Friday

Promosi Novel : Tugas Penulis atau Penerbit?

Kalau nak bercakap pasal penerbit, macam-macam cerita yang kita dengar. Ada penerbit yang tidak jujur, royalti tidak diberi dan ada juga mengambil masa yang amat lama untuk memberikan maklum balas samada manuskrip kita itu diterima atau tidak, malah ada yang senyap sama sekali.

Ada juga cerita di mana penerbit pilih kasih. Balik-balik penulis yang sama itu juga diketengahkan. Penulis ikan bilis terpaksa makan hati dan terkapai-kapai mencari arah tujuan. Kalau jualan tak mencecah jutaan, maka jangan haraplah nak dapat promosi.

Namun, haruskah perkara ini terjadi? Pada pendapat saya, penerbit harus membantu penulis baru yang belum ada nama. Penerbit tidak hanya boleh memikirkan untung semata-mata sehingga meminggirkan penulis ikan bilis. Cuba fikir, jika penerbit memainkan lebih peranan mempromosikan buku dan penulis ikan bilis ini, besar kemungkinan buku dan namanya akan cepat dikenali lagi. Secara tidak langsung, jualan pun meningkat dan lama-lama mungkin akan menjadi penulis tersohor yang mengutip jualan mega. Dan penerbit juga yang akan menjadi lebih kaya.

Tidak semua penulis mempunyai tenaga, wang dan kemahiran untuk mempromosikan bukunya. Mungkin kekangan tanggungjawab dan masa juga membataskan aktivitinya. Maka, penerbit dan penulis harus berganding bahu mencari jalan mempromosikan buku penulis ikan bilis ini yang mungkin lebih baik atau setanding dengan penulis-penulis tersohor.

Penerbit juga harus menjadi insan. Editor juga haruslah bekerjasama dengan penulis. Sama-sama memberikan peluang kepada penulis baru atau penulis ikan bilis untuk maju dan bukan hanya fikir, 'aku nak promote penulis ikan paus sahaja supaya kantung wang aku lebih cepat penuh.' Walau pun ia bisnes untuk penerbit, jika penerbit memberikan peluang yang sama rata buat penulis-penulis baru atau ikan bilis, mungkin mereka juga akan meningkatkan jualan buku mereka dan lebih cepat dikenali.

Tapi, ada buku yang tiada di kedai buku atau diletakkan di rak bawah sekali. Di mana peranan pengurus jualan atau marketing? Mereka inilah yang seharusnya membantu mempromosikan buku-buku baru dan bukan hanya meletakkan buku-buku tertentu sahaja di rak. Yakinkan pemilik kedai buku bahawa buku ini bagus dan boleh dijual. Jangan bagi alasan, pemilik kedai buku tak mahu buku itu kerana penulisnya tak terkenal. Jika begitu, sampai bila-bila pun penulis baru atau ikan bilis tak akan dikenali.

Promosi, promosi, promosi.

Memang bukan hanya tugas penerbit, tapi dengan kepakaran, tenaga dan wang penerbit, ia lebih banyak dapat membantu penulis ikan bilis terutamanya yang baru hendak bertapak.

Lagipun, mengapa penulis 'tersohor atau popular' masih lagi dipromosikan penerbit habis-habisan? Tak bolehkah mereka jual dan promosi sendiri buku mereka jika itulah alasannya? Bukankah mereka sudah terkenal? Tak perlu promosi besar pun orang masih mencari buku mereka.

Nampakkan?

I rest my case.

No comments:

Post a Comment