihat saya, kepada yang suka skip makan atau makan tidak tentu waktu, janganlah jadikan ia habit. Jika boleh, setiap kali waktu makan kita kena makan terutamanya sarapan. Jika sarapan tiada, tenaga pun tiada untuk memulakan kerja. Jangan bila sudah terkena gastrik macam saya ini baru mahu jaga makan sebab semuanya akan menjadi lebih sukar. Sesiapa yang pernah kena atau mengalami masalah ini sahaja yang tahu bagaimana rasanya. Jangan cari masalah ya! Makanlah ikut masa sebelum gastrik menyerang anda. 

Saturday

Kongsi Cerita : Berjalan Lebih Satu Kilometer Untuk Membeli Ayam

Semasa saya berada di United Kingdom, salah satu tempat yang saya suka pergi ialah pasar segar dan juga pasar keringnya. Sebenarnya kedua-dua pasar ini hanyalah bersebelahan sahaja dan cukup bersih sekali. Kali pertama saya melawat ke pasar di England ialah semasa saya menuntut di sana. Keadaan persekitaran yang luas dan bersih cukup mudah bagi sesiapa sahaja yang mahu memilih makanan segar. Selalunya saya akan membeli ikan seperti ikan mackerel dan salmon juga sayur-sayuran dan buah-buahan yang agak murah. Saya masih teringat akan jeritan sang penjual yang bertali-tali dan betapa cekapnya mereka menarik pelanggan untuk datang membeli. Selain itu, ikan-ikan yang dijual disusun dengan cantik dengan warna yang penuh kontra. 

Namun, untuk mendapatkan daging ayam atau lembu, saya terpaksa berjalan sejauh satu kilometer dan membelinya di sebuah kedai daging halal yang paling hampir dengan apartmen saya. Semasa di sana, aktiviti berjalan menjadi sesuatu yang mudah kerana rakyat Britain memang gemar berjalan kaki. Cuaca yang sejuk memang elok berjalan untuk memanaskan badan. Saya juga tidak terkecuali. 

Apa yang saya suka dengan konsep pasar segar di sana ialah ianya lebih tersusun dan kelihatan meriah dan bersih. Lantainya kering dan tidak ada bau-bauan yang kurang menyenangkan. Ini memudahkan sesiapa sahaja untuk membeli ikan dan sayur-sayuran. Setiap kali ada tetamu, saya akan membawa mereka ke sini. Terdapat juga bunga-bunga segar seperti bunga ros dan tulip yang murah sahaja. Selalunya, saya akan membeli sejambak bunga ros dan tulip setiap minggu untuk dihias di atas meja makan saya. Ini untuk memberikan mood ceria dan gembira ketika melangkah masuk ke dalam rumah.

Terdapat pelbagai jenis ikan yang dijual. Di antaranya ialah ikan mackerel, salmon, bawal, siakap dan banyak lagi yang saya tidak tahu mengenainya. Selalunya saya akan membuat kari mackerel atau salmon, atau menggoreng mereka setelah diperap dengan garam, kunyit dan serbuk kari. Memang enak sehingga menjilat jari!

Ketika mula-mula sampai dahulu, saya menyewa sebuah rumah di tingkat dua yang mempunyai satu bilik di loteng. Saya harus melalui lorong jalan belakang untuk menaiki tangga ke rumah tersebut. Saya meilih rumah itu kerana saya mahukan sebuah dapur dan juga kedai yang berdekatan dengan rumah. Ia dimiliki oleh lelaki tua berbangsa Pakistan dan diuruskan oleh anka perempuannya iaitu seorang guru. Di bawah rumah itu, terdapat deretan kedai runcit Muslim yang menjual pelbagai barangan keperluan. Jadi, untuk membeli bawang dan beras, contohnya amat mudah sekali. Kebanyakan pemilik kedai di kawasan saya menetap ialah orang India dan Pakistan. Jadi, sedikit sebanyak saya dapat bergaul dengan masyarakat Muslim yang berlainan bangsa.  

Kedai menjual daging ayam dan lembu halal juga amat dekat, tidak sampai dua puluh meter dari rumah saya. Saya masih ingat bau kambing dan daging yang agak kuat menusuk ke hidung setiap kali memasuki kedai itu, namun, pilihannya agak banyak. Jika dibandingkan di Malaysia, kita memang kekurangan kedai yang menjual daging dan bahagian-bahagian daging seperti ini. Selain ayam dan daging lembu serta kambing, ada juga dijual daging cincang, sosej dan tulang-tulang untuk dipilih. 

Namun, setelah saya berpindah ke apartmen, saya terpaksa berjalan kaki agak jauh atau menaiki bas untuk ke sana. Saya masih teringat, terpaksa berjalan lebih satu kilometer hanya untuk membeli seekor atau dua ekor ayam. Sesuatu yang mungkin tidak akan berlaku di negara kita. Namun, itulah pengalaman yang terpaksa ditempuh oleh saya dan ramai lagi penuntut Malaysia dan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Tidak ada apa yang mudah. Jauh sekali untuk bermewah-mewah seperti di sini. Segalanya harus dibuat dengan usaha yang keras. Cekal dan syukur sudah menjadi darah daging terutamanya saya yang tinggal sendirian di sebuah apartmen. Sunyi dan jika tidak cekal, mungkin akan rebah. Pengalaman itu menjadikan saya insan yang kuat, yakin pada diri dan tidak mudah mengalah terutamanya di dalam soal kehidupan. Banyak yang saya lalui yang menjadikan saya seperti sekarang, dari segi rohani, jasmani, spiritual dan pendekatan saya tentang kehidupan, ketuhanan dan kecintaan pada negara.

Hanya yang pernah berkelana ke bumi asing sahaja yang tahu bukan mudah untuk diterima, bukan mudah untuk mencari jati diri, bukan mudah untuk mendapat segalanya seperti di tanah air kita. Jika tiada usaha, maka tiada apalah yang akan kita dapat di sana. Namun, banyak sungguh pengalaman yang saya kutip secara sedar atau tidak dan akan saya kongsikan satu persatu di sini di kala kelapangan menjenguk.   

Ini baru soal pasar. Belum lagi pahit dan manis hidup sendirian di rantau orang dan cara rakyat British membawa diri dan juga pengalaman menjadi pelajar sarjana di kalangan penuntut-penuntut asing yang rata-rata cukup yakin, petah dan penuh dengan perlumbaan untuk berjaya. Jika kita malu-malu dan tidak boleh memberikan buah fikiran dan pendapat, memang kita akan ketinggalan kerana mereka semuanya bijak pandai dan oleh itu saya juga harus berani memberikan pendapat dan itu semua membentuk pemikiran saya sehingga kini.

Tetapi, apa-apapun, kisah pasar masih belum berakhir. Akan saya berkongsi cerita di waktu yang lain pula. Kepada yang sudi membaca dan berkongsi pengalaman ini, saya ucapkan terima kasih. InsyaAllah, akan saya ceritakan lagi di entri yang akan datang. 

Ciao!






Insan Yang dipilih Tuhan

Hari ini wajah Azmin tidak secerah semalam. Masih lagi bergerutu dan kusam. Gelodak di jiwanya tiada siapa yang tahu kecuali Tuhan. Tampak tenang di luaran bukan bermakna hati tidak gelora. Jika mereka semua boleh mengintai hatinya hatta sedikit, pasti mereka akan tahu betapa resah dan gelisah tidak kurang gundah yang melanda jiwanya. Siapakah mereka untuk menilai dirinya? Siapakah mereka untuk menuduhnya hina? Siapakah mereka untuk menghukumnya? Sesungguhnya mereka itu bukannya sesiapa. Hanya insan biasa sama seperti Azmin. Bukannya malaikat, bukan juga Tuhan. Tuhan hanya satu. Tuhan yang menciptakan dan mematikan. Tuhan yang mencipta Adam dan Hawa juga syaitan dan malaikat. Hairan, begitu mudah mereka melemparkan tuduhan kepadanya seolah merekalah yang paling sempurna. Hendak berbuat baik juga banyak dugaannya. Hendak berubah rupanya bukan senang. Sungguh Azmin tidak tahu. Sungguh benar yang baik itu sering ditolak dan dipandang serong. 

"Mana kamu akan mendapat keredhaan Allah? Kamu banyak dosa!" Tok Kenali duduk di kerusi sambil mengentel rokok daunnya. Azmin hanya membisu. Tajam sungguh kata-kata Tok Kenali bak pisau yang ditusuk ke dada. Sejak Azmin pulang ke kampung, banyak mata-mata yang serong memandang dan banyak pula mulut-mulut yang lancang. Semuanya Azmin tidak peduli. Jika dilayan hatinya boleh punah dan hancur berkecai. Ramai juga yang tidak senang melihat dia berubah. Bukannya mahu menyokong, malah ada yang sanggup bersedekah ludah buatnya. 

"Ya Allah, aku memohon keampunan mu. Aku tahu Kau tidak akan menguji hambamu berlebihan. Cukuplah sekadar kemampuanku." Di suatu pagi selepas subuh, Azmin duduk di sejadah sambil berdoa. Air matanya berlinang lembut dan semakin lama semakin deras. Pedih sungguh rasa hati dihina dan dicaci. Lebih pedih apabila perubahannya tidak siapa yang peduli kecuali Alia. Anak Tok Kenali yang tahu sejarah silamnya. Gadis manis berlesung pipit yang tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku pada malam itu. 

Kejadian berlaku di satu malam yang hening di mana semua penghuni rumah Tok Kenali sedang nyenyak tidur. Tiba-tiba suara bingit dan hingar bingar kedengaran dari arah rumah Tok kenali. Azmin baru pulang dari melepak dengan rakan-rakannya di sebuah pondok. Pondok beratap rumbia yang masih utuh yang dijadikan markas perjudian dan tempat membuang masa bagi Azmin dan rakan-rakannya. Tengah malam sudah lama melewati. Namun, malam itu nasib tidak menyebelahi Azmin. 

"Tolong!" Suara seorang gadis sedang bergelut dengan sesuatu hinggap ke telinga Azmin yang sedang melintas. Ditolehnya ke kiri dan kanan namun tiada bayang atau kelibat manusia di situ. Suara meminta pertolongan semakin kuat. Kali ini bunyinya cukup azab sekali. Azmin syak yang sesuatu yang buruk telah berlaku di rumah Tok Kenali. Lalu, diberhentikan basikalnya dan disandarkan ke sebuah tiang. Lampu yang malap di anjung tiba-tiba padam. Azmin berlari ke arah dari mana datangnya suara itu. Zap! Mak Senah terbujur kaku di atas lantai sementara Alia sedang merengkuk di sudut dinding dengan rambut yang kusut masai. 

"Azmin, apa kamu buat di sini?" Suara Tok Kenali tiba-tiba menerjah ke telinga. 

"Tok, Mak Senah Tok!" Azmin tunduk dan cuba mengangkat Mak Senah yang sudah kaku. Tok Kenali seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Mak Senah terbujur kaku dengan tompokan dan percikan darah di kepalanya.

"Azmin, kamu jangan bergerak! Aku panggil polis dan tok penghulu." Tok Kenali hampir beredar apabila terdengar beberapa penduduk kampung sudah menghampiri rumahnya.

"Kita tangkap dia. Pembunuh!" Tiba-tiba Seman anak Pak Itam menerpa Azmin tanpa amaran. Buat sesaat, Azmin menjadi kaku. Pembunuh? Aku? tiba-tiba badan Azmin longlai dan menggeletar.

"Bukan saya Tok! Sumpah bukan saya yang buat!' Azmin mengangkat tangannya ke dada. Peluh dingin mulai bercambah di dahi dan lama kelamaan keringatnya semakin banyak sehingga membasahi baju. 

"Bohong! Aku nampak kamu menghendap di tingkap dan aku dengar bunyi orang menjerit. Aku nampak kamu yang naik tangga ke rumah Tok Kenali!' Seman semakin marah.

"Bukan! Aku sedang lalu di depan dan aku terdengar bunyi orang minta tolong. Apabila aku sampai, aku tengok Mak Senah sudah terlantar di atas lantai." Getaran suara Azmin cukup ketara.     

"Hanya kamu yang ada di sini. Jom kita tangkap dia dan bawa ke balai polis!" Seman dan beberapa orang rakannya mengaut lengan Azmin. Walaupun meronta, rontaannya tidak cukup kuat untuk melawan kudrat lima orang lelaki yang memegangya erat. Seluruh hidupnya terasa seperti mati. Tiba-tiba semuanya gelap gelita seolah tiada lagi cahaya yang bakal menerangi.

Namun, itu berlaku tiga tahun dahulu. Hari ini, Azmin bukan lagi Azmin yang dulu. Semuanya sudah tinggal sejarah. Dirinya kini sudah seperti baru, bak baru dicas bateri. Semakin bersemangat dan semakin cekal. Berserah kepada Tuhan dan redha dengan semua ujiannya. Dan yang paling indah, semua yang berlaku ke atasnya mempunyai hikmah yang tersendiri. Tiga tahun terperosok di dalam penjara telah mengajar Azmin apa itu erti hidup dan apa itu tujuan hidup. 

"Kita hidup semata-mata kerana Allah. Apa saja yang kita lakukan haruslah memikirkan apakah Allah redha dengan kita dan seterusnya memuji dan menyembah Allah lima kali sehari. Tuhan yang satu dan tiada tara." Kata-kata Ustaz Naim masih terngiang di telinga. Dan kata-kata itulah yang merubah kehidupannya. Bukan itu sahaja, daripada seorang yang malas bersolat, kini Azmin tidak pernah meninggalkannya. Puasanya penuh dan kisah silamnya sudah dibuang jauh-jauh dari kehidupannya. Namun, bukan mudah pulang ke kampung dengan masa silam yang masih bertakhta di hati penduduknya. Masih lagi tertanam di fikiran mereka yang Azmin sekarang ialah Azmin yang dulu. Pemuda yang gemar berjudi dan berkawan dengan penagih dadah. Pemuda yang selalu pulang lewat malam dan kadang-kadang tidak langsung pulang.

Azmin cukup sedar siapalah dirinya itu. Namun, segala cacian dan makian daripada penduduk kampung diterimanya dengan tenang. Jika dulu, mungkin Azmin akan melawan atau mungkin penumbuk besar akan hingga ke dahi sesiapa yang mencacinya. Namun, kini Azmin hanya membiarkan saja mereka dengan tanggapan mereka.

"Biarlah. Hanya Allah yang tahu apakah aku bersalah atau tidak." Azmin mendengus di dalam hati. Apa yang pasti, dirinya sudah istiqamah dan sudah sedar. Taubat dan istighfar selalu bermain di bibirnya. Mungkin Azmin kini lebih baik daripada Tok kenali dan penduduk kampung yang lain. Sekurang-kurangnya dosa mereka menghina dan mencacinya akan dipungut oleh Azmin. Boleh menjadi saham akhirat. Rugilah mereka. 
Walaupun tidak membuat dosa pada fikiran mereka, namun bukan mereka yang menentukannya. Akhirnya semua terserah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat dan apa yang benar. Maka tenanglah wahai hati, Azmin cuba memujuk diri. Biarlah dirinya menjadi hamba Tuhan daripada diperhambakan oleh insan-insan sombong yang hanya tahu mencari kesalahannya. Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengujinya sekadar kemampuannya. Sesungguhnya Tuhan akan memberikan ujian buat hamba yang kuat melaluinya kerana Dia tahu kekuatan hambanya. Sesungguhnya Azmin ialah insan yang dipilih Tuhan. Bukan semua insan bernasib baik sepertinya. Bersyukurlah.




Sembang Kosong

Entah mengapa hari ini
jiwa membara dan sakit
dengan manusia yang
dipanggil hipokrit.
Mudahnya menabur janji
namun omong-omong kosong belaka.
Tiada isi. Tiada makna. Tiada seri.

Juga hari ini
hati bak ditusuk duri
melihat seekor kucing
terlekat di bawah almari
Aku tidak terdaya menolong
Lalu aku suakan sebekas air
untuk si comel menghilangkan haus.

Malas mahu melayan emosi
aku menggodek-godek komputer
dan mengasah bakat
dibuat contengan muka aku.

Hari ini
hari bermalas-malasan
jadi aku hanya duduk
dan makan
dan minum
sambil merenung skrin
komputer yang besar.

Aku tidak kisah
jika hari ini
aku menulis apa saja
bahasa pun tidak indah mana
kerana semuanya spontan
apa yang terlintas di fikiran.

Hari ini
aku marah melihat
kucing itu terseksa
kerana merasa tidak terdaya
membantunya

Tetapi amarah itu baru saja reda
kerana aku baru saja
melempiaskan emosi
di dalam coretan comel
yang dirahsiakan
tempatnya. 

Aku tidak tahu apa yang aku nukilkan
difahami semua
kerana hanya aku
yang faham hatiku
sendiri selepas
Tuhan.

*Hehehe boleh gitu?


    

Friday

Jenguk-Jenguk Pameran Buku di Taiping Central!

Agak lama juga saya tidak menjengah ke sini. Urusan menulis manuskrip dan hal-hal lain memang membuat saya lupa yang saya ada beberapa blog untuk diuruskan. Lagipun, tiba-tiba tiada apa yang mahu ditulis, otak sudah buntu dan terasa malas yang amat untuk menulis apa-apa. Adalah sikit-sikit saya update blog masakan saya dan yang lain itu nampak gayanya hanya dibiarkan saja. 

Hari ini saya banyak menghabiskan masa membuat cover untuk page saya di Facebook. Tidaklah hebat sebab saya bukannya profesional, buat pun trial and error saja. Tapi, buat yang amatur macam saya, bolehlah kan! :)

Oh! Semalam saya pergi ke pameran buku di Taiping Central. Sempat beli lima buat buku buat saya dan anak-anak. Anak-anak masih sekolah rendah, jadi buku pun sesuailah untuk umur mereka. Saya membeli buku Terapi Solat Tahajud oleh Mohammad Salleh dan Mustafa Kamal Ataturk oleh Abdul Latip Talib. Belum habis baca, tetapi saya sudah belek-belek dua-dua buku dan akan baca sepenuhnya peringkat demi peringkat. Kalau baca terus hingga habis, alamatnya semua kerja tidak siap! 

Buku Terapi Solat Tahajud itu saya beli sebab saya mahu mengamalkannya. Jika badan sihat, saya akan bangun malam dan solat. Tidak tahu pula yang ia boleh menjadi terapi dan menyembuhkan penyakit. Cuma saya belum amalkannya tiap-tiap hari, sebab kadang-kadang terjaga saja jam sudah pukul 6 pagi, walaupun saya kunci jam untuk bangun. Kalau macam itu, maknanya saya tidak berapa sihatlah. Jika tidak, seawal lima setengah pagi saya sudah boleh bangun tanpa bantuan jam. 

Buku Mustafa Kamal Ataturk pula, memang saya teringin beli dari dulu dan baru kini boleh mendapatkannya di Taiping. Kedai buku paling besar iaitu Popular pun tidak ada menjual buku ini, jadi kebetulan buku ini ada di pameran tersebut, saya belilah satu sebelum menyesal!

Selepas ini, saya harus menyambung penulisan manuskrip saya yang terbaru. Saya ada lebih kurang tiga lagi proposal yang sudah saya catatkan secara ringkas untuk novel-novel yang akan datang pula. Tahun depan, saya amat berharap boleh menulis paling kurang dua manuskrip, insyaAllah.

Okeylah, ini saja coretan buat hari ini. Jika rajin, esok saya jengah lagi. Terima kasih pada yang sudi baca!

Ciao!







Salam Lebaran

Bulan Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. Sedar tidak sedar, sudah hampir sebulan umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah puasa. Perasaan sayu dan sedih mengiringi pemergian Ramadan, namun kedatangan Syawal pula dinantikan dengan penuh kesyukuran. Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buat saya. Itulah yang saya rasakan. Daripada amalan-amalan sunat dan wajib, sehinggalah kenikmatan berpuasa sudah saya buat dengan bersungguh-sungguh semata-mata mahu mendapat pengampunan Yang Maha Esa. Bulan yang mulia ini, Allah akan membebaskan ramai ahli neraka dan akan mengampunkan kita jika semuanya dibuat semata-mata keranaNya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk atau dibuat ala kadar sahaja.

Selain itu, bulan puasa ini juga adalah bulan rahmat, penghilang segala penyakit. Walaupun saya selalu mengalami masalah gastrik, namun di bulan puasa, alhamdulillah sakit itu amat kurang dan boleh bertahan. Mungkin kerana minda sudah bersedia, maka semuanya menjadi mudah dan Allah juga memudahkan kerana Dia Maha Mengetahui niat di hati hambanya. Bak kata pepatah Inggeris, if there's a will, there's a way. Mind over matter dan will power! Semangat itulah yang membuat saya istiqamah.

Anak-anak juga mampu bertahan dan berpuasa sehingga waktu berbuka dan itu membuat saya berasa amat bangga dengan kesungguhan mereka. Namun, waktu di bulan mulia yang semakin sedikit ini janganlah kita persiakan. Perkara-perkara sunat yang dilakukan haruslah diteruskan dan insyaAllah, saya sudah mulai melakukan yang sunat-sunat setelah menyempurnakan yang wajib dan saya berharap agar amalan-amalan ini akan berkekalan dan berterusan. Saya mengharapkan agar saya istiqamah sehingga ke akhir hayat dengan segala kebaikan dan meminimumkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa secara sedar atau tidak. 

Ketika entri ini ditulis, tinggal lagi dua hari sebelum Syawal menjelma. Persiapan raya sudah saya siapkan dua minggu sebelum Ramadhan tiba. Ini kerana saya tidak mahu keletihan dan juga bersesak-sesak di kedai dan jalan. Alhamdulillah, anak-anak didahulukan dan saya rasa mereka gembira dengan pilihan kebaya nyonya dan dua pasang lagi baju baru buat mereka.

Justeru, di bulan baik ini, saya ingin mengucapkan salam lebaran, selamat menyambut hari raya dan maaf zahir batin buat semua yang singgah ke sini. Kepada yang saya lukakan hatinya secara sedar atau tidak, saya memohon jutaan ampun dan maaf. Dan kepada sesiapa yang melukakan hati saya secara sedar atau tidak, saya maafkan kalian kerana siapalah saya untuk menghukum kerana itu saya serahkan bulat-bulat kepada Yang Maha Esa. Biarlah Dia yang memberikan peringatan, hukuman atau apa-apa juga kebaikan buat kita semua sebagai pengajaran, khifarat atau musibah yang boleh menghapuskan dosa kita. Mana ada manusia yang sempurna, dan kita tidak lepas daripada membuat khilaf. Maka, maafkan saya dan saya maafkan segalanya dan semuanya halal dengan izin Allah semata-mata.

Semoga kita bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun hadapan dengan izinNya jua, insyaAllah.

Salam Lebaran!       

Tuesday

Kamu Bukan Tuhan Untuk Menentukan Syurga atau Nerakaku

Duduk termenung
aku memandang jauh
berfikir akan manusia
berfikir akan masa depan
berfikir akan dosa
dan pahala.



Duduk termenung
aku kehairanan
melihat manusia
begitu khusyuk mencari rezeki
namun lupa pada Ilahi.
Tetapi ,mereka tidak sedar
atau mungkin tidak peduli
yang hidup ini
bukan hanya untuk hidup mewah
namun juga untuk menyembah
Sang Pencipta
yang satu.

Duduk termenung
aku sering terjumpa
manusia yang tidak faham
apa itu erti hidup
dan apabila aku bilang
hidup ini haruslah seimbang
dan semata-mata keranaNya
Mereka marah, seolah aku tahu segala.

Namun, apakah mereka tahu
apa yang aku lalui
untuk aku memahami erti hidup.
Apakah mereka tahu
perjalanan panjang dan berliku
yang aku tempuh
untuk sampai ke daerah redha ini.
Atau mereka buat-buat
tidak faham atau tidak mahu tahu
kerana hati sudah mati.

Aku hanya mampu berdoa
agar satu hari nanti
mereka menemui hidayah
di hati
dan di ketika itu
barulah mereka sedar
apa maksudku
yang Tuhan harus didahulukan
barulah menyusul urusan duniawi.

Duduk termenung
Aku bimbang
melihat manusia berlumba-lumba mahu kaya
namun lupakan Sang PenciptaNya
tetapi yakin bahawa Tuhan
tidak akan murka.

Aku bilang
hidup harus seimbang
lalu ditepis kata-kataku
ditujah cacian dan makian
seolah aku ini batu.

Mana mungkin Allah redha
jika hati sombong dan bongkak
merasa diri sudah hebat
namun terlupa
yang lebih hebat adalah
Tuhan Yang Satu.

Siapalah kita
untuk menghina dan menilai hambaNya
kerana mungkin yang kita anggap
berdosa lagi baik dari kita
dan yang kita anggap bagus segala
hanya berdusta kata dan gaya.

Walau apapun
aku mahu mereka fahami
dan alami apa maksudku
suatu hari nanti.

Hidup jika hanya mengejar pelangi
mewah dengan rumah agam
tersergam indah,
kereta besar berderet-deretan,
mengejar angan dan impian,
namun apakah hidup ini sudah lengkap
jika urusan akhirat langsung
tercampak jauh dari landasan.

Tidak salah mahu kaya
Allah mahu kita berusaha
Namun jika hanya kaya wang
namun amalan miskin atau tiada
apakah semua harta itu
boleh menemani kita di sana.

Ketika sebujur badan kaku
dilepaskan di liang lahad
adakah malaikat akan bertanya
berapa banyakkah wang kamu?
berapa buahkah kereta kamu?
atau dimanakah harta kamu disimpan?

Tentu tidak.

Aku bukannya penentang kemajuan
jauh sekali tidak begitu
tetapi apa guna kaya harta di dunia
namun jika tiada bekalan menuju akhirat.
Apa guna bekerja keras untuk mewah
dan berbangga kerana usaha
kerasmu itu
namun tidak pula mahu
atau kisah
untuk bekerja keras
mengejar pahala
dan syurga Ilahi
menuju dunia
yang kekal abadi.

Bukankah lebih afdal jika
semua ini seimbang
wahai kawan.

Duduk termenung
Aku hanya mampu berdoa
menadah tangan
agar mereka mendapat hidayah
agar mereka dapat merasa apa yang aku rasa
agar Allah membuka hati mereka
untuk melihat
dan di ketika itu
aku pasti barulah mereka sedar
dan faham
apa yang aku maksudkan
dengan sayangkan Tuhan
Itu dahulukan.

Kerana apa?
Kerana aku juga pernah bingung
apa mereka yang terdahulu maksudkan
sayangkan Tuhan
sehinggalah aku melalui jalan
yang panjang ini
dan menemui kekasih hati
yang kekal abadi
iaitu Ya Rabbi.

Aku faham sudah
apa maksudnya
jika hati sudah zuhud dan redha
semuanya tampak mudah
dan hilanglah semua duka
kesusahan dan terima
apa jua seadanya.

Doaku agar kalian menemui
apa yang aku temui di dalam jiwa
supaya satu hari nanti
kalian akan berkata
Oh! Itulah maksudnya dulu.

Namun
aku tahu ramai yang tidak
gemar malah mungkin
ada yang benci
aku berkata begitu
seolah pandai belaka
namun, aku hanya insan kerdil
yang sedang mencari keredhaan Allah
walau aku dihina kerana itu
Kamu bukan Tuhan
untuk menentukan syurga
atau
neraka ku.


Friday

Doa buat Tuhan



Deruan angin yang menghembus deras ke muka semakin laju. Menyapu wajah telus Arianna yang duduk berlantaikan pasir yang putih bersih. Semakin lama bayu yang bertiup semakin kencang namun Arianna masih duduk membatu memandang lautan yang luas saujana mata memandang. Sejak semalam, hatinya dirundung kepayahan yang sukar untuk digambarkan. Semakin lama kepayahan itu semakin menekan jiwa dan membuat hatinya meronta di dalam diam. Arianna tidak mengerti gelodak apakah yang telah menyerang sanubarinya yang paling dalam sehingga dia merasakan mahu mati. Namun, Arianna mengerti bahawa insan yang mempunyai iman tidak harus merasa dirinya berkuasa mencabut nyawa sendiri kerana hanya Tuhan yang berkuasa di atas semua itu. Arianna tidak boleh mendahului Tuhan apatah lagi ingkar akan qadha dan qadar di dalam kehidupan yang sudahpun tertulis buatnya.

"Tapi ibu, qadha dan qadar Tuhan boleh berubah dengan doa." Arianna merenung wajah ibunya dengan linangan air mata.

"Ya Rianna... Ibu tahu. tetapi, adakalanya Allah mahu menguji kita dan apa yang sudah tertulis di luh mahfuz sudah tidak boleh dipadamkan lagi." Ibunya memandang lembut wajah Arianna yang dirundung pilu.

"Tapi, mengapa ibu? Mengapa ini terjadi pada Rianna?" Arianna tidak mahu mengalah.

"Sebab Tuhan sayangkan Rianna. Tuhan mahu menduga sejauh mana teguhnya iman mu nak..." Diusapnya lembut kepala Rianna yang dibaluti selendang biru.

"Rianna tak faham." Sambil menggeleng Rianna menyapu lembut air matanya yang mengalir ke pipi.

"Suatu hari nanti, Rianna pasti faham. Setiap apa yang berlaku pasti ada sebab dan pengajarannya. Ibu tahu hari ini Rianna mempersoalkan qadha dan qadar Allah ke atasmu nak, tetapi suatu hari nanti ibu tahu Riannna pasti redha." Ibunya membalas lembut.

"Rianna sudah tidak ada apa-apa lagi ibu. Rianna rasa masa depan Rianna gelap... segelapnya." Rianna seolah sudah berputus asa.

"Jangan cepat menyerah kalah. Anak ibu kena kuat semangat dan jangan sesekali berputus asa. Allah menduga kita dengan pelbagai dugaan nak. Allah mahu melihat seteguh mana iman kita. Apa saja yang terjadi di dalam kehidupan, kita harus melaluinya dengan redha dan tabah, dan Rianna... jangan sesekali mempersoalkan nasib kita kerana itu tandanya iman kita belum kental." Ibunya merangkul bahu Rianna supaya dirinya tenang.

Kata-kata dan nasihat ibunya masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Ibunya seorang wanita yang berjiwa kental. Sudah banyak dugaan dan rintangan yang dilaluinya sehingga Rianna sendiri kagum dengan kekuatan dalaman yang ada pada ibunya. Namun, Rianna adalah Rianna, bukan ibunya yang selalu pasrah dan redha dan tidak pernah mempersoalkan apa-apa di dalam kehidupannya. Kekadang Rianna cemburu dengan ibunya yang bisa lagi tersenyum walaupun kehidupannya sering dirundung duka dan kepahitan. Tetapi, semakin lama ibunya diuji, keimanannya semakin bertambah. Walaupun sebanyak mana ujian yang menampar, ibunya masih lagi kuat dan masih lagi bergembira.

'Bagaimana ibu boleh melalui semua ranjau kehidupannya dengan tenang, tetapi aku kerap mempersoalkan nasibku?' Rianna bertanya di dalam hati.

'Kerana kamu tidak redha.' Tiba-tiba suara hatinya membalas.

'Apa maksud kamu?' Rianna menyoal hatinya.

'Tuhan tidak mendatangkan ujian buat kamu untuk menyusahkan kamu. Tetapi, kerana Tuhan mahu menguji siapakah di antara kamu yang beriman.' Suara hatinya membalas lagi.

'Apa maksudmu.' Rianna menyoal lagi.

'Keimanan kita tidak akan bertambah atau semakin kuat jika tidak ada ujian. Jika Tuhan sayangkan seseorang, dia akan menimpakan berbagai ujian untuk menguji apakah orang itu redha atau sebaliknya.' Hatinya berkata-kata.

'Jadi?" Rianna bertanya hatinya.

"Jadi, jangan mempersoalkan apa-apa yang sudah ditentukan terhadap kamu dan terimalah dengan tenang dan redha. Kamu hanya akan lulus ujian yang Allah berikan jika kamu redha dan tidak merungut apatah lagi mempersoalkannya.' Hatinya agak keras berkata kali ini.

'Maksudmu, aku harus diam? Tidak boleh merungut dan terima semuanya seolah tiada apa-apa?" Rianna mempersoalkan hatinya lagi.

'Ya... Hanya itu yang mampu membuat jiwa mu tenang.' Jawab hati.

'Kamu mahu lulus ujian bukan?" Soal hatinya semula.

'Lulus ujian?" Rianna mengerutkan dahi.

'Ya... lulus ujian yang Allah berikan. Dan jika kamu lulus, barulah kamu mendapat pahala dan ganjarannya. Allah tidak akan memberikan apa-apa hadiah jika kamu tidak lulus ujian ini dan masih lagi mempersoalkan nasib diri. Allah hanya akan memberikan ganjaran jika kamu redha' Hatinya semakin kuat berkata-kata.

Rianna terdiam. Payah sungguh baginya untuk mencernakan kata-kata hatinya yang berperang dengan emosinya sendiri. Sejak minggu lepas, kata hati dan emosinya sering betelagah menganggu diri yang mencari sekelumit ketenangan jiwa. Ketenangan yang masih belum diperolehinya secara total apatah lagi dugaan semakin banyak yang menghimpit diri. Direnungnya ombak yang memukul pantai dan tidak henti-henti memukul sehingga Rianna tersedar jika ombak itu pun tidak jemu-jemu memukul pantai, apatah lagi dirinya tidak harus berputus asa. Dirinya harus menjadi seperti ombak itu. Tidak pernah lelah dan penat memukul pesisiran pantai yang berpasir dan entah bila ianya akan berhenti. Ketika itu, Rianna pasti hanya akhirat sahaja yang akan membuat segalanya terhenti.

Malam itu, sungguh banyak doa yang dipohon oleh Arianna. Malam itu, Arianna memohon ampun kepada Tuhan kerana mempersoalkan nasibnya. Malam itu, doa Arianna meluncur laju ke langit ke tujuh mengharapkan pengampunan Yang Esa jika benarlah imannya belum cukup kental untuk menghadapi ujianNya. Malam itu, Arianna tidur berlantaikan sejadah dan air mata. Namun, jiwanya tiba-tiba terasa tenang seolah Tuhan sudah memberikannya pengampunan dan Arianna tahu Tuhan mendengar doanya.               

Wednesday

Tika Senja Datang

Sesekali merenung
Mentari merah di ufuk barat
Merehat diri pabila senja berlabuh
Setelah penat menikam cahaya
Ke dahan, wajah, tanah merekah,
Memberi nafas pada tumbuhan, manusia
Haiwan meliar
Hati jadi tersentuh.


Melihat sekumpulan camar
Terbang berkawan menuju pulang
Berduyun-duyun bak gumpalan benang
Hati terpesona pada hak yang ditakdirkan
Dan di kala mentari melabuhkan punggung sebentar
Hati tersentuh terasa rapuh
Memandang keindahan alam ciptaanNya
Terbentang luas.


Tika malam menyarungkan baju
Mata melihat kumpulan bintang
Berkelipan bertebaran jauh di langit
Sejauh mata memandang
Tergantung kukuh tanpa sempadan
Tujuh lapisan langit terbentang
Di mana permulaan di mana pengakhiran.


Melihat bulan yang satu
Bulat memandang sayu ke bawah
Jiwa terus bertarung, bergelut mencari jawapan
Kepada erti kehidupan duniawi
Yang luas tanpa sempadan,
Tujuan hidup perlu pasti
Kerna esok belum tentu udara pagi dapat dihirup.


Tatlaka senja datang
Jiwa bergelodak seolah pincang
Suram jiwa terasa gundah
Persoalan demi persoalan
Menyesakkan nafas
Apakah sudah dipenuhi urusan seharian
Apakah sudah ditunaikan kewajipan.


Kerdil diri terasa
Pabila senja merubah masa
Dan dosa menggamit suram
Bersalah padaNya kerna sering terlupa
Esok dinihari akan bermula
Lantas tatkala ingat
Keampunan jua yang sering dipohon
Agar berada di dalam kelompokNya.


Sesekali melihat mentari
Membenamkan diri di ufuk barat
Jiwa sayu merenung seharian
Yang sudah hampir habis,
Merenung diri di malamnya
Mencari kelemahan dan kekurangan,
Betapa kecil diri ini
Disamping keagungan ciptaan
Yang melangkaui batas masa dan ruang.
Apakah diri ini mempunyai tempat
Di sisi Nya
Dengan dosa dan masa
Hampir malu padaNya
Namun mengingatkan kasih sayangNya
JanjiNya dan keadilanNya
Jiwa kembali tenang
Kembali bersemangat,
Kembali bangkit.

Monday

Dunia Buku: Salahkah Aku? Penuh Muslihat Duniawi

Pada Bulan Februari 2012, novel sulung saya telah mendapat ulasan di slot Dunia Buku di akhbar Berita Harian. Ulasan daripada Puan Latifah ini telah diberikan 3 bintang (Tidak Rugi Baca). Jadi, jom kita baca apa yang ditulis oleh beliau!
*******************************************

Tukang tilik nasib, lelaki misteri calar hidup Maria di London
"KERANA cinta manusia sanggup berbuat apa saja". Begitulah tema keseluruhan novel Salahkah Aku?, karya sulung penulis wanita, Aimee Nour yang membawa pembaca mengenal permainan duniawi yang penuh dengan muslihat di sebaliknya.
Jika dilihat daripada tajuknya, mungkin ramai membuat tanggapan awal kisah cinta tidak kesampaian bakal dihidangkan kepada pembaca. Bagaimanapun, telahan penulis sendiri ternyata terpesong jauh, tatkala menyelak helaian demi helaian novel yang penuh elemen misteri, di luar jangka dan punya elemen kejutan.

Masih menyelitkan unsur cinta, penulis bijak mengadun jalan cerita terutama mengajak pembaca berteka-teki terhadap beberapa watak utama yang ditampilkan secara misteri sehingga sukar diduga jika tidak terus membaca sehingga akhir kisah.

Mengangkat wanita sebagai pendukung cerita, Maria ditampilkan dalam alur cerita yang tidak membosankan apatah lagi sisi personalitinya yang menarik, kecekalan dan sifat keberanian ditonjolkan pasti mengundang simpati dan rasa kagum di kalangan pembaca kaum hawa.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, khalayak pembaca wanita seharusnya menjadikan kisah Maria sebagai pengajaran terutama lebih berhati-hati dalam pergaulan, tidak mudah mempercayai orang yang baru dikenali dan tidak terlalu mengikut perasaan yang mungkin akan memakan diri sendiri.

Selain itu, penulis turut terpesona dengan laras bahasa mudah dan santai yang digunakan dalam novel ini, sekali gus menaikkan lagi ‘mood’ pembaca dalam menghayati cerita yang mengandungi 29 bab itu.

Berkisarkan kehidupan Maria, ahli perniagaan berjaya berusia pertengahan 30-an yang mengambil keputusan untuk bercuti di kota London bagi mengubat kekecewaan selepas bercerai dengan lelaki yang begitu dicintainya, Adam.

Pelbagai perkara di luar jangkaan berlaku ketika percutian berkenaan bertitik-tolak daripada pertemuannya dengan seorang tukang tilik misteri bernama Lady M yang kononnya mampu meramal nasib Maria pada masa akan datang.

Terlarut dek kata manis Lady M itu, Maria semakin hanyut dengan khayalannya sendiri apatah lagi dengan kemunculan lelaki misteri, bernama Ammar yang menagih cinta dan menanam janji mahu mengubati hati wanita yang masih dirundung duka selepas ditinggalkan suaminya tanpa rela.

Bagaimanapun, kebahagiaan yang dikecapi Maria ternyata bersifat sementara apabila Lady M, Ammar dan rakan baik yang juga rakan kongsi perniagaannya, Nora mula menghilangkan diri. Lantas, Maria yang mula sedar dirinya ditipu, merancang helah bagi memerangkap ketiga-tiga individu berkenaan apatah lagi jutaan ringgit wangnya juga dipergunakan mereka.

Maria berusaha keras mendapatkan kembali wang dan maruahnya yang tercalar dan bertekad tidak akan pulang kembali ke Malaysia selagi tidak dapat menjejaki kesemua penjenayah berkenaan dan mengetahui motif utama mereka.

Dalam masa sama, Maria dihimpit ketakutan kerana dibelenggu ugutan, diekori dan terus diburu individu misteri yang melakukan pelbagai cara bagi menghapuskannya.

Bagi merungkai nasib Maria selanjutnya, pembaca perlu mendapatkan novel terbitan Karnadya Solutions Sdn Bhd yang sarat mesej mengenai pancaroba kehidupan yang mampu menyesatkan manusia jika tidak ditangani dengan keimanan dan menggunakan nikmat akal yang dianugerahi tuhan sebaiknya.

Sunday

Syurga Menanti Kita

Perjalanan hidup buat Akma bukanlah jalan yang lurus dan mudah. Jika ditoleh ke belakang, banyak sungguh liku dan halangan yang merosakkan harapan. Dan bukan semua harapan dan impiannya menjadi nyata malah berkecai dan berderai di tengah jalan. Jika adapun laluan yang mudah buatnya hanyalah lorong kecil yang sempit yang boleh menghimpit dirinya di antara jalanan yang panjang itu. Laluan yang melemaskan dan laluan yang boleh membuat nafasnya terhenti seketika. Itu semua Akma sudah tahu dan mengerti. Itu semua sudah Akma jalani hampir setiap hari dengan penuh tabah dan berani.

Keluhan demi keluhan yang terhambur keluar daripada mulut mulus itu cukup kuat untuk didengari. Keluhan yang berat dan maha hebat seolah keluhan itu dikeluarkan tatkala nyawa di hujung tanduk. Akma sudah tidak merasai apa-apa lagi. Sepanjang hidupnya, tiada banyak hilai tawa yang menggoda dan yang ada cumalah kesepian dan kepiluan yang meruntun jiwa. Akma sudah biasa. Sudah biasa dicaci dan dipandang serong. Sudah lali dengan bisikan di belakang tabir yang memisahkannya dengan penghuni yang lain. Namun, Akma tidak peduli. Hidup harus diteruskan dan semangat tidak boleh rebah kerana belum sampai waktunya Akma harus mengalah. 

Akma membelek tudung putih pemberian Ikram semalam. Masih lagi baru dan harum baunya. Akma membawa tudung itu ke hidungnya dan diciumnya haruman tudung itu dalam-dalam. 

"Ikram mahu Akma menjadi wanita solehah. Ini hadiah ikhlas daripada saya." Ikram menyua satu bungkusan plastik yang berisi tudung putih itu.

"Akma bukanlah orangnya yang Ikram cari. Mustahil Akma akan menjadi wanita solehah seperti yang Ikram idamkan." Akma menggeleng kepala.

"Mengapa tidak? Jika Akma memilih laluan yang betul, Akma juga pasti akan menjadi wanita soleheh." Ikram membantah.

"Akma tidak tahu apa itu wanita solehah. Apakah dengan bertudung Akma terus menjadi soleh?" Soal Akma tanpa berselindung.

"Buat permulaan Akma harus menutup aurat. Lepas itu, Akma boleh mula menunaikan solat dan membuat kebaikan dan meninggalkan segala yang Tuhan larang." Ikram cuba memujuk.

"Akma lihat ramai wanita bertudung tetapi tidak menjaga tutur kata dan tingkah laku. Apakah istimewanya mereka daripada Akma?" Soal Akma berbelah bagi.

"Tiada bezanya, cuma dosa tidak menutup aurat sudah terlepas bagi mereka. Dosa yang lain, itu di antara mereka dengan Tuhan. Tak payahlah Akma fikirkan." Ikram membalas.

"Akma wanita hina. Banyak dosa. Akma tidak layak buat Ikram." Akma mengetip bibir. Sejeda cuma, segala perbuatan lampaunya terus menerjah ke mata. Bayi yang masih bertali pusat itu merah berdarah di dalam pangkuannya. Akma kebuntuan arah, kehabisan cara. Lalu, dibiarkan bayi suci itu menangis di tepi sebuah lorong gelap yang dipenuhi sampah sarap dan Akma lesap entah ke mana.

Tetapi itu sepuluh bulan yang lalu. Bayi itu dijumpai dan dipertemukan semula dengan Akma di pusat pemulihan akhlak. Di situlah Akma merintih dan mengadu kepada Tuhan yang esa, bertaubat nasuha dan memohon keampunan di atas kesilapannya. Haram. Ya, apa yang haram telah dilakukannya dan kini Akma sudah insaf bahawa perjalanan berliku itu pasti akan diperbetulkan semula jika hatinya ikhlas. Dan Ikram yang sabar dan tenang bak guru yang cekap mengemudi arah lalu menunjukkan Akma kepada jalan yang lurus dan benar. 

"Akma mahu diredhai Tuhan kan?" Ikram menyoal.

"Ya... Akma tersalah pilih jalan. Kini, Akma mahu membetulkan semula semua jalan berliku yang pernah Akma tempuhi supaya menjadi lurus." Beria benar Akma sambil mengesat air mata yang sudah mulai tumpah.

"Alhamdulillah. Allah memang sukakan manusia yang bertaubat. Lebih baik daripada manusia yang langsung tidak sedar akan dosa dan kelemahannya. Akma sebenarnya insan terpilih." Ikram sejujurnya membuat hati Akma setenang air di kali.

"Tetapi apakah Ikram sudi menerima Akma di dalam hidup Ikram kerana hinanya Akma sehingga terlahirnya bayi yang tidak berdosa?" Merah mata Akma memandang sayu wajah Ikram.

"Tidak... Ikram akan membimbing Akma sehingga ke akhir hayat. Ikram berjanji yang syurga menanti kita di sana." Ikram tersenyum sambil menunggu jawapan yang dinantinya sejak dua minggu lepas. Akma tersenyum lalu mengambil tudung putih yang harum itu lalu disarungkan di kepalanya. Manisnya bukan kepalang wajah Akma di mata Ikram. Lalu Ikram menyambut senyuman itu sambil melihat ke dalam mata Akma yang menceritakan sesuatu. Akma mengangguk malu tersipu-sipu. Dan Ikram seolah faham apakah yang Akma maksudkan lalu memanjatkan syukur.

"Ikram akan menjaga dan membimbing Akma sehingga ke sana." Ikram tersenyum. 

"Sehingga ke syurga?" Akma menyoal lembut.

"InyaAllah." Ikram membalas lalu bersujud syukur mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana telah membuka pintu hati Akma. Beruntunglah wanita jika mendapat suami yang soleh yang boleh membimbingnya dan setelah itu, segala keluh kesah dan kekesalan Akma setiap malam diganti dengan pujian terhadap Ilahi dan pengharapan yang mendalam agar diberikan syurga Firdausi. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan sesungguhnya Akma adalah di antara wanita-wanita yang beruntung.       

Dapur Idaman

Sebagai seorang wanita dan ibu, kita pasti tidak boleh lari dari kehidupan berkeluarga apatah lagi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu yang tidak akan putus sehingga ke akhir hayat. Kita sudah tentu mengimpikan keluarga yang harmoni dan bahagia juga rumah yang diibaratkan seperti syurga. Tidak ada yang lebih membahagiakan selain daripada memikul tugas sebagai ibu yang menguruskan rumah dan kebajikan keluarganya. Selain urusan seharian yang sudah menjadi rutin, saya juga gemar ke dapur dan mencuba resepi-resepi baru. Walaupun kekadang saya membeli makanan di luar, atau makan di restoran, saya juga sering memasak untuk ahli keluarga saya. Anak-anak pun sudah membesar maka selera mereka pun sudah bertambah dan sudah pandai memilih makanan. Ada juga yang 'demand' macam-macam sehingga memeningkan kepala sebenarnya. 

Dan bila sebut saja soal makanan, kita tidak boleh lari dari menyebut soal dapur. Banyak majalah dan program televisyen yang memaparkan keindahan rekaan dapur daripada yang tradisional sehinggalah yang moden dan kontemporari. Semuanya ada keistimewaan sendiri. Saya selalu juga berangan-angan mahu membuat dapur yang baru dan kali ini saya mahu menerapkan kombinasi warna putih dan hitam. Saya lebih gemarkan rekaan yang agak 'country' namun lebih ke arah kontemporari. Rekaan yang terlalu moden seperti memasang sinki aluminium dan jubin aluminium tidak menarik minat saya. Saya lebih gemarkan jubin terracota atau jubin yang kesat supaya menampakkan imej 'country'nya. Entah mengapa hati saya cukup terpaut dengan warna putih atau cream yang tampak bersih. Buat permulaan, saya menghiasai bilik tidur saya dengan warna perabot yang putih dan kemungkinan besar, jika ada rezeki, dapur baru saya juga akan diserikan dengan warna yang sama. Sudah tidak sabar rasanya! Hai, angan-angan tak sudah-sudah!

Friday

Papan Tanda Lucu

Kesian! Adakah patut kanak-kanak yang dibiarkan tidak dijaga akan dijual di sarkas! Agak-agaknya ada tak kanak-kanak yang akan dijual nanti? Ini baru satu sahaja papan tanda yang membuat kita geli hati, malah ada juga yang membuat kita ketawa kelucuan. Kadang-kadang kalau kita berjalan ke tempat-tempat yang agak terpencil, macam-macam papan tanda yang boleh kita lihat.


Contohnya yang ini. Mungkin papan tanda sebegini lebih efektif sebab walaupun ada unsur-unsur kelucuan, ianya melarang penduduk tempatan memandu dengan laju, kerana kalau memandu dengan laju, ke penjaralah jawabnya! Jika tidak mahu dipenjarakan, memandulah dengan perlahan. Mungkin lebih berkesan daripada papan tanda konvensional yang kita ada sekarang ini.





Yang ini pula? Cukup menarik dan benar juga. Kebanyakan daripada kita kalau sudah putus cinta atau di alam percintaan, selalu benar mengatakan bahawa mereka tidak boleh hidup tanpa cinta, tapi kalau tiada oksigen apakah kita boleh hidup? Hmm... betul juga. Yang mana lebih penting? Oksigen atau cinta? Mungkin oksigen dulu barulah yang lain menyusul. Bila cukup oksigen, barulah hidup lebih sihat, betul tak?


Hah... Yang ini pula, macam mana? Ada yang setuju tak? Mungkin ini bukan papan tanda, tetapi kalau ikutkan trend, budaya Facebook semakin menjadi-jadi. Sehingga boleh menjadi ketagihan sehingga semuanya menjadi lalai. Slogan ini sebenarnya memerli mereka-mereka yang ketagihan Facebook sehingga terlupa makan dan minum, tetapi daripada ketagihan dadah lebih baik ketagihan Facebook, begitulah agaknya maksud di sebalik kenyataan ini. Tetapi, adakah ibu bapa yang bangga anaknya ketagihan Facebook? Sebenarnya, ketagihan apa-apa pun jika membuat kita lalai sehingga terlupa solat, makan dan minum tidaklah elok untuk kehidupan. Jadi, biarlah semuanya dibuat di dalam kesederhanaan, betul tak?

Wednesday

Menyusuri Jalan di San Francisco Road

Menyusuri jalan di San Francisco Road
Yang lurus dan tegak
Aku bak kelana bisu.

Mendaki jalan bertar
Yang jauhnya bak sehari perjalanan
Diri jadi resah dan gundah.

Masakan tidak
Di kiri kanan jalan
Tertebar jejaka-jejaka kacak
Yang berpelukan dan ketawa senda
Seolah tiada sesiapa yang melihat
Tiada malu, tiada peduli
Hidup kami, dunia kami
Jangan diprovokasi.

Menyusuri jalan di San Francisco Road
Aku melihat yang haram menjadi halal
Yang biasa bak ketinggalan zaman
Yang leka bercanda, berketawa
di mana sahaja.

Kamilah raja! Kamilah ratu!
Jangan diusik hak kami
Kami mahukan keadilan!.
Kami mahukan kesaksamaan!
Kami mahu didengari!.

Menyusuri jalan di San Francisco Road
Hati menjadi resah gelisah
Pedih menahan rasa
Melihat sepanduk dan laungan merata-rata
Yang gadis berpelukan sesama sendiri
Yang teruna menari tidak berhenti
Demi hak yang diperjuangkan
Selama ini.

Kami mahukan hak kami!
Itu hak kami!
Yang jejaka berpasang-pasangan
Yang gadis berpimpinan tangan
Melaungkan "We want equal rights!"

Menyusuri jalan di San Francisco Road
Aku melihat keruntuhan akhlak dan moral
Muda mudi zaman ini
Menuntut hak yang hakiki.

Ah! Aku tidak mahu masuk campur.
Biarkanlah mereka melaungkan
apa yang mereka rasa.
Aku hanya mahu mendapatkan keredhaan Ya Rabb yang hakiki.
Lantas, aku terus berjalan
Seolah aku buta dan tuli.
Dan terus berjalan ke destinasi
Tanpa mahu menoleh lagi.

Monday

Pengalaman Baru di Pesta Buku Antarabangsa 2012

Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung di PWTC baru-baru ini memberikan saya satu pengalaman baru, kejutan dan juga kegembiraan. Setelah dijemput menghadirkan diri pada 1 Mei 2012 di Gelanggang Penulis PTS, saya pun membuat persediaan ringkas untuk ke sana sebagai penulis jemputan. Belum pernah ada pengalaman sebagai penulis jemputan tetapi pernah ke pesta buku lebih dari sepuluh tahun lepas. Masih ingat akan kemeriahannya dan jumlah pengunjung yang ramai, maka saya mengambil pengalaman itu sebagai panduan saya. Maka, sehari sebelum pesta buku itu berlangsung, saya pun bertolak ke Kuala Lumpur. Sehari sebelumnya, saya sibuk menyusun cenderahati yang bakal diberikan kepada pembaca bertuah yang membeli buku saya. Saya membeli satu beg kecil untuk diletakkan 'key chain' yang telah ditempah khas, 'plate welcome' untuk digantung dan penanda buku dari kayu yang berasal dari Indonesia. 

Saya sungguh teruja namun jauh di sudut hati bimbang jika tiada sesiapa yang sudi membeli buku saya. Al maklumlah, saya baru saja berjinak di dalam bidang ini secara serius dan baru saja mempunyai dua buah buku, satu lagi dari Karnadaya bertajuk Salahkah Aku?. Beberapa kali saya suarakan kebimbangan kepada ibu dan adik saya, malulah jika tiada sesiapa mahu beli atau mohon tandatangan nanti. Namun, beberapa jam sebelum bertolak ke PWTC, saya dihubungi oleh Editor PTS bahawa buku saya semuanya sudah habis dijual dan tiada buku lagi di dalam stok. Saya agak tergamam kerana saya sudah bersedia untuk berjumpa dengan para pembeli buku, hati jadi teragak-agak dan gusar kerana membayangkan apakah semuanya akan dibatalkan dan agak kecewa kerana saya sebenarnya menantikan saat itu. 

Namun, saya berkata bahawa saya akan pergi juga untuk berkenalan dan memberikan sokongan walaupun buku saya sudah kehabisan stok. Di dalam hati tidak henti mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana buku saya menjadi 'sold out' di dalam kurang dua bulan ianya diterbitkan. Saya berharap bahawa itu adalah penanda yang baik dan positif. Namun, pada masa yang sama agak kecewa kerana tidak boleh menandatangani buku dan memberikan cenderahati istimewa yang sudah saya sediakan. Tetapi, gembiranya tidak terkata kerana buku saya mendapat sambutan dan orang juga sudah mulai mengenali nama saya. Saya berniat mahu meneruskan menulis dan menjadikannya sesuatu yang serius selepas ini. InsyaAllah. Terima kasih buat PTS yang sudi menerima idea dan manuskrip saya yang original!