Sunday

Bagaimana Mahu Menulis Sebuah Novel?



Hari ini saya meluangkan sedikit masa untuk berkongsi dengan anda bagaimana caranya anda mahu mula menulis sebuah novel. Ini kerana ada segelintir yang saya lihat agak keliru dan ‘lost’ untuk membina rangka yang perlu untuk menghasilkan satu novel yang rapi dan kemas. 

Apa-apa juga kerja haruslah dimulakan dengan perancangan yang baik termasuklah menulis novel. Jika anda tidak merancang penulisan dengan baik, besar kemungkinan karya anda akan ditolak atau dirombak secara besar-besaran. Ini sesuatu yang cukup merugikan masa dan tenaga anda. Oleh itu, buat penulis-penulis muda, mari kita teliti perkara di bawah supaya anda nampak jelas hala tuju anda untuk merangka sebuah cerita yang menarik.


Bagaimana Mahu Mula Menulis Novel?


1.    Mencari Inspirasi  - Menulis novel ialah satu proses kreatif. Kita tidak akan tahu bila idea itu akan muncul. Maka, anda disarankan untuk membawa buku nota dan sebatang pen ke mana-mana sahaja anda pergi. Anda mungkin akan tertarik dengan satu berita di surat khabar atau terjumpa satu karektor yang menarik di sebuah kedai kopi atau teruja melihat sebatang pokok yang rimbun di tepi sebuah tasik. Tuliskan perkara-perkara yang menarik minat anda.  Mereka mungkin berguna untuk penulisan anda satu hari nanti. Anda boleh menulis satu perkataan, beberapa ayat atau perenggan mengenai apa yang menarik perhatian anda.

Selain itu, anda juga boleh mengimbas kembali kisah-kisah yang diceritakan oleh orang-orang di sekeliling anda seperti ibu, bapa, nenek, datuk, kawan atau saudara mara.

Kenang kembali beberapa peristiwa ketika kecil, remaja dan dewasa yang mungkin boleh dijadikan bahan yang menarik di dalam novel anda.

Perhatikan sikap, tingkah laku dan watak-watak di sekeliling anda. Perangai kawan sepejabat atau sekolah, mimik muka, gerak tubuh badan dan aura yang mereka miliki.

Semua elemen-elemen ini boleh membantu anda untuk mendapatkan inspirasi untuk memulakan penulisan.

2.    Pemilihan Genre -  Sebelum memulakan penulisan, pilihlah genre yang anda minati dan sasaran pembaca anda. Baca dan buat kajian tentang genre-genre yang sama untuk mendapatkan ‘feel’ yang sesuai. Ia juga bertujuan untuk anda membuat perbandingan akan gaya bahasa dan cara penulisan penulis lain di dalam genre yang sama. Pastikan anda menulis lebih baik lagi setelah membuat kajian tersebut. Pastikan juga jalan cerita dan tema anda adalah lain daripada yang sedia ada di pasaran.

Novel-novel sastera selalunya mempunyai tema yang agak berat dan bahasa yang sarat dengan simbolisme dan ayat-ayat yang agak kompleks.

Novel popular atau komersil dihasilkan untuk menghiburkan pembaca dan terdiri di dalam pelbagai genre seperti misteri, sains fiksyen, chic-lit, fantasi, cinta, kekeluargaan, sejarah dan banyak lagi. Novel jenis ini biasanya laris di pasaran.

3.    Pemilihan Latar – Setelah anda menentukan genre, sudah tiba masanya anda memilih latar yang sesuai. Pilih pekan, negeri, negara atau latar yang boleh menentukan ‘mood’ watak dan cerita anda. Latar juga boleh direka mengikut kesesuaian cerita. Fikirkan di mana watak anda tinggal, samada mereka tinggal di negeri atau daerah yang sama atau berlainan, juga durasi masa yang untuk keseluruhan cerita.

4.    Pemilihan Watak – Watak yang utama sudah tentulah watak seorang protagonis. Watak utama tidak semestinya satu watak yang baik atau disukai ramai tetapi wataknya harus boleh dikenalpasti atau boleh didapati di sekeliling kita. Dalam erti lain, satu watak yang ‘relatable’ buat pembaca iaitu ketika mereka membaca mereka merasakan watak itu pernah mereka lihat atau pernah dialami sendiri di dalam kehidupan seharian.

Watak utama juga haruslah mempunyai ciri-ciri yang boleh memberikan inspirasi buat pembaca. Jika seorang wanita atau gadis, pilihlah watak yang menunjukkan dia seorang wanita atau gadis yang kuat semangat, cekal, hebat dan bukannya wanita atau gadis yang lemah dan tidak berdaya. Tidak ada apa yang menariknya jika watak kita ialah satu watak yang lemah dan tidak mempunyai personaliti dan buah fikiran yang bagus.

Selain itu, anda juga harus mengujudkan watak-watak sampingan atau pembantu yang boleh menggerakkan cerita. Pastikan setiap watak itu mempunyai sifat dan pemikiran yang berlainan dan cara bercakap yang berbeza. Ini anda boleh tonjolkan di dalam naratif dan dialog.

5.    Plot – Pastikan kisah anda mempunyai konflik. Ada naik turun dan ada klimaksnya. Cerita yang mendatar tidak mampu menarik minat pembaca untuk membaca sampai habis. Pastikan juga setiap konflik yang ada diselesaikan di hujung cerita.

Anda boleh menulis mengikut kronologi, imbas kembali atau ke belakang atau ke hadapan mengikut plot yang anda rangka.

6.    Sudut Pandang Watak (POV) – Kebanyakan novel dihasilkan dengan sudut pandang ketiga dan pertama. Sudut pandang ketiga ialah sudut pandang watak daripada satu perspektif luaran, manakala sudut pandang pertama ialah satu sudut pandang yang yang diceritakan melalui watak utama itu sendiri iaitu ‘aku’.

7.     Bermula Tanpa Perancangan – Selain merancang semua perkara-perkara yang disebutkan di atas, anda juga boleh memulakan sebuah kisah dengan cara yang tidak dirancang. Mungkin ketika anda terlihat beberapa orang bergaduh di sebuah pasaraya atau ketika anda terdengar satu perbualan di antara jiran tetangga yang memungkinkan anda mahu menukilkan sesuatu dengan segera. Namun, lebih baik anda merangka keseluruhan plot selepas itu supaya idea anda tidak lari dan lebih tersusun. Dengan cara ini, hasil kerja anda akan lebih mantap dan kemungkinan untuk ia diubah, dirombak dan dicantas oleh editor adalah sedikit sahaja. Perancangan yang tersusun dan teliti akan menghasilkan kerja yang juga kemas dan enak untuk dibaca. Anda juga tidak akan merugikan masa anda membetulkan manuskrip beberapa kali kerana kelemahan plot dan jalan ceritanya. 

Selamat Menulis!




  

Monday

Apabila Gerak Hati Mula Berbicara

Kadang-kadang gerak hati selalunya benar. Di dalam situasi saya, jarang gerak hati saya menipu. Jika saya memikirkan tentang sesuatu atau jika hati saya tergerak tentang sesuatu, saya selalunya betul walaupun di ketika gerak hati itu menerpa, keadaan atau orang sekeliling menafikannya.

Seringkali, apabila gerak hati saya mula berbicara, Allah akan berikan petunjuknya. Allah akan halakan ke mana harus saya pergi dan cari arah tujuan gerak hati tersebut. Di saat itu juga, saya akan menemuinya. Menemui punca kepada gerak hati yang menerpa tiba-tiba. Jarang gerak hati saya tersasar. Selalunya, apa yang digerakkan oleh hati saya akan terbukti benar akhirnya.

Secara ringkas, saya seorang yang bukan mudah untuk ditipu atau dipermainkan. Saya boleh menjadi amat baik tetapi apabila saya merasakan diri saya dianiayai atau ditipu atau dipergunakan, saya akan mempertahankan pendirian saya. Jika pada asasnya saya kelihatan lembut tetapi di dalam hati saya begitu kuat dan kental. Masakan tidak, saya tidak suka dianggap mudah diperdaya atau mudah dikelentong. Saya tidak suka orang menganggap saya mudah dipergunakan tambahan pula dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal. Tuhan memberikan saya akal fikiran dan akal fikiran saya masih lagi mampu berfikir secara waras. Mampu membezakan apakah alasan atau masalah itu boleh digunapakai atau dibakul sampahkan.

Namun, pada masa yang sama, saya juga mempunyai hati dan perasaan macam yang lain-lain juga. Saya masih boleh menimbangkan perkara yang baik dan buruk, dan apa yang wajar dilakukan jika diri ini dilanda konflik yang membungkam emosi. Saya akan berdoa dan membaca Al Quran dan memohon petunjuk dari-Nya. Saya faham, kita semua ialah manusia dan sebagai manusia kita tidak maksum. Kita masih lagi dikawal oleh nafsu, kehendak atau perasaan yang pelbagai. Maka, atas dasar ihsan dan kasih sayang, saya rela juga menimbang tara setiap kejadian dan mengambil hikmah di sebaliknya. Saya merasakan ada beberapa perkara yang saya agak tegas terutamanya di dalam pembentukan akhlak dan moral. Saya juga amat berhati-hati dengan kata-kata yang diucapkan walaupun kadang-kadang saya juga boleh terbabas dek emosi yang mencengkam terutamanya jika saya merasakan saya dianiaya atau ditipu.

Ini satu perasaan yang boleh mengubah emosi saya. Saya seorang yang lurus dan berpegang kepada kata-kata. Jika ada perubahan, ia harus disusuli dengan permohonan maaf dan penjelasan yang wajar mengapa kata-kata sebelum ini wajar diubah. Jika tidak, saya boleh menjadi keliru dan ia tidak baik untuk satu-satu perhubungan baik di dalam bidang profesional atau pun peribadi.

Secara umum, saya seorang yang boleh menjadi sensitif jika ia melibatkan sesuatu yang peribadi. Tambahan pula jika ia melibatkan orang yang kita sayang. Saya mahu orang yang saya sayangi menjaga tutur kata dan perbuatan di mana-mana saja mereka berada. Saya harus diyakinkan yang mereka akan tetap berpegang kepada janji dan kata-kata. Namun, jika kepercayaan yang diberikan sudah ternoda, ia akan mengambil masa untuk dipulihkan semula. Saya mahu hidup aman dan tenang disamping insan-insan tersayang dan ketenangan itu hanya boleh dicapai dengan kepercayaan. Allah pun berkata bahawa diciptanya lelaki dan perempuan (suami isteri) untuk membuat kita merasa tenang dan bukannya untuk membuat hati risau, keluh kesah dan bimbang sepanjang masa.

Saya harus kembali muhasabah diri. Saya harus mencari semula kepercayaan yang agak goyah ini agar kembali stabil. Dan saya memerlukan sokongan dan pemahaman bahawa saya juga insan yang tidak sempurna. Ada masanya saya dikawal oleh emosi tetapi bukankah itu tandanya saya sayang dan mengambi berat akan semua perkara.

Cuma, satu perkara yang boleh merosakkan apa sahaja ialah apabila kepercayaan itu sudah punah sama sekali dan di ketika itu, apa pun mungkin tidak mampu mengubah keadaan.  Saya berharap ia tak akan berlaku sama sekali dan buat selama-lamanya.

Maaf jika hati ini berbicara di sini kerana ada masanya ruang kecil ini begitu sempit untuk dikupaskan segala perasaan. Dan ruang kecil ini hanya mampu melepaskan sebahagian sahaja daripada sejuta rasa yang tersimpan, terpendam dan terkunci di dalam hati.

Saya sedar hidup ini satu perjalanan dan kita tak akan berhenti berjalan sehinggalah kita tinggal di dunia yang kekal abadi. Apa yang saya maklum, semua perjalanan dan pengalaman itu haruslah kita kutip dan jadikan pengajaran agar kesilapan yang sama tak akan kita lakukan sekali lagi.

Buat saya dan dia, semoga semua ini dijadikan iktibar agar kita lebih berhati-hati di dalam kehidupan kerana Allah itu sentiasa memerhati dan akan menunjukkan yang hak dan batil apabila tiba masanya nanti. Lebih baik kita sentiasa bersih daripada segala perkara, di depan dan di belakang kerana walaupun kita mungkin boleh terlepas dari manusia tetapi tidak dari Allah Yang Maha Esa.

Hati-hati memilih kawan, jaga-jaga dengan semua keadaan dan tulus di dalam segala perbuatan. Insya-Allah kita selamat dunia dan akhirat.

Moga bermanfaat buat kita semua.  
 

 

 

 



 


Wednesday

Islam Itu Indah Jika Kita Memahaminya

Hidup ini satu perjalanan. Ia mengajar kita erti penat, kecewa, gembira, bahagia dan pelbagai lagi rasa. Namun, hidup ini tiada erti jika kita tidak mahu merenung ke dalam diri dan memperbaiki kekurangan dan kelemahan kita. Kita tidak sempurna tetapi kita boleh memilih untuk mengubah diri kita menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Jangan kata aku sudah macam ini, suka hati akulah aku nak cakap atau buat macam mana. Ini tandanya hati kita masih lagi angkuh dan sombong bukan hanya dengan manusia tetapi dengan Tuhan.

Jika sebelum ini kita engkar dengan perintah Tuhan, ubahlah dan koreksilah diri. Engkar dengan Tuhan bukan sahaja berkenaan solat dan puasa, tetapi ia lebih daripada itu. Jangan kata kita patuh dan sayangkan Tuhan jika hati ini masih berkata-kata sinis di dalam, penuh prasangka, mengadu domba, bangga diri, riak dan takbur dengan kehidupan kita.

Riak dengan kisah diri sendiri dan keluarga, riak dengan merasa diri ini baik, riak dengan merasa hati kita bersih padahal setiap hari kita ketawakan orang atau menyindir orang lain secara kita tidak sedar. Mungkin kita sudah terbiasa maka sifat itu sudah sebati di dalam diri sehingga kita gagal melihat yang ia adalah salah satu sifat yang dicela Tuhan.

Kita harus berubah dari hari ke hari. Kita harus menjadi lebih baik dari kehidupan kita yang lepas. Kata-kata, penulisan, kata hati, perbuatan kita haruslah dibaiki setiap masa supaya Allah menjadi suka dan sayangkan kita. Jangan kita berada di takuk lama sejak azali sehingga kita mati. Jangan kita sangka kita tidak ada berbuat dosa jika setiap hari kita menyakitkan hati orang lain dengan kata-kata, tulisan dan perbuatan kita. Jangan kita ingat kita sempurna jika hati masih bongkak enggan mengaku kelemahan dan memperbaikinya.

Ia semua bermula dari hati. Hati yang angkuh ialah hati yang tidak mampu melihat apakah kesalahan diri sendiri tetapi hanya mahu melihat kesalahan orang lain. Mahu mencari kesalahan orang yang sengaja dikorek-korek untuk diperkatakan di sana sini. Sepatutnya hati harus selalu dibersihkan dari kotoran-kotoran dunia sehingga apa sahaja yang kita ucapkan dan tuliskan ialah perkara yang baik-baik sahaja. Hati yang baik tidak sanggup menulis kata nista, bercakap tentang diri sendiri, memuji diri sendiri dan melihat jahatnya orang lain. Hati yang baik akan membuat urusannya sendiri dan tidak mahu mencampuri dengan benda-benda tidak berfaedah apatah lagi mahu membebankan diri dengan perkara-perkara duniawi yang boleh melalaikan kita.

Setiap hari kita harus menangisi betapa hinanya kita. Setiap hari kita harus menangis melihat akhlak kita. Setiap hari kita harus menangis mengenangkan dosa-dosa kita. Setiap hari kita kena berubah dan mengawal perasaan kita. Setiap hari kita kena berdoa yang baik-baik untuk diri, anak-anak dan keluarga kita juga umat Islam keseluruhannya.

Kita belum cukup Islam jika kita tak mendoakan sesama kita. Sehingga kita benar-benar faham apa itu cara hidup Islam yang dituntut Tuhan, kita sebenarnya bukan lagi Islam sepenuhnya. Jangan Islam hanya pada nama tetapi jadilah Islam yang sebetul-betulnya dari segi pakaian, tutur kata, tingkah laku, akhlak, sifat, sikap, hati, pergaulan dan macam-macam lagi yang Allah suruh.

Fahamilah yang Islam itu ialah satu cara hidup. Maka pilihlah semuanya dan bukan hanya beberapa perkara yang kita suka dan meninggalkan yang lainnya.

Jangan bagi Allah murka. Ubahlah diri kita supaya menjadi lebih baik dari semalam. Hindarilah fitnah dan pujian terhadap diri sendiri tetapi sentiasalah muhasabah diri supaya kita menjadi lebih bagus lagi dari hari ke hari.
Insya Allah kita cuba sama-sama.

Tuesday

Malaikat, Jinn dan Manusia

Allah mencipta malaikat, jinn dan manusia. Di dalam 90 malaikat, ada 9 jinn dan 1 manusia. Ini bermakna jumlah malaikat ialah jumlah makhluk yang paling ramai dan manusia ialah yang paling sedikit. Kita dikelilingi oleh makhluk-makhluk ini tanpa sedar kerana mereka mempunyai entiti dan zarah yang berlainan daripada kita.

Muhammad Isa Dawud pula menghuraikannya, " Perbezaan umur jinn dengan manusia ialah 1:10."

Ini bermakna jinn yang berusia 10 tahun, tahap perkembangan fizikal dan mentalnya sama dengan manusia 1 tahun. Begitulah purata umur jinn dengan manusia. Manusia hidup sekitar 70 - 80 tahun manakala jinn pula hidup 700 - 800 tahun.

Umur jinn yang panjang menyebabkan ilmu dan teknologi mereka berada jauh di hadapan manusia. Mereka juga dicipta sebelum manusia dicipta. Dikatakan bahawa kemajuan sains dan teknologi bangsa jinn melebihi kemajuan umat manusia sejarak 300 tahun.

Wallahua'lam.

Bukan Kerana Nama

Kita selalu fikir, apa sahaja yang datang dari barat itu kita perlu ikut. Dari gaya hidup, pemikiran, daya juang, corak kerja, peranan keluarga, pemakaian dan banyak lagi. Apa yang barat buat, kita sanjung. Mereka umpama rujukan kita.

Tetapi, sebenarnya apa yang kita perlu ikut ialah cara hidup Islam. Dalam Islam, setiap daripada kita ada haknya dan peranannya. Keluarga itu penting. Isteri menjaga keluarga. Suami mencari nafkah. Waktu siang bekerja, malam kita tidur. Waktu solat, kita solat. Bila keluar, kita menutup badan kita.

Tapi, dunia sudah terbalik. Isteri mencari nafkah, suami duduk rumah. Siang kita tidur, malam kita berjaga. Anak-anak terbiar tanpa perhatian secukupnya. Waktu solat diabaikan kerana 'sibuk dan tak ada masa' padahal masa banyak dihabiskan dengan berangan, melepak dan berinternet atau dihabiskan dengan urusan kerja yang tak habis-habis.

Bila kita nak berubah?

Keluarga itu amanah. Jaga dan ambil peduli.

Ia patut diletakkan di aras tertinggi selepas tuhan dan rasulnya.

Bukan harta, pangkat atau nama.

Friday

Gaya Bahasa Novel - Personafikasi dan Simile

Baru-baru ini kita bercakap mengenai Metafora dan Hiperbola. Hari ini kita belajar lagi dua elemen atau gaya bahasa yang ada di dalam sebuah novel iaitu Personafikasi dan Simile.

Personafikasi bermaksud memberikan unsur manusia kepada benda yang bukan hidup. Sebagai contoh:

*Angin yang bertiup menampar pipiku yang mulus (Angin diberikan sifat manusia iaitu menampar)
*Dedaunan hijau yang melata melambai-lambai keriangan ( Daun diberikan sifat manusia iaitu melambai dan riang)
*Udara dingin di malam itu menggigit tulangku sehingga aku menggigil kesejukan ( Udara diberikan sifat manusia iaitu menggigit)
*Awan menangis kepiluan setelah seharian dirundung duka ( Awan diberikan sifat manusia iaitu menangis dan duka)
*Sungai yang mengalir ketawa girang setelah hujan turun membasahi bumi (Sungai diberikan sifat manusia iaitu ketawa girang)

Simile pula bermaksud perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata bandingan seperti umpama, bak, bagai, se dan sebagainya. Sebagai contoh:

*Matanya bersinar bak mutiara yang berkelipan
*Suaranya merdu bak buluh perindu
*Hatinya hancur bagai kaca yang terhempas ke batu
*Dirinya umpama gelandangan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
*Bicaranya sehebat peribadinya yang luhur

Semoga perkongsian ini mendapat manfaat buat kita semua.

Jadi, buat yang mahu menulis, jangan lupa applikasikan semua elemen-elemen ini ya!

Gaya Bahasa Novel - Metafora dan Hiperbola

Salah satu elemen yang penting ketika menulis ialah gaya bahasa. Melalui gaya bahasa, kita boleh menghayati sesuatu watak atau latar belakang dengan lebih jelas lagi. Salah satu gaya bahasa yang patut ada di dalam sebuah novel ialah Metafora dan Hiperbola.

Metafora ialah pengunaan gaya bahasa yang membawa maksud yang berlainan daripada perkataan asalnya yang digunakan sebagai perbandingan atau kiasan. Sebagai contoh:
  


*Lautan duka
*Kota derita
*Cahaya keimanan
*Lembah sengsara
*Dedaunan sepi

Hiperbola pula gaya bahasa perbandingan yang berlebih-lebihan bagi menggambarkan sesuatu. Sebagai contoh:

*Suaranya membelah sehingga ke langit ketujuh
*Hentakan kakinya bak guruh yang berdentum
*Wajahnya bercahaya gilang gemilang
*Kulitnya tercalar duka yang menghiris
*Tajam matanya membelah jiwa

Di dalam novel Glamor & Vogue, Itulah Aku! saya banyak menggunakan gaya bahasa hiperbola bagi menggambarkan watak Anatalia dan pengalamannya yang melampau ketika berpeluang bercuti dengan percuma di seluruh dunia.

Bagi yang ingin mengetahui bagaimana saya menggunakan gaya tersebut, bolehlah dapatkan novel tersebut di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Kenangan Yang Menjengah Memori

Apabila sepupu, ibu dan bapa saudara saya makan di rumah tengah hari tadi, kami sempat berbual mengenai sepupu saya yang akan bertolak ke Sheffield, England petang esok. Sempat juga saya berkongsi sikit-sikit apa yang patut berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika di sana. Secara tiba-tiba, perasaan nostalgia terus menerkam diri.

Saya teringat waktu pertama kali saya ke sana. Ketika itu saya masih lagi menuntut di UM dan berada di sana selama dua minggu. Saya tinggal di Leeds dengan satu keluarga yang berbangsa British. Petang itu, waktu pertama kali mahu makan bersama setelah tiba, saya ke dapur dan melihat satu pinggan yang diisi dengan ketulan besar daging khinzir (mujur bukan kepalanya). Hati saya berkata-kata sendiri di dalam keadaan serba salah. Saya harus memberitahu tuan rumah yang kami (saya dan kawan saya) tidak makan daging khinzir. Mujurlah dia faham dan memohon maaf.

Maka, malam itu kami hanya makan beberapa biji telur rebus dengan kentang. Daging khinzir itu langsung tidak dihidangkan sama sekali. Malah langsung saya tidak nampak. Mereka begitu menghormati kami yang beragama Islam. Sehingga kini saya masih mengingati bau haruman rumahnya yang amat semerbak apabila kaki melangkah masuk ke dalam rumah dan juga sifat prihatin mereka terhadap saya dan rakan saya.

Kali kedua saya ke sana ialah ketika saya ingin menyambung lagi pelajaran saya. Saya mendapat tempat di sebuah universiti di Leicester di dalam jurusan Komunikasi Massa. Di dalam kursus itu, hanya ada dua sahaja pelajar daripada Malaysia. Yang lain-lain adalah dari Afrika, India, Itali dan beberapa negara Eropah yang lain. Saya rapat dengan seorang pelajar India dan beberapa pelajar Afrika. Mereka memang baik dan lemah lembut juga sedia menolong.

Semasa di Leicester, saya tinggal seorang diri. Pada mulanya saya menyewa sebuah rumah di tingkat dua. Ia mempunyai loteng dan dapurnya sendiri. Ke mana pun saya pergi, saya tak boleh hidup tanpa dapur. Itu satu kemestian buat saya. Saya juga memilih tempat itu kerana di bawahnya ada kedai runcit dan bekalan daging-daging yang halal. Mudah bagi saya membeli barangan runcit dan mentah. Tetapi, akhirnya saya berpindah ke sebuah apartmen universiti kerana faktor keselamatan. Di apartmen, keselamatan saya lebih terjaga kerana ada pas masuk dan cctv di mana-mana.

Jadual waktu pelajar adalah cukup santai. Tetapi, kita harus rajin berusaha dan mencari sendiri ilmu. Kebanyakan pelajar asing bukanlah seperti pelajar Malaysia. Mereka yakin diri, berani dan boleh mengeluarkan pendapat. Pelajar Malaysia masih malu-malu dan gemar bergaul dengan kelompok sendiri. Tetapi, kehidupan di rantau orang banyak mengajar kita berdikari.

Susah senang, sakit sihat, semuanya ditanggung sendirian. Satu pengalaman hakiki yang banyak mengajar erti tabah dan kuat. Walaupun ia sudahpun jauh dari realiti, namun ia adalah satu kenangan yang tidak boleh ditukar ganti.

Buat sepupu saya itu, selamat menempuh satu fasa kehidupan yang baru. Semoga beroleh manfaat dan keberkatan dari-Nya.

Thursday

Tuhan Sayang Kamu

Hati cukup tersentuh apabila mendengar kisah-kisah kehidupan dan pengembaraan insan-insan yang mencari Tuhan yang satu.

Di dalam kebisuan kata-kata, terselit satu perasaan kagum dengan cerita-cerita yang mungkin tidak pernah kita gambarkan sebelum ini. Kisah-kisah terpencil dan jarang-jarang kita dengar kecuali dengan telinga sendiri.

Kembara yang panjang mencari arah tuju kehidupan, diasak di kiri dan kanan, ditohmah dan dipandang serong, sudah menjadi asam garam kehidupan mereka. Kehidupan silam yang penuh onak dan duri, kehidupan yang tiada bermatlamat malah kehidupan yang sarat dengan dosa dan noda akibat kejahilan diri sendiri.

Namun, apabila Allah mahu menitipkan hidayah, maka diselitkan rasa dan persoalan di dalam hati, apakah tujuan aku hidup di dunia dan mengapa aku dilahirkan? Di manakah Tuhan aku?

Persoalan demi persoalan mula menghantui diri. Sedikit demi sedikit mereka mencari jalan pulang. Jalan hakiki yang lurus dan benar. Jalan yang diredhai-Nya.

Tidak boleh diungkap dengan kata-kata apabila telinga ini mendengar cerita-cerita benar yang mungkin hanya bisa didongengkan sahaja. Namun, ia bukan cerita dongeng malah bukan rekaan. Ia adalah benar belaka.

Kudos dan tahniah buat insan-insan istimewa ini. Anda semua adalah insan-insan istimewa yang disayangi Tuhan. Anda bertuah kerana anda mahu membuka hati berfikir akan hakikat kehidupan. Maka, rugilah insan-insan yang semulajadinya fitrah hanya mengsia-siakan kehidupan malah ada yang terus melupakan Tuhan.

Teruskanlah berjalan wahai insan-insan terpilih. Pasti ada tangan yang memimpinmu ketika mahu berjalan atau tangan yang menyambutmu ketika kamu jatuh. Tabahlah dengan ujian Tuhan yang tidak akan selesai sampai kita menutup mata.

Tuhan Sayang Kamu.

Monday

Sepetang di Spices of India

Minggu yang agak padat. Namun, semalam dapat meluangkan masa membeli beberapa barangan buat insan-insan tercinta. Salah satunya sudah tentu buku.

Sebelum itu, menjamu selera di Spices of India dengan sepupu, ibu saudara dan suaminya seorang tokoh yang disegani dan dihormati. Orangnya biarlah rahsia.

Apa yang ingin saya kongsi ialah perbualan diantara saya dengan tokoh tersebut. Sebut sahaja namanya, pasti ada yang akan kenal akan idea-ideanya yang hebat terutama di dalam bidang akademik dan ekonomi. Di dalam umur yang sudah menginjak, dirinya masih kuat lagi berjalan walaupun terpaksa memakai alat pendengaran yang khabarnya bernilai RM 20 ribu.

Ketika sedang menjamu selera, beliau sempat bertanya soalan tentang projek-projek buku saya. Beliau bercerita tentang kenalan-kenalannya yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan peringkat umur kerana ia ada sedikit kaitan dengan tema buku saya kali ini. Orangnya mempunyai pemikiran yang tajam dan gemar memerhati. Ketika di dalam kereta, dia tidak gemar pemandunya bercakap kerana ia akan menganggu konsentrasi pemandu tersebut yang perlu fokus.

Saya juga sempat bercerita tentang industri buku yang rancak di negara ini. Buku yang bagaimana menarik minat pembaca dan sering laku walaupun kualiti bahasa dan jalan ceritanya tidaklah yang terbaik. Boleh dikatakan, 90 peratus daripada perbualan kami ialah mengenai industri buku.

Rupanya, beliau juga sedang mengusahakan satu buku yang akan diterbitkan oleh Penerbitan Oxford dan ia ada kaitannya dengan budaya orang Melayu yang masih berseni dan halus bahasanya.

Usai menjamu selera, kami pulang dan berbual lagi di dalam kereta. Beliau nampaknya tertarik dengan cerita saya bahawa terdapat beberapa penulis buku yang sudah menjadi jutawan dengan hasil wang royalti. Dia nampak memikirkan sesuatu selepas itu dan bertanya siapakah penulis-penulis tersebut dan dari penerbitan manakah mereka.

Saya berasa bertuah kerana berpeluang mengenali insan ini. Sejak dari dulu lagi, saya memang gemar membaca kisahnya di media massa atau melihat wajah dan pandangannya di kaca televisyen. Namun, kerana faktor kesihatan, beliau sudah mengurangkan aktivitinya.

Namun, apa yang saya kagum dengan beliau ialah cara hidupnya yang sihat. Selain senaman, beliau mengamalkan makanan yang sihat-sihat belaka. Ayam cumalah bahagian dada hatta hidangan apa sekalipun. Satu lagi, beliau mempunyai disiplin yang amat tinggi. Seluruh hidupnya mempunyai jadual waktu yang lengkap sehingga jika ada kaum keluarga yang mahu berjumpa pun haruslah membuat temu janji terlebih dahulu. Beliau juga meluangkan masa membaca al quran, membuat sudoku dan menonton televisyen dengan jadualnya sendiri.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal, beliau berjanji akan membeli dan membaca buku saya yang akan disiapkan kelak.

Saya mendoakan dirinya dan kaum keluarga yang lain kesihatan, umur yang panjang dan barakah daripada Allah di dalam setiap inci kehidupan kita.

Insan ini banyak bakti kepada kita di dalam konteksnya tersendiri dan bersyukurlah kerana ada beberapa bahagian ideanya telah pun diguna pakai, diimplementasikan dan diraih oleh kita di dalam pelbagai sudut.

Tuesday

Mentalkah Kita? - Jika Gambar Makanan Dikongsi.

Saya sebenarnya merasa geli hati apabila satu ketika dahulu keluar di dalam sebuah akhbar di mana orang yang suka berkongsi gambar makanan dikatakan mempunyai penyakit mental. Ada juga yang berkata bahawa perbuatan itu mungkin riak dan ingin menunjuk-nunjuk kepada semua cara hidup kita.

Jika begitu, bagaimana pula orang yang gemar menunjukkan gambar suami, isteri, anak-anak, rumah, buku, beg tangan, kasut, baju, kucing, hantu dan sebagainya? Apakah mereka juga mempunyai penyakit mental atau bersifat riak atau mahu menunjuk-nunjuk? Apakah bezanya golongan-golongan ini dengan golongan yang gemar berkongsi resepi atau makanan?

Semasa Facebook mula-mula direka oleh Mark Zuckerberg, tujuan asalnya ialah supaya mudah penuntut sebuah universiti berinteraksi di antara satu sama lain. Namun, semakin lama, ia semakin berkembang dan dibuka kepada semua sehingga kini.

Tujuan Facebook dibina ialah untuk berkongsi cerita, maklumat, gambar dan perkembangan terkini dengan saudara mara dan rakan-rakan yang jauh di mata. Itu sebabnya ia mempunyai ruang album, nota dan status untuk bercerita dan berkongsi perkembangan.

Tujuannya juga, jika ada perkembangan terkini seperti percutian, majlis atau apa sahaja perkembangan, bolehlah ia dikongsi beramai-ramai. Ia mudah, cepat dan boleh diakses oleh mereka yang tidak boleh bertemu.

Namun, apabila Facebook mula digunakan oleh ramai orang dan semakin ramai yang meng'add' kawan-kawan yang tidak dikenali, sesetengah gambar atau perkara yang dikongsi dianggap sebagai riak atau ingin menunjuk-nunjuk. Mulalah bermacam-macam komen dan status yang kita baca bercakap mengenai niat dan sebagainya jika kita berkongsi apa juga gambar di sini.

Pada saya, ia mudah. Saya dan (saya fikir) sebahagian kawan-kawan dan saudara-mara yang lain, ingin berkongsi suka, duka, minat dan hobi di dalam Facebook untuk diraikan bersama-sama. Ia sama seperti melawat ke rumah mereka atau mengangkat telefon dan bertanya khabar. Namun, ia dimudahkan dengan adanya Facebook di mana kita boleh sahaja terus meng'upload' gambar-gambar apa sahaja untuk tatapan kawan-kawan dan saudara-mara.

Jika dahulu, jarak dan masa memisahkan kita, namun dengan adanya Facebook, kita boleh melihat perkembangan terkini kawan-kawan dan meraikannya bersama-sama. Kawan-kawan yang sudah lama terputus hubungan juga bertemu di sini dan di sinilah semuanya berkumpul dan bertegur sapa.

Maka, dengan mengatakan sekian dan sekian manusia ini mempunyai penyakit mental atau riak, adalah tidak munasabah. Jika begitu, tidak gunalah fungsi Facebook kiranya semua dikatakan mahu menunjuk-nunjuk. Mungkin, yang gemar berkata demikian ialah bukan dari kalangan kawan rapat atau saudara mara terdekat.

Saya sejujurnya gemar melihat gambar-gambar yang dikongsikan kerana ia memberikan saya gambaran tentang kehidupan kawan-kawan dan juga minat dan citarasa yang pelbagai. Saya juga boleh mengenali keluarga kawan-kawan dan kisah hidup mereka. Saya tidak pernah memandang apa sahaja gambar yang dikongsi di Facebook sebagai ingin menunjuk-nunjuk apatah lagi menuduh orang mempunyai penyakit mental.

Di dalam erti kata lain, terpulanglah bagaimana kita mahu melihat sesuatu perkara itu. Hitam atau putih atau bersifat neutral dan terbuka. Jika kita tidak ingin berkongsi apa-apa, maka saya fikir tutup sahajalah Muka Buku atau jadilah pemerhati yang positif.

Hilanglah seri Facebook jika tiada langsung gambar yang berwarna-warni di dalamnya dan senyuman anda semua.

Facebook 1 Julai 2013

Krisis Mesir: Permainan Barat Yang Ketara

Sedikit sebanyak kita sudah boleh nampak permainan Yahudi dan kuasa barat ke atas Mesir. Dahulu, tentera menyokong penggulingan Hosni Mubarak. Sekarang menggulingkan pula Presiden Morsi. Selepas itu, rakyat Mesir diserang secara terang-terangan. Dengar kata, tentera Mesir memang disokong kuat oleh Amerika dan Yahudi, dan dengar kata Iran (Syiah - dajjal akan muncul dari negara ini), Amerika dan Israel ini sebenarnya satu pasukan.

Jika kita lihat dan ikuti perkembangan politik luar, sejak azali lagi mereka ini memang mahu memusnahkan orang Islam. Kini di Timur Tengah sudah berleluasa pengaruh mereka. Satu-satunya benua yang mereka belum boleh kuasai ialah benua Asia termasuklah Malaysia. Sebab itulah mereka meletakkan 'pengaruh' dan 'pemimpin' yang boleh digunakan untuk menghapuskan kuasa orang Islam. Ini hakikat jika kita mengambil tahu hal ehwal dunia dan mengkajinya.

Malaysia ialah salah satu negara Islam yang maju dan damai. Mereka tidak suka orang Islam maju. Jika boleh, semuanya mereka mahu hapuskan. Sejak pemerintahan Dr Mahathir, kita boleh lihat pengaruh mereka disekat kerana keberanian Dr Mahathir ketika itu. Namun, kini keadaan di negara ini sedikit goyah. 'Arab Springs' yang dilaung-laungkan sebenarnya adalah kerja kuasa besar yang mahu memusnahkan umat Islam. Di Syria, Palestin dan kini Mesir pula digolakkannya. Namun, ini mungkin juga kesilapan rakyat Mesir sendiri yang 'tertipu' dengan permainan tiga kuasa ini. Mereka ingat, mereka disokong oleh tentera namun akhirnya mereka dikhianati oleh tentera juga. Inilah permainan yang disulam secara halus yang dibuat sedikit demi sedikti sehingga akhirnya umat Islam di seluruh dunia akan dibunuh dan diserang.

Kita sebagai satu negara yang aman dan stabil, tidak mustahil boleh juga ditipu dan dicerobohi 'minda' penduduknya jika kita tidak berhati-hati dan terjebak ke dalam permainan politik kotor para pemimpin yang rakus dan kejam. Kita harus belajar dari sejarah dan melihat kaitan apa yang berlaku dahulu dan apa yang sedang berlaku sekarang ke atas negara dan rakyat yang beragama Islam. Kita sebenarnya, sedang melalui satu era di mana dajjal sedang berleluasa mahu menghapuskan kita dan mempengaruhi umat Islam agar menjadi sesat dan mengikutnya. Kita dikaburi dengan imej-imej tertentu dan janji-janji tertentu sehingga kita yakin bahawa semua janji itu benar, namun kita tersilap. Akhirnya, kita yang menjadi magsa kerana 'membenarkan' pengaruh asing ini masuk ke dalam negara kita.

Rasulluah saw pernah bersabda, bahawa dajjal akan mempengaruhi seluruh umat Islam untuk mengikutnya kecuali yang ikhlas sahaja. Kita harus berbalik kepada perkara asas Islam di dalam kehidupan kita dan kita harus boleh memandang jauh ke hadapan untuk melihat masa hadapan kita dan generasi baru kita.

Jangan kita biarkan dajjal dan kuasa-kuasa besar ini menghapuskan umat Islam dengan cara 'menjajah' minda dan memasuki negara ini melalui pemimpin yang sudah 'dilantiknya' kerana kelak, jika kita tersilap, kita juga akan menjadi seperti mereka di Mesir, Syria dan Palestin. Siapa sangka Mesir juga akan menjadi seperti ini. Tidak terkecuali negara kita jika kita tidak mahu memahami hal politik luar dan buat tidak peduli. Nau'zubillah.

Sama-sama kita mendoakan mereka yang sedang tersiksa jiwa dan raganya di bumi Arab dan juga mendoakan agar negara kita dilindungi Allah dan tidak diresapi pengaruh Yahudi dan Barat yang ingin menguasai dunia sejak azali lagi.

Sesungguhnya semua ini sudah tertulis. Sebab itulah Allah menyuruh kita menjauhi Yahudi (pemimpin) kerana sejak zaman dahulu lagi mereka inilah yang mahu merosakkan umat Islam. Jika boleh, mereka mahu menguasai dunia.

***Ini soal pemimpin (kuasa-kuasa besar) yang mahu berkuasa. Tiada kaitan dengan menjadi rasis kerana saya tahu sesetengah dari kita gemar benar menggunakan perkataan 'rasis' tanpa tahu hujung pangkal cerita.

Sesungguhnya, pemimpin (kuasa-kuasa besar) dan rakyat biasa mempunyai impian yang berbeza. Pemimpin (yang salah) boleh merosakkan rakyat yang menaruh harap. Akhirnya, rakyat yang merana kerana tersalah memilih pemimpin.

Namun, kuasa-kuasa yang saya sebutkan ini mempunyai agenda yang lebih besar lagi, iaitu menekan umat Islam (berdasarkan sejarah dan cerita dalam al-quran). Pembelaan hanya akan diperolehi 'di sana' nanti di mana keadilan Allah akan terlaksana.

Hakikatnya pahit, namun lihatlah dunia. Satu demi satu negara Islam dan umat Islam di Timur Tengah sedang diserang oleh kuasa-kuasa ini tanpa belas kasihan.

Kita harus 'take note' dan bersatu-padu menolak pengaruh asing yang 'diseludupi' secara diam dan halus.

Lagi-Lagi Tudung!

Melihat kepada fesyen tudung sejak akhir-akhir ini, banyak membuat saya berfikir. Apakah kita mahu memakai pakaian yang memenuhi syariat atau menjadi mangsa kepada fesyen?

Pereka-pereka fesyen seharusnya menjadi lebih peka kepada hukum Tuhan dan bukan dengan sewenang-wenangnya membuat pembeli 'percaya' bahawa mereka 'memerlukan' pelbagai jenis tudung yang bertingkat, berenda, bertona tiga warna, bersilang, bersangkut dan macam-macam lagi.

Pada mulanya, ia kelihatan menarik dan meriah, seolah satu revolusi sedang berlaku terhadap fesyen tudung di sini, namun sejak akhir-akhir ini saya melihat banyak eksploitasi yang dilakukan kepada tudung-tudung tersebut sehingga terlalu 'bergaya' dan menarik perhatian umum.

Akhirnya, tudung digunakan hanya untuk menggayakan fesyen dan bukannya untuk menutup aurat dengan sempurna. Tudung menjadi satu pakaian yang dipakai sebagai trend dan menarik perhatian orang ramai yang melihatnya. Jika pakaian yang dipakai itu sudah menarik perhatian orang lain dengan gayanya yang tersendiri, maka tujuan kita menutup aurat sudah disalahgunakan. Kita tidak seharusnya menarik terlalu banyak perhatian terhadap tudung yang kita pakai dengan juntaian manik, 'layers', warna, corak, pintalan dan macam-macam gaya lagi.

Kadang-kadang kita tidak sedar kita menjadi mangsa keadaan atau mangsa fesyen. Memandangkan kita tidak boleh menggayakan rambut di khalayak ramai maka kita menggayakan tudung kita dengan agak keterlaluan kerana mahu meniru gaya yang dihidangkan di majalah-majalah fesyen Muslimah.

Jangan salah faham. Saya tidak menentang semua itu, tetapi bersederhanalah di dalam memilih fesyen tudung. Kadang-kadang 'material' yang digunakan itu menampakkan bentuk tubuh badan walaupun kita menutupinya dengan tudung kerana jenis kain yang membentuk. Secara tidak sedar, aurat kita masih lagi nampak bentuknya.

Begitu juga dengan telekung yang dijual pelbagai rupa namun menampakkan bentuk badan si pemakai kerana jenis kain yang melekat.

Saya juga terlepas pandang akan hal ini. Namun, setelah tersedar, kita haruslah membetulkan keadaan itu semula agar tujuan kita menutup aurat tercapai dan bukan hanya mengundang murka Allah.

Bak sabda Rasulullah saw, di akhir zaman nanti, ramai wanita yang berjalan seolah telanjang (kerana semua pakaiannya melekat di badan) dan akhirnya akan dihumban ke neraka.

Nau'zubillah.

Si Jahil Agama Seperti Kita

Melalui pengalaman saya sendirilah (yang tak berapa banyak ini), walaupun kita hidup berbilang kaum dan bangsa, kita sebenarnya masih tidak memahami ritual dan budaya bangsa-bangsa yang lain.

Begitu juga dengan kaum-kaum yang lain tidak begitu memahami ritual, budaya dan paling penting agama kita, Islam yang mulia. Kita boleh berkawan, berlawak jenaka dan saling kunjung mengunjungi, namun hakikatnya ilmu kita tentang budaya dan agama sesuatu kaum itu amat sedikit.

Lalu, tidak hairanlah jika ada yang mahu menyambut Ramadhan dengan umat Islam di negara ini (bersangka baik sahaja) dengan menayangkan makanan tidak halal, mungkin kerana kejahilan dan tidak memikirkan sensitiviti kaum, maka ia terjadi. Kita pula janganlah melenting tidak tentu pasal dan membesarkan perkara ini sehingga menjadi viral kerana mungkin kita juga ada salahnya.

Berapa ramai di antara kita yang tahu tentang Perayaan Tahun Baru Cina atau Deepavali? Apakah simboliknya kedua-dua perayaan tersebut dan apakah tujuannya? Yang kita tahu, apabila setiap perayaan itu tiba, kita akan mengucapkan selamat dan terfikir pasal makanan dan baju raya.

Begitu jugalah dengan bangsa-bangsa ini yang tidak memahami mengapakah kita harus berpuasa, solat dan berhari raya. Pada mereka, ia cuma satu budaya yang diamalkan oleh orang Melayu. Mereka hanya berfikir tentang ketupat, lemang, rendang, duit dan baju raya. Mereka tidak memahami kejadian atau sebab di sebaliknya.

Hakikatnya, walaupun kita hidup harmoni di dalam pelbagai kelompok budaya, kita sebenarnya masih jahil tentang budaya sesuatu kaum yang berbilang bangsa di negara ini. Mungkin, inisiatif perlu diambil supaya kita boleh saling menghormati agama, kepercayaan dan perayaan masing-masing supaya kita lebih memahami tujuannya.

Hakikatnya, kita mengambil mudah dan mengambil ringan hal ini dan menganggap semua kaum di negara ini tahu dan faham tentang agama Islam.

Melalui pengalaman saya, ia tidak tepat sama sekali. Masih ramai yang tidak tahu waktu apa kita berbuka, mengapa kita berpuasa dan kita tidak boleh makan dan minum sama sekali waktu berpuasa. Kadang-kadang ia mengejutkan saya, namun begitulah hakikatnya.

Kita sebenarnya hidup di dalam dunia sendiri dengan kelompok sendiri kecuali di dalam keadaan-keadaan tertentu di mana kita akan bergaul dan berlawak jenaka.

Pahit namun benar.

Sunday

Mencari Bahagia Yang Hakiki

Kebahagiaan tidak boleh dikecapi melalui orang di sekeliling kita atau harta benda kita. Kebahagiaan hanya dapat dinikmati melalui diri kita sendiri. Minda dan sikap kita terhadap hiduplah yang akan menentukan kebahagiaan kita.

Mencuba untuk memuaskan hati semua orang tidak akan memberikan kita bahagia. Kita akan kecewa jika cubaan kita itu tidak berjaya memuaskan hati orang. Mengharapkan sesuatu juga tidak akan memberikan kita bahagia. Kita akan kecewa jika harapan itu tidak menjadi kenyataan. Mengharapkan balasan di atas perbuatan baik kita juga tidak akan membuat kita bahagia jika kita tidak mendapat balasan yang sama. Mendambakan iklim dan suasana sekeliling untuk memberikan kita bahagia juga tidak akan berhasil jika diri sendiri tidak mahu bahagia.

Pokok pangkalnya, kitalah yang bertanggungjawab membahagiakan diri kita sendiri dan bukanlah cinta mahupun harta. Itu mungkin pelengkap tetapi tidak semestinya membawa bahagia. Jadi, jika kita merasakan diri ini tidak gembira, maka kita harus merenung ke dalam diri sendiri sebelum melihat ke luar.

Apakah aku sudah membahagiakan diriku sendiri? Soallah hati.

Tepuk dada, tanya selera.

Mencari Keseimbangan Hidup

Adakalanya, manusia menyangka bahawa wang adalah segala-galanya. Bahawa wang boleh memberikan kebahagiaan yang hakiki. Bahawa wang boleh memberikan kita tidur yang lena.

Kita mengimpikan rumah yang besar dan menawan. Kelengkapan yang indah dan mahal. Kita mahu semuanya seperti apa yang kita idamkan.

Kita mahu pasangan yang 'ideal' mengikut pandangan mata dan citarasa kita. Kita mahukan pasangan yang mampu memberikan kemewahan dan kebahagiaan buat kita. Kita berfikir bahawa status, wang dan pekerjaan adalah penentu kebahagiaan, justeru kita mencarinya.

Namun, saya percaya dan berpegang bahawa wang bukanlah segala-galanya. Ya, kita memerlukan wang untuk hidup. Tetapi, kita boleh memilih cara hidup kita sendiri tanpa perlu mengikut trend atau mengikut apa yang orang kata. Kita boleh memilih pasangan hidup kita sendiri tanpa perlu memikirkan apakah status dan pekerjaannya.

Pada saya, hidup kita adalah jiwa kita. Hidup kita adalah minda kita. Jika kita berfikir bahawa rumah yang besar, gaji yang tinggi dan kelulusan yang hebat mampu memberikan kita kebahagiaan, maka di kala itulah baru kita tersedar bahawa itu semua tidak menjanjikan apa-apa jika jiwa tidak tenang dan hati tidak gembira.

Kita hidup untuk meneruskan kehidupan. Kita bukan hidup untuk membuktikan sesuatu. Kita hidup sementara sahaja dan jika hidup dapat diteruskan setiap hari, alhamdulillah. Jika kita masih mempunyai bumbung untuk berteduh dan makanan untuk dijamah, alhamdulillah. Itulah rezeki.

Namun rezeki yang paling nikmat, ialah apabila hati ini tenang dan gembira dengan kesederhanaan dan apabila badan ini sihat. Kita tidak perlu makanan yang mahal dan banyak untuk terus hidup. Kita tidak perlu rumah agam yang besar untuk terus hidup. Kita tidak perlu wang terlalu banyak untuk terus hidup, tambahan jika wang itu hanya akan dihabiskan dengan membayar hutang piutang.

Kita hanya perlu bersederhana untuk hidup. Cukup makan dan pakai dan ada tempat berteduh. Alhamdulillah. Wang dan harta yang kita ada bukanlah hak kita yang hakiki. Hak kita yang hakiki hanyalah sedekah jariah dan amalan kita yang akan kita bawa ke kubur nanti. Di sana kelak, tidak akan ditanya apakah pekerjaan, kelulusan ataupun harta yang kita ada. Kita hanya akan ditanya akan amalan dan perbuatan baik dan jahat kita.

Maka, jika kita merasakan hidup ini akan kekal selamanya dan sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, tetapi tidak sanggup bangun untuk bersolat dan membuka al-quran, kita sebenarnya sudah termasuk ke dalam golongan yang lalai.

Jika kita merasa bangga bekerja kuat demi untuk menjadi kaya, namun tidak malu meninggalkan solat atau tidak mahu membuat amal ibadat, maka kita sebenarnya sudah terpesong dan menjadi teman syaitan.

Sebenarnya, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan status hidup dan kerja keras untuk mendapatkan dunia, tetapi tidak langsung mahu bekerja keras untuk mendapatkan akhirat. Akhirnya, hidup kita akan menjadi sia-sia.

Nau'zubillah hi min zalik.

Moga Allah menjauhkan kita daripada menjadi orang yang rugi.

Saturday

Hari Lahirku - Terima Kasih Buat Semua

Awal-awal pagi saya sudah mendapat satu ucapan selamat hari jadi melalui sms. Yang ke berapa itu, biarlah menjadi rahsia. Tiba-tiba air mata menitis ke pipi kerana sedar bahawa saya tidak boleh menyambutnya bersama-sama. Hanya ucapan yang sempat diberikan di kala berjauhan. Namun, saya tetap gembira, terharu dan bersyukur kerana saya masih lagi diberikan umur untuk bernafas dan menghirup udara segar di bumi Allah ini. Walaupun hati kadang-kadang meronta, tetapi jiwa akhirnya tenang kerana mengetahui walau apa-apa pun keadaannya, Tuhan akan sentiasa ada menemani.  


Tidak banyak yang saya harapkan sekarang ini. Semakin umur menginjak, saya hanya ingin hidup aman dan tenang bersama-sama dengan insan-insan yang tersayang. Mempunyai keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang. Saling melengkapi satu sama lain. Dan saling membantu dan bersama di saat susah dan senang. Alhamdulillah, segalanya dirancang dengan begitu baik oleh Yang Maha Esa. Saya gembira dengan apa yang ada dan bahagia dengan pengalaman indah di dalam hidup saya ketika ini.

Di umur sebegini juga, saya hanya ingin mencari keredhaan Tuhan. Membaiki amalan wajib dan menambahkan amalan yang sunat sebagai bekalan di sana nanti. Saya sudah tidak melihat kepada kebendaan atau nikmat dunia semata-mata. Saya juga sering memikirkan apakah cukup bekalan saya untuk dibawa ke sana nanti. Hati kadang-kadang bimbang jika amalan belum cukup banyak, namun saya akan membuat yang terbaik yang saya boleh untuk menggembirakan Tuhan yang menciptakan kita.

Semoga umur saya masih lagi panjang agar saya boleh melihat anak-anak saya berjaya dan juga semoga impian saya yang masih di dalam perancangan terlaksana dengan izin Tuhan. Insya Allah. Yang paling penting, saya mempunyai ahli keluarga yang menyayangi saya dan insan tersayang yang mendoakan saya. Saya juga mendoakan mereka yang sama agar diberikan petunjuk dan hidayah dan mendapat hidup yang barakah dan penuh rahmat di dunia dan akhirat. Aamiin.

Juga, terima Kasih buat semua yang pernah hadir di dalam hidup ini kerana tanpa kalian, saya bukanlah saya yang sekarang ini. Setiap satu daripada anda memberikan pengajaran dan harga yang tidak ternilai buat kehidupan saya.





   

Bahasa Pasar vs Bahasa Standard Di Dalam Novel

Jom kita lihat perbezaan ayat-ayat di bawah dan lihat yang mana lebih baik.

Ayat 1

Dilla menyampah betul tengok muka Sudin sudah macam kerang busuk tersengih-sengih sampai gigi jongangnya terkeluar bak kepingan Lego adik dia. Sumpah Dilla meluat ingat Sudin tu sapa? Anak majistret ke anak lawyer? Lecturer Dilla, Puan Amira pun sama. Muka seposen. Tak reti malu sampai si Sudin yang banyak jerawat tu dikatanya hensem. Hensem lagi kambing aku yang aku bela di dalam reban ayam sampai terpenyek badan dia bongkok-bongkok sebab sempit bebenor hingga nak makan pun aku terpaksa suap.

Ayat 2

Muka Sudin sudah macam kerang busuk. Dilla yang sedari tadi leka dengan kuliah Puan Amira tersentak melihat Sudin tersengih-sengih sehingga giginya yang jongang tampak ketara. Seumur hidup Dilla, dia tidak pernah melihat seorang lelaki yang mempunyai perwatakan seperi itu. Sering merasakan dirinya kacak walau pun wajahnya tidaklah setampan Putera William.

Malah, Sudin itu tidak ada tarikan langsung buat Dilla. Bukan juga anak orang berada. Bukan anak peguam atau bukan anak doktor, malah anak hakim jauh sekali.

Puan Amira juga sama. Sudin yang berjerawat batu itu sudah cukup tampan katanya. Tampan? Apakah Puan Amira buta?

Jika dibandingkan Sudin dengan kambing yang Dilla bela di reban, kambing peliharaan Dilla itu lebih lagi kacaknya. Apa ada pada Sudin? Puan Amira sudah buta atau Dilla kah yang rabun sehingga kambingnya kelihatan lebih tampan dan bergaya.

Ah! Biarkan. Walau apa pun yang Puan Amira kata, kambing Dilla lebih hebat dan kacak daripada Sudin.



                                               ****************
 
Macam mana? Ada perbezaan tak? Ayat mana lebih baik? Ayat 1 atau ayat 2? Tepuk dada tanya selera. Yang penting, seorang penulis harus menjaga bahasanya, biarpun ringkas dan santai, penulis haruslah memelihara bahasa di dalam novelnya agar kualiti novel dan bahasa kita terjaga.

Friday

Hak? Hidup Tidak Akan Pernah Adil.

Apabila saya melihat ramai anak-anak muda merusuh, mengamuk, bertempik, menjerit di tengah-tengah jalan, hati saya tertanya-tanya apakah mereka ini tidak diasuh dengan betul atau mempunyai jiwa dan hati yang kontang kerana kurangnya iman di dalam dada?

Mungkin ini terjadi apabila dunia diutamakan. Maka, dunialah yang difikirkan siang dan malam sehingga sanggup berjuang bermati-matian kononnya untuk hak. Hak itu, hak ini. Saya mahu hak yang saksama. Mahu adil. Hak dan adil untuk siapa? Untuk kita semua atau untuk insan tertentu?

Sedarkah kita, di dalam kesibukan dan ketaksuban kita menuntut hak, masih ramai lagi insan yang hidupnya berendam air mata kerana kematian atau kehilangan insan tersayang. Masih ramai yang bergelut dengan masalah kesihatan dan kewangan. Bak kais pagi makan pagi. Masih ada yang tidur berbumbungkan langit. Masih ada yang nasibnya tidak dibela. Masih ada yang hidupnya kosong dan sepi. Masih ramai yang menanti jantung, paru-paru dan buah pinggang baru. Masih ramai yang menanggung derita di dalam diam. Masih ramai yang ketawa di dalam tangis. Masih ramai yang dilucutkan kerja dan hilang jawatan. Masih ramai yang derita di dalam konteksnya yang tersendiri.

Dan, apakah mereka ini juga dinafikan haknya atau apakah mereka itu juga bisa menuntut hak yang sama rata? Mana mungkin. Hak hanya akan diberikan kepada kita oleh Allah Yang Esa. Tidak akan ada manusia di dunia ini yang akan mendapatkan apa yang dimahukannya secara total.

Dan untuk menuntut hak yang bukan-bukan, jika dibandingkan dengan penderitaan insan-insan lain, adalah satu sifat yang gelojoh dan mementingkan diri sendiri.

Apalah sangat hak yang anda semua mahu pertahankan jika dibandingkan dengan manusia-manusia yang lebih malang? Mengapa ada tidak pula mahu mempertahankan hak insan-insan ini tetapi hanya untuk kepentingan peribadi sahaja? Hak apa yang anda tuntut sebenarnya?

Hanya yang buta sebelah mata sahaja yang tidak mampu melihat kecacatan dan kepincangan ini.

Moga Allah jauhkan kita semua daripada terpesong akhlak dan iman hanya disebabkan hak.

Masih ramai lagi yang berhak hidup di dunia dan bukan hanya golongan tertentu sahaja yang mempunyai hak untuk diperjuangkan. Kita semua ada hak. Jadi, janganlah taksub seolah anda sahaja yang dinafikan hak kerana kita semua tidak akan memperolehi kesempurnaan dan keadilan hak.

Pegang pada tali Allah maka banyak perkara kita akan luputkan demiNya.

Wasiat Imam Ghazali

Imam al-Ghazali pernah berwasiat agar ditinggalkan 4 perkara bagi menjaga keelokan akhlak iaitu :

1. Janganlah kamu suka berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh yang mungkin kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya', hasad dengki, bermusuhan, bangga diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga berbahas maka kamu mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hatimu iaitu :

a. Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kamu atau pihak lain
b. Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain

2. Elakkan dirimu daripada menjadi pendakwah yang mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya

3. Jangan bergaul dengan pemimpin atau pembesar yang zalim malah jika boleh jangan berjumpa dengan mereka kerana lebih banyak padahnya daripada faedah

4. Jangan menerima sebarang pemberian daripada golongan pembesar walau pun kamu tahu pemberian itu adalah daripada sumber yang halal kerana dibimbangi kamu akan terhutang budi sehingga takut untuk menegur kesalahannya.

Sunday

Tak Kenal Maka Tak Cinta - Iktibar buat Penulis Baru











Sebenarnya, manuskrip Dedaunan Maple Gugur Lagi (lihat sini - http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=62&idc=3621#.UXyVacqKVi0 ) yang saya kongsikan di ILHAM Karangkraf sudahpun diterima oleh satu syarikat penerbitan (dengan tajuk lain). Saya sudah menandatangani surat setuju terbit.

Walaupun saya agak ragu-ragu dengan cara pengurusannya berhubung dengan saya melalui emel, saya berminat dengan syarikat itu kerana bukunya laku keras ditambah pula dengan kelab bukunya yang aktif.

Namun, lama-kelamaan saya berasa sangsi dengan cara mereka membalas emel dan menjawab soalan saya. Langsung tidak menampakkan sifat profesional mereka. Mereka juga kerap bertukar cerita dan memberikan alasan-alasan yang tidak logik terutamanya tentang pemberian surat setuju terbit, surat perjanjian dan lain-lain.

Kebetulan, saya sempat berbual dengan beberapa penulis daripada syarikat yang sama yang tidak puas hati dengan layanan yang mereka terima. Setiap penulis tidak dilayan sama rata malah ada yang menandatangi surat dan ada yang langsung tidak diberikan apa-apa surat. Ada juga yang langsung tidak tahu bukunya sudah diterbitkan. Ada juga yang tidak dibayar royalti dan tidak mempunyai surat perjanjian.

Saya dimaklumkan bahawa saya hanya akan mendapat surat perjanjian setelah buku dicetak dan dijual dan akhirnya saya membuat keputusan menarik balik manuskrip saya itu. Maknanya, saya langsung tidak diberikan hak membaca dan bersetuju dengan perjanjian itu sebelum membenarkan buku saya diterbitkan.

Di sini, saya ingin memberitahu kepada para penulis yang baru dan yang ingin mencuba nasib, ambil tahulah dan ambil pedulilah akan karya dan syarikat penerbitan pilihan anda sebelum anda menghantar manuskrip anda. Kadang-kadang semuanya indah khabar dari rupa.

Pembaca dilayan seperti raja, namun penulis menangis di dalam diam, anda tidak tahu. Akhirnya, ramai yang cabut lari.

Hakikatnya, memang tidak ada apa yang adil di muka bumi ini. Namun, pengalaman boleh membantu kita memilih dan bersifat selektif.

Selamat membaca dan menulis!

Kerana Nila Setitik...

Semasa saya menetap di England, saya begitu kagum dengan masyarakat Islam di sana yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Orang Arab, Pakistan, India, Afrika yang beragama Islam begitu kuat sifat sayangkan bangsa, adat dan agama Islam itu sendiri. Di mana sahaja mereka berada, mereka tidak lupa asal usul mereka, pakaian tradisional mereka malah bahasa mereka.

Walaupun generasi baru yang lahir selepas satu atau dua keturunan yang berhijrah ke sana semenjak tahun 60an, mereka masih lagi kukuh dengan budaya dan bangsa mereka sehingga kini. Ukhuwah mereka begitu kuat. Keislaman mereka lebih jitu. Mereka tidak meninggalkan budaya dan cara hidup Islam walau pun dikelilingi dengan masyarakat bukan Islam yang ramai.

Berlainan benar dengan orang Melayu kita. Kita lebih gemar menjadi 'Mat Salleh' daripada Mat Salleh itu sendiri dan malu pula mengaku Melayu. Tidak semua yang begitu, tetapi ada segelintir yang lebih 'moden' dan 'trendy' daripada Mat Salleh, dan kerana nila setitik, maka rosaklah susu sebelanga.

Mahu Yang Auta atau Yang Fakta? Your Choice!

Pilihanraya semakin dekat. Rasa-rasanya PRU 13 kali ini adalah yang paling kotor di dalam sejarah. Kadang-kadang manusia ni, bila dah gila kuasa, sanggup berbuat apa sahaja. Dan pengikut taksub pun sanggup mengikut dan menyokong membuta-tuli. Auta lebih banyak dari fakta. Namun, yakin sungguh yang mereka berada di pihak yang benar. Seolah pemimpin yang mereka sanjungi itu maksum dan tiada dosa.

Ingat, yang maksum hanyalah nabi dan rasul Allah, dan yang paling berkuasa ialah Tuhan. Jika Allah kata tidak, maka tidak jadilah ia walaupun begitu banyak cubaan yang kita lakukan untuk menjadi berkuasa.

Dan, apa sahaja mengenai politik, tidak ada yang seratus peratus bersih, bebas rasuah dan jujur. Jika mulut lancang dan gemar memaki hamun, lagilah tidak layak menjadi pemimpin. Jika iapun kita merasakan diri kita dianiaya, redha sahajalah dengan jalan yang sudah Allah pilih, bukan dengan membalas dendam sehingga sanggup menjadi ejen perosak negara dan bangsa.

Manusia yang mempunyai hati dan akal yang masih waras, tidak mudah ditipu dengan manusia yang bertopeng-topeng kerana mereka tidak mahu menjadi taksub akan personaliti dan pemimpin selain Allah dan rasulNya. Itu pilihan utama.

Dan politik itu sendiri adalah kotor jika ia hanya digunakan untuk memuaskan nafsu gila kuasa yang membuak-buak, tidak kiralah mereka berada di pihak mana. Semuanya sama sahaja.

Namun, yang penting ialah kepentingan rakyat dijaga dan dibela dan kita bebas ke mana sahaja dan bekerja apa sahaja tanpa dibom atau ditembak di tepi jalan. Dan bebas melaungkan azan di masjid, mendapat pekerjaan yang baik dan boleh menyara hidup dan bebas memilih sekolah dan bersolat di mana sahaja. Bebas berniaga dan bekerja di mana sahaja pilihan kita.

Kerajaan mana pun yang memimpin tidak akan berupaya mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak mahu mengubahnya. Semuanya akan terletak di atas bahu dan usaha sendiri. Jika kecil usaha, kecillah yang kita dapat dan jangan mengharapkan seperti orang yang berusaha keras. Tidak ada orang yang senang lenang dengan tidak berbuat apa-apa. Tidak ada apa yang percuma di dunia ini.

Berfikirlah secara waras.

Pilihlah dengan bijak.

Kita tidak boleh memiliki semuanya sekaligus.