Thursday

Novel Cabul Bukan Untuk Orang Islam

Kalau kita sedar bahawa ada dua malaikat yang menjaga dan mencatat segala tulisan, kata-kata dan perbuatan kita, kita akan sedaya upaya menjaga semuanya. Apa yang kita tulis dan apa yang kita cakap tidak akan boleh dipadam sehingga kiamat. Jangan disebabkan alasan mahu buku laris atau takut bisnes tidak maju, maka kita pun sanggup menulis dan menjual buku-buku yang ada unsur-unsur cabul di dalamnya.

Apa sahaja yang kita buat harus seiring dengan agama. Tidak boleh kita asingkan. Jikalau kita bermati-matian mahu mempertahankan cara kita, maka kita sudah engkar dengan Tuhan. Malangnya, ada golongan yang tidak suka ditegur apabila perkara ini berlaku. Pada mereka, mereka boleh bebas menulis apa sahaja atau membaca apa sahaja. Jika ada yang menentang, mereka anggap bodoh dan ketinggalan zaman.

Jika kita memahami agama kita, kita patut faham mengapa Allah menyuruh kita membuat kebaikan, menyuruh kita menutup aurat, menjaga lisan dan perbuatan, dan mengapa Allah menyediakan dua malaikat untuk menjaga kita dan memerhatikan kita.

Allah tidak akan suruh malaikat mencatat jika tidak ada sebabnya. Sebabnya ialah kita akan dihisab dan akan dinilai melalui buku amalan kita. Mahukah kita jika buku amalan kita dipenuhi dengan noda? Noda menulis cerita cabul, noda membuka laman web cabul dan noda membaca cerita cabul? Walaupun sekelumit, ia pasti akan ternoda dan malaikat pasti akan menulis. Jika noda itu tidak dibasuh dengan wuduk dan solat juga istighfar dan taubat, ia akan semakin membesar dan akhirnya menjadi titik-titik hitam dalam hati kita. Apabila hati sudah gelap, maka apa pun sudah tidak nampak lagi. Jika hati sudah buta, semua yang kita tulis dan buat, kita langsung tidak berasa berdosa. Malah, berasa nikmat atas salahnya kita.

Sebagai insan seagama, saya berasa resah dengan fenomena begini. Hendak ditegur, bimbang dimarahi. Hendak didiamkan, bimbang Allah murka. Maka, yang mana satu harus saya dahulukan? Sudah pasti suruhan Tuhan.

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Surah Al 'Asr) 

Allah kata rugilah kita jika kita tidak berpesan-pesan. Maka, saya memohon marilah kita ubah pemikiran kita dan mulalah kita menjadi hamba-Nya yang taat. Biarlah rezeki yang kita dapat itu ada barakahnya.

Kalau tidak ada satu buku pun yang cabul, maka tidak ada pembaca yang akan membeli dan hanyalah yang baik-baik sahaja akan dibeli oleh mereka, Dan ini harus dimulakan oleh penulis dan penerbit buku. Namun, apabila melihat longgokan buku-buku sedemikan di pasaran, saya hanya mampu menapis apa yang baik dan buruk untuk saya dan keluarga dan mendoakan agar tidak ada anak-anak kita yang terbeli dan terbaca cerita-cerita sedemikian.

Ingat, kita hidup untuk mempersiapkan diri untuk mati, dan bukan hidup untuk ingat kita akan hidup selama-lamanya. Maka, apa sahaja yang kita buat haruslah menepati suruhan Tuhan.

Namun, ramainya manusia yang bangga kerana engkar dengan Tuhan, malah menganggap mereka tidak ada salah apa-apa dengan Tuhan. Yang mahu menjadi baik, dituduh pula ekstrim atau fanatik.

Apakah engkar dengan Tuhan sudah dilihat sebagai sesuatu yang harus dibanggakan?

Kita Islam. Ada beza dengan yang bukan Islam.

Mengapa mahu mengikut cara mereka?




Tuesday

Maaf Cakap Tetapi Terpaksa Cakap

Sebenarnya saya mempunyai dua manuskrip yang sudah siap namun masih belum diterbitkan oleh mana-mana penerbit pun. Satu sudah dihantar dan diterima, tetapi saya menarik balik kerana cara mereka yang tidak profesional. Walaupun buku-buku mereka laris namun cara pengurusan dan cara mereka melayan penulis juga penting untuk saya. Ini saya nilai berdasarkan cara mereka menjawab emel-emel saya secara acuh tak acuh dan kemampuan mereka meyakinkan saya bahawa mereka tahu apa yang mereka lakukan. Supaya tidak ditipu dengan ilusi dan buku laku keras namun royalti tidak dibayar, saya rela ia tidak dibukukan oleh mereka.

Kedua, manuskrip itu sudah diterima, sudah siap 70 peratus rekaan kulit bukunya, sudah akan dicetak namun entah di mana silapnya, mungkin kerana birokrasi, editornya terus mendiamkan diri sehingga sekarang. Lalu, ia dinilai oleh editor yang baharu dan ditolak setelah semuanya hampir diterbitkan. Lalu, si editor memberikan saya satu tajuk buku yang harus ditiru oleh saya kerana katanya itulah cara yang 'trending' sekarang ini.

Saya hanya mampu diam dan menggeleng kepala. Buku yang disarankan saya baca ialah buku gaduh-gaduh lelaki dan perempuan, benci-benci dan kemudiannya jatuh cinta. Amat berlambak di pasaran sekarang.

Tiba-tiba saya berasa simpati. Beginikah caranya penerbit mahu bersaing dalam bidang penerbitan? Semua buat dan jual karipap, maka kita pun menukar strategi menjual dan membuat karipap padahal kita sudah menjual crepe durian dan kek keju?

Mungkin yang silapnya ialah pemasaran. Tiada kumpulan yang berusaha keras untuk memasarkan buku dan penulis sehingga banyak buku tidak boleh dijual walaupun sebelum itu laku keras. Selain itu, memberikan tugasan kepada anak-anak muda baru lulus universiti untuk menguruskan perniagaan pun ada risikonya. Mereka banyak bekerja mengikut emosi lalu menjadi terikut-ikut dengan trend terkini. Editor yang masih mentah harus dibimbing kerana mereka tidak memahami skop tugasan mereka dan tidak banyak melakukan tugasan penyuntingan, sebaliknya diserahkan semula kepada penulis tanpa apa-apa panduan khusus untuk pembetulan dan sebagainya.

Penulis pula yang disalahkan kerana tidak mempromosi buku namun kita harus ingat bahawa penulis mungkin tidak mempunyai daya, kudrat, sumber kewangan, 'networking' yang hebat untuk menjual buku dan mempromosinya secara sendirian malah besar-besaran.

Paling banyak pun mungkin setakat seratus dua buku. Selebihnya siapa mahu jual kalau bukan kedai buku?

Di sinilah perlunya strategi pemasaran yang hebat dan promosi yang hebat. Bukan mengurangkan kualiti penulisan buku dan menjadi sama seperti mereka yang menggadaikan bahasa.

Maka, kedua-dua manuskrip itu saya akan perap dahulu sampai tiba masanya.

I am not in a hurry.

Maaf cakap tetapi terpaksa cakap.

Sunday

Hidup Bukan Seperti Cinderella

Semasa umur saya belasan tahun, saya ada membaca akhbar yang bercakap tentang impian gadis-gadis. Katanya, ramai gadis yang terpengaruh dengan media massa seperti televisyen dan buku sehingga mereka menjadi tidak pratikal dalam pendekatan hidup mereka. Sejak kecil, mereka diajar untuk berfikir bahawa satu hari nanti mereka akan dilamar oleh putera raja yang kacak lagi romantik. Mereka akan dilayan seperti puteri dan kekal bahagia sehingga selama-lamanya di dalam istana.

Mereka juga disogokkan dengan impian majlis perkahwinan yang penuh warna-warni. Mereka berangan mahu memakai gaun labuh dan kembang dan duduk di atas pelamin bersama dengan putera impian mereka. Pendek kata, mereka hidup dalam angan-angan dan fantasi dan berfikir bahawa hidup adalah seperti yang dilihat di kaca televisyen. Lelaki baik serta romantik dan mereka akan dilayan bak kanak-kanak yang mahukan segalanya.

Kisah yang penuh dengan 'fairy tales' ini selalu menjerat gadis sehinggga mereka fikir bahawa mereka akan menikmati kebahagiaan dalam hidup. Sama seperti dalam cerita Snow White, Cinderella dan Sleeping Beauty. Mereka fikir bahawa hidup mereka akan menjadi seperti cerita dongeng.

Namun, hakikatnya hidup ini bukanlah cerita dongeng. Jika kita hidup hanya bersandarkan angan-angan, besar kemungkinan kita akan kecewa dan kecewa dengan manusia. Kita akan menyoal, mengapa hidup aku tidak sama seperti hidup di dalam cereka? Mengapa apa sahaja yang aku tiru dalam cerita itu, tidak berhasil dalam hidup aku?

Justeru, kita menjadi bingung. Menyalahkan takdir dan berjurai air mata dengan impian yang tidak seperti diharapkan. Namun, tanpa sesal, kita mengulangi perkara yang sama, mencari putera idaman kita seperti yang kita lihat begitu sempurna di dalam cerita cinta. Kita akhirnya, hidup dalam angan-angan dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Dan akhirnya, kita tidak akan ketemu sesiapa kerana putera idaman kita hanya wujud di dalam cerita rekaan manusia.

Wahai gadis-gadis, ketahuilah bahawa kamu itu istimewa. Jangan dibiarkan dirimu terjerat dengan igauan palsu yang bisa membuat kamu kecewa. Ketahuilah, bahawa tiada insan yang sempurna di dunia. Tiada putera raja yang akan mendukung kamu memasuki ke dalam istana dan tiada putera raja yang akan menyuap makanan ke dalam mulut kami tatkala kamu lapar. Tiada putera raja yang akan memberikan kamu pujian dan kata-kata manis sepanjang hari hanya untuk membuat kamu tersenyum.

Yang ada, hanyalah kehidupan yang penuh suka dan duka. Yang ada hanyalah pengajaran yang boleh kamu ambil dalam setiap hubungan dan pengharapan. Apabila kamu sudah tahu tentang realiti dan menerima hakikat bahawa hidup ini bukan ilusi, barulah kamu akan ketemui apa yang kamu kata cinta sejati.
Ia bukan tentang memenuhi angan-anganmu. Ia tentang belajar menerima dan memahami bahawa hidup ini adalah pengorbanan, kesusahan dan timbang rasa.

Pasti apabila kamu tersedar dan bangkit dari lena, putera itu akan datang kepada kamu tanpa dipinta.
Dan barulah kehidupan kamu dalam istana akan bermula.

Itupun selepas kamu menghabiskan ribuan ringgit untuk gaun kembang kamu yang hanya dipakai untuk sehari.

Dan ribuan lagi untuk hadiah-hadiah dan perhiasan pelamin kamu yang hanya utuh buat seketika.

Yang kekal, ialah perjalanan hidup kamu yang ada pasang dan surutnya sehingga kamu menutup mata.

Wednesday

Ajari Mereka - Bukan Mengkritik Yang Berpakaian Wanita

Selalunya, orang yang membuat sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah ialah orang yang tidak faham agama. Maksudnya, mungkin sejak kecil mereka tidak pernah didedahkan atau diberitahu tentang hal yang halal dan haram, juga dosa dan pahala. Jika diberitahu pun, mungkin dalam keadaan kritikan dan leteran atau menakut-nakutkan sehingga mereka rasa cara hidup Islam ini susah untuk diikuti. Mungkin juga mereka tidak diterangkan akan ayat-ayat Allah (sejak kecil oleh ibu bapa) yang menyuruh atau melarang sesuatu dengan keras lantas mereka mengambil mudah dan hidup dengan mengikut naluri semata-mata.

Selalunya, alasan mereka ialah, hati aku baik malah aku lebih banyak membuat kebaikan daripada kamu walaupun aku tidak solat, tidak menutup aurat atau aku berpakaian seperti wanita.

Susah, sebab kalau kita mengikut akal dan naluri, sudah semestinya yang berbuat baik akan dibalas baik.

Namun, kalau kita baca keseluruhan terjemahan al-Quran, kita akan dapat membuat beberapa kesimpulan dengan ayat-ayat, cerita-cerita dan amaran-amaran yang Allah sebutkan.

Puncuk pangkalnya, kita semua kena taat kepada Allah, menyembah-Nya (solat) dan meninggalkan apa yang dilarang dan membuat apa yang disuruh-Nya.

Tidak kira hati kita baik atau jahat, atau kita lebih banyak buat kebaikan atau tidak, selagi kita tidak meletakkan Tuhan di nombor satu, iman kita masih belum cukup.

Jika tidak, sudah pasti tidak ada balasan neraka untuk orang kafir yang enggan beriman (banyak cerita dalam quran) walaupun merekalah yang banyak membuat kebaikan dan kebajikan di dunia. Jika tidak mengaku adanya Tuhan, maka sia-sia sahaja.

Itu satu hal.

Hal kedua, sebagai orang Islam yang ada walau sekelumit iman dalam dirinya, Tuhan itu banyak ehsan dan kasih-sayangnya. Walaupun Allah melaknat orang lelaki yang berpakaian seperti wanita (tidak ingat surah mana) dan memberikan siksaan kepada yang engkar kepada suruhan-Nya yang wajib, Allah itu Maha Pengampun.

Diberikan-Nya masa untuk kita berubah ke arah kebaikan sebelum ajal menjemput kita. Selagi nyawa tidak terlekat di kerongkongan, jika kita bertaubat dengan sepenuh hati, Allah kata Dia akan ampunkan kita.

Maka, kita yang cuba mengikut suruhan Allah sebaik dan semampu yang kita boleh ini haruslah membantu golongan yang sebegini. Mereka yang masih tidak faham hukum Allah seperti solat, aurat dan menukar sifat jantina, haruslah kita bagi faham.

Mungkin mereka kurang perhatian sejak kecil atau mempunyai masalah sosial yang terkesan maka mereka menentang aturan Allah. Mereka duduk dalam kelompok yang sama seperti mereka malah terus disisih oleh masyarakat sehingga kita terlupa untuk memberi mereka dakwah atau tarbiyah.

Ada yang sudah berubah setelah mendapat ilmu agama. Setelah belajar isi-isi al-Quran dan setelah diberikan motivasi dan bukannya kritikan.

Masalah kita, apabila hal sebegini berlaku, kita gemar mengkritik dan mencari salah tanpa mahu mengetahui punca sebenar mereka menjadi seperti itu.

Itu sebab kita kena berdakwah. Namun, ramai orang fobia apabila sebut dakwah dan anggap leteran akan berlaku atau menutup telinga kerana tidak mahu dinasihati. 

Kita juga ingat tugas dakwah itu khusus untuk orang-orang agama. Kita ingat belajar agama dan memahami al-Quran juga hanya untuk orang-orang agama. Maka, sampai bila pula kita mahu memahami agama kita sendiri?

Kita bangga membaca pelbagai buku dari pelbagai pengkarya, buku motivasi, buku inspirasi, novel, buku kewangan namun malas pula mahu membaca kalimah-kalimah Allah yang amat indah, menggetarkan jiwa, menakutkan dan menginsafkan kita.

Saya yakin, kalau setiap daripada kita membaca terjemahan al-Quran dari kulit ke kulit (sebab kita tidak faham Bahasa Arab dalam quran) kita semua akan menjadi takut dengan banyak perkara dan seterusnya hanya akan membaiki diri kita.

Kita juga akan semakin faham apa tugas kita dan apa yang Allah mahu. Walaupun saya pernah disindir oleh seorang penulis ini sebab saya selalu bercakap tentang terjemahan al-Quran, saya kasihankan dia kerana mempersendakan niat baik saya.

Sebab apa? Sebab saya banyak berubah setelah saya khatam terjemahan al-Quran. Dan selepas itu, saya sedar saya ini hanyalah hamba yang hina. Saya sedar saya banyak mempelajari perkara baru kerana apa yang dikongsi oleh ustaz dan ustazah kita hanyalah tidak sampai satu peratus pun daripada isi quran.

Kalau kita mahu harapkan mereka memberi kita seluruh ilmu al-Quran, mustahil kita akan dapat. Malah, mereka hanya gemar berkata tentang dua tiga perkara sahaja sehingga melupakan perkara lain yang Allah tulis termasuklah akhlak yang baik.

Jadi, kalau kita mahu berubah, al-Quranlah rujukan yang paling baik. Di dalam itu, kita akan belajar tentang maksud hidup yang sebenar-benarnya kerana yang berfirman ialah Pencipta kita, maka Dialah Yang Paling Tahu.

Rugilah jika kita tidak ingin belajar dari Pencipta kita sendiri.


Pasti, kita semua akan berubah termasuk yang gemar berpakaian wanita ini.


Wallahu'alam.

Friday

Fatamorgana Dunia

Kata mereka, tulislah apa yang kamu tahu. Apa yang ada dalam hati dan apa yang kamu perhatikan di sekeliling kamu. Dunia ini luas. Bukan hanya kepompong sempit yang kamu uliti benangnya namun masih gagal menembusi keluar dari balutan dan helaian dinding yang kamu jaga rapi. 

Hidup ini lebih daripada ilusi dan khayalan yang kamu bina dalam kelompok kamu sendiri. Menjadi ulat beluncas yang rajin menenun namun tidak bisa menghasilkan tenunan yang hebat, halus dan penuh seni. Dunia ini bukan dunia kamu seorang sahaja. Dunia ini milik semua. Yang hitam, putih, coklat dan kuning warna kulitnya. Dunia ini bukan untuk kamu pacak tiang tinggi dan meletakkan sempadan untuk menjaga kawasan kamu. Dunia ini luas. Milik Tuhan. Maka, lihatlah langitnya, tanahnya, gemawannya dan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang melata di setiap ceruk denai dunia - untuk kamu mempelajari sesuatu.

Kata orang, hidup ini untuk dinikmati. Namun, apakah kamu bisa reda jika kesukaran menghimpit kamu? Ya, kamu bisa menikmati hidup, namun hidup yang sudah diatur oleh yang menciptakan kamu. Bukan dunia yang kamu ambil dari benua sana dan kamu campakkan dalam hati kamu agar kamu pun menjadi sama seperti mereka. Sama seperti Louisa, Jonathan dan Erica. Malah sama seperti Johannah, Eric dan Casablanca.

Di manakah kamu meletakkan dunia kamu? Dalam hati atau di atas jemala kamu untuk kamu junjung mahkotanya? Atau dunia kamu sudah dicemari noda-noda sehingga segala-galanya sudah kusam, hitam dan lebam? Atau, dunia kamu ini untuk kamu perhiasi dengan permata gilang gemilang yang bersinar sehingga menikam retina? Atau dunia ini kamu lihat tempat kamu bercucuk-tanam sehingga hasilnya bisa kamu tuai apabila ia ranum?

Namun, ini dunia siapa? Soal diri. Dunia untuk mereka yang enak dibuai mimpi, kata hati. Bukankah dunia ini satu perjalanan bukan destinasi? Soal aku lagi. Oh... itu dunia mereka yang enak berfikir bahawa mereka itu infiniti. Tidak akan mati buat selama-lamanya.  Dunia untuk mereka meraih kecemerlangan dan kemasyhuran sehingga mereka diikuti dan disanjung hanya kerana pendapat-pendapat mereka di atas kertas, di dada akhbar, di alam maya dan di mana-mana sahaja. Asal pandai tabur air liur, ada sahaja pengikutnya.

Oh... hatinya mengeluh. Lama dia merenung jauh. Mungkin cuba mendalami jiwa yang sudah lama lusuh. Matanya berkelip-kelip. Sesekali dia mengeluh panjang. Selama ini dunia aku hanya untuk aku bercanda dan berjenaka dengan kawan-kawan dan orang-orang yang aku sayang. Aku terlupa bahawa ada malaikat yang mencatat segala perbuatan aku. Hati aku... ah... hati aku yang selalu buruk sangka dan berfikir remeh akan dunia abadi sudah aku karatkan dengan kata-kata nista, aduan domba dan fitnah yang bermaharajalela. Busuknya hati aku sehingga semut pun tidak mahu membanting tulang mengerumuninya. Malunya aku. Malunya aku pada hati aku sendiri sambil dia mula mengangkat sebaldi air untuk mencuci hatinya.

Bukan itu caranya. Hati tiba-tiba berbisik. Hati kamu bisa bersih apabila kamu mula mencucinya dengan solat dan zikrullah. Bukan dengan menceduk air dari dalam kolah dan mengharapkan keajaiban berlaku pada hati kamu. Lama hati berteleku. Cuba mencuit-cuit jiwa dan mengorek-ngorek dalam agar dapat diketemu walau sekelumit butiran permata. Ahh... aku tidak ketemu, kata hati. Aku tidak mahu ketinggalan dengan dunia. Aku mahu terus bersenang-lenang dengan dunia kerana ia membuat aku bahagia. Bodohlah mereka yang berfikir bahawa dunia ini untuk dipersia-siakan. Itu sangat kampung!

Mana mungkin aku mahu menjadi sama seperti kamu.

 



      

Wednesday

Mangkuk Tingkat Mak Cik Bedah

Hari ini hujan, sama seperti dua tiga hari yang sebelumnya. Usai sarapan dengan cucur udang dan nugget ayam, saya pun mula membasuh potongan ayam dan menyediakan bahan-bahan untuk makan tengah hari pula. Hari ini ringkas sahaja. Masak gulai lemak ayam dan sambal sotong ditambah denga sayur kai lan lebihan semalam. 

Sambil-sambil itu, mata menjeling ke arah dua mangkuk tingkat jenama Tupperware yang berada di atas meja. Hadiah daripada adinda ketika Hari Raya tempoh hari. Cantik warnanya. Merah dan jingga. Dua warna pesona yang bisa menyilaukan mata. Entah mengapa, ingatan saya terus mengimbau zaman persekolahan dahulu apabila melihat mangkuk tingkat itu. Zaman di mana, mangkuk tingkat merupakan sesuatu yang perlu.

Ketika di Tingkatan Empat dan Lima, boleh dikatakan kami makan dengan bekalan mangkuk tingkat yang disediakan oleh seorang mak cik. Mak Cik Bedah namanya. Orangnya gempal dan manis. Tinggal dalam satu kilometer dari rumah kami. Dahulunya, hanyalah jiran selang sebuah rumah, namun selepas ibu dan bapa membuat rumah baharu, kami pun berpindah. Namun, Mak Cik Bedah masih tetap berhubung dengan kami. Ada masanya dia membuat kuih muih dan menghantarnya kepada kami.

Mangkuk tingkat Mak Cik Bedah tidak moden. Tidak seperti mangkuk tingkat yang ada sekarang di mana ia mempunyai pelbagai corak dan warna. Mangkuk tingkat Mak Cik Bedah sama seperti dalam gambar yang saya kongsikan ini.  Ringan dan dihiasi dengan corak awan larat yang berliku-liku. Mudah dibuka dan mudah pula dibasuh.

Zaman itu, semuanya bergantung kepada mangkuk tingkat Mak Cik Bedah. Setiap Isnin sehingga Jumaat, sudah menjadi tugas saya mengambil bekalan tersebut untuk dibawa pulang. Usai pulang dari sekolah setelah diambil oleh kerani arwah bapa dengan Mercedes putih zaman enam puluhan (ya, arwah bapa membeli kereta lama itu semata-mata untuk mengambil kami dari sekolah), saya pun akan membuka pintu pagar Mak Cik Bedah. Melangkah beberapa meter ke hadapan, saya akan mengucapkan salam. Samada dia atau anaknya yang akan menghulurkan mangkuk tingkat itu untuk saya bawa pulang.

Ada macam-macam lauk yang dimasak oleh Mak Cik Bedah. Setiap hari menunya berlainan. Ada kari, masak lemak, sayur goreng, sayur lemak dan macam-macam lagi lauk-pauk Melayu kita. Setiap kali membuka tutupnya, hati akan berdebar-debar melihat apakah menu untuk hari itu. Ada masanya suka, ada masanya kecewa jika tidak menepati citarasa. Ada masanya jemu juga tekak ini menelan air tangan dari mangkuk tingkat tersebut. Namun, itulah lumrah kehidupan. Tidak semua ibu boleh meluangkan masa memasak untuk anak-anak kerana kesibukan kerja. Ibu yang bekerja sebagai seorang pengetua sekolah, memang hari-hari balik lambat. Selalunya dalam pukul empat setengah atau lima barulah ibu pulang. Maka, masakan Mak Cik Bedahlah yang mengganti masakan ibu.

Hujung minggu barulah ibu masuk ke dapur. Masa itu, dapatlah kami merasa air tangan ibu. Bee hoon goreng ibu yang lazat, karipapnya yang sedap dan kari ikannya yang enak. Semuanya boleh dinikmati hanya di hujung minggu. Ada masanya arwah bapa pula memakai apron. Kari ikannya memang 'power' sehingga menjilat jari.

Kini, semua itu hanyalah kenangan. Satu memori yang masih terpasak dalam ingatan. Ada masanya kenangan itu berlalu bak angin, namun secara tiba-tiba muncul di sebalik replika asing yang mengingatkan saya kepada masa silam.

Sama seperti mangkuk tingkat pemberian adindaku, mangkuk tingkat Mak Cik Bedah ada 'sentimental value' buat kami sekeluarga.

Terima kasih Mak Cik Bedah kerana menjadi sebahagian daripada hidup kami. Semoga barakah mengiringimu dalam diam. Insya-Allah.

*Gambar ehsan Google*  

  

Saturday

Cinta Terpatri Di Jabal Rahmah

Siapa yang tidak pernah jatuh cinta. Saya pasti semua pernah melaluinya. 

Tentu ada macam-macam kisah silam dan pengalaman pahit dan manis yang kita tempuhi dalam percintaan. 

Ada juga yang menganggap cinta itu buta. Ada yang berkata cinta itu tidak akan kekal lama. Namun, biar apapun falsafahnya, cinta itu memberikan seribu macam rasa. 

Jika cinta kita hilang namun ia ditemui semula dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, apakah reaksi kita ya? 

Jom baca cerpen saya di sini http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=3533&idc=18675, jika ia mampu membuat anda mengalirkan air mata.






Tulislah Yang Patuh Syariah

Walau apa sahaja jenis cerita yang kita mahu tulis, ia haruslah patuh syariah.

Walau apa sahaja yang kita mahu cakap, ia juga haruslah patuh syariah.

Walau apa sahaja yang kita mahu pakai, ia haruslah patuh syariah.

Walau apa sahaja yang kita mahu makan, ia harus patuh syariah.

Pendek kata, semuanya harus patuh syariah.

Jika kita mahu menjadi hamba-Nya yang taat, kita haruslah membuat apa sahaja yang Tuhan suruh tanpa apa-apa alasan atau persoalan.

Ini bukan soal kita ini suci. Ini soal kita ini hamba yang hina.

Tidak ada kompromi.

Tuesday

Permainan Amerika, Dajjal dan Misteri Kehilangan Pesawat MH370

Semakin lama semakin nampak permainan Amerika Syarikat di dalam misi pencarian MH370 ini. Semakin lama teori mereka semakin tak masuk akal pula. Terasa seperti kerajaan dan rakyat Malaysia diperbodohkan dengan teori mereka. Terasa seperti mereka sengaja membawa lari pencarian ke lokasi yang salah. Semakin lama semakin jauh dan semakin luas kawasan pencariannya. Lebih 600 lokasi yang memungkinkan? Berapa lama mahu jumpa?

Jika kita mengikuti sejarah Amerika Syarikat dan permainan politiknya terutama di dalam menakluki negara-negara Islam, sedikit sebanyak terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena sejak akhir-akhir ini.

Dan semakin banyak saya membaca tentang dajjal, semakin saya rasa yakin merekalah dajjal itu yang 'mengaku' mereka tuhan dan siapa yang mengikuti mereka seumpama seseorang yang buta sebelah matanya.

Bertuhankan budaya, cara hidup, ideologi dan matlamat mereka ini boleh membawa kehancuran kepada umat Islam di Malaysia.

Kita kena bersatu. Jangan kata kita tak mahu peduli kerana jika tersilap, kita semua akan diheret ke dalam permainan ini. Lihat sahaja apa yang sudah terjadi di Iraq, Syria dan Mesir. Semuanya sudah 'dijajah' oleh Amerika. Mahukah kita jika negara kita dijajahi oleh kuasa ini? Ke mana kita mahu lari?

Dan Malaysia ialah satu negara Islam yang masih belum berjaya untuk mereka tembusi dan takluki. Semasa zaman Tun M, mereka tak boleh tembus langsung. Namun, sekarang sudah nampak usaha-usaha itu melalui beberapa cara.

Buat orang Kristian, Islam itu ialah dajjal (anti-christ) dan harus dihapuskan. Itu sebab mereka tak pernah jemu menyerang orang Islam sejak dari dahulu lagi. Mereka memang mahu orang Islam terhapus di muka bumi. Mereka menggunakan media untuk memberikan gambaran bahawa orang Islam ialah pengganas.

Jangan kata kita tak mahu tahu, sebab mahu atau tidak, hidup kita dikuasai oleh orang-orang politik yang samada akan memelihara atau menghancurkan negara kita di masa hadapan. Lebih parah, jika ia kesilapan memilih kawan atau menyusun strategi.

Wednesday

Pengalaman Penerbangan dengan MAS

Pengalaman paling menakutkan naik pesawat, apabila berlaku cuaca buruk di mana pesawat MAS terpaksa menjunam turun dan naik untuk mengelak awan. Macam roller coaster. Habis makanan jatuh dan tumpah. Penerbangan terpaksa patah balik sebab cuaca masih buruk.

Pengalaman kedua menakutkan apabila pesawat Saudi Airlines mahu berlepas dan pesawat itu bergegar-gegar seolah susah mahu berlepas dan naik ke udara dan bunyi krek...krek... juga kedengaran. Dalam hati, nak pecah ke pesawat ni. Alhamdulillah, semua selamat.

Pengalaman ketiga menakutkan apabila pesawat MAS terbang cukup rendah di atas aparmen dan bangunan di Jordan seolah bila-bila saja ia boleh melanggar bangunan-bangunan tersebut. Tak dapat dibayangkan bagaimana penduduk di kawasan itu menahan bunyi kuat pesawat sepanjang masa. Risiko juga amat tinggi.

Pengalaman paling saya ingati, apabila pesawat MAS mendarat di London dan semua penumpang bertepuk tangan kerana ia mendarat dengan begitu baik sekali seolah rodanya tidak pernah mencecah tanah.

Pengalaman paling saya hairan, apabila seorang pramugari Arab yang berwajah masam menumpahkan air ke baju saya tanpa memohon maaf dan berlalu pergi.

Pengalaman paling saya tidak suka, apabila saya duduk di sebelah warga asing dan sepanjang perjalanan dia meneguk wain merah tanpa henti-henti. Baunya menusuk sehingga ke tiba destinasi.

Pengalaman agak mencemaskan, apabila saya terbang seorang ke Jeddah dan penerbangan terpaksa ditunda selama lapan jam akibat kerosakan yang baru disedari setelah hampir mahu berlepas.

Moralnya, tidak ada penerbangan yang sempurna. Ada yang baik dan ada yang mencemaskan. Namun, sepanjang pengalaman itu, saya dapati krew MAS ialah yang paling menghormati penumpang dan sentiasa berwajah manis. 

Sementara itu, marilah kita berdoa untuk pesawat MH370.

May God brings you back home.

Friday

Promosi Novel : Tugas Penulis atau Penerbit?

Kalau nak bercakap pasal penerbit, macam-macam cerita yang kita dengar. Ada penerbit yang tidak jujur, royalti tidak diberi dan ada juga mengambil masa yang amat lama untuk memberikan maklum balas samada manuskrip kita itu diterima atau tidak, malah ada yang senyap sama sekali.

Ada juga cerita di mana penerbit pilih kasih. Balik-balik penulis yang sama itu juga diketengahkan. Penulis ikan bilis terpaksa makan hati dan terkapai-kapai mencari arah tujuan. Kalau jualan tak mencecah jutaan, maka jangan haraplah nak dapat promosi.

Namun, haruskah perkara ini terjadi? Pada pendapat saya, penerbit harus membantu penulis baru yang belum ada nama. Penerbit tidak hanya boleh memikirkan untung semata-mata sehingga meminggirkan penulis ikan bilis. Cuba fikir, jika penerbit memainkan lebih peranan mempromosikan buku dan penulis ikan bilis ini, besar kemungkinan buku dan namanya akan cepat dikenali lagi. Secara tidak langsung, jualan pun meningkat dan lama-lama mungkin akan menjadi penulis tersohor yang mengutip jualan mega. Dan penerbit juga yang akan menjadi lebih kaya.

Tidak semua penulis mempunyai tenaga, wang dan kemahiran untuk mempromosikan bukunya. Mungkin kekangan tanggungjawab dan masa juga membataskan aktivitinya. Maka, penerbit dan penulis harus berganding bahu mencari jalan mempromosikan buku penulis ikan bilis ini yang mungkin lebih baik atau setanding dengan penulis-penulis tersohor.

Penerbit juga harus menjadi insan. Editor juga haruslah bekerjasama dengan penulis. Sama-sama memberikan peluang kepada penulis baru atau penulis ikan bilis untuk maju dan bukan hanya fikir, 'aku nak promote penulis ikan paus sahaja supaya kantung wang aku lebih cepat penuh.' Walau pun ia bisnes untuk penerbit, jika penerbit memberikan peluang yang sama rata buat penulis-penulis baru atau ikan bilis, mungkin mereka juga akan meningkatkan jualan buku mereka dan lebih cepat dikenali.

Tapi, ada buku yang tiada di kedai buku atau diletakkan di rak bawah sekali. Di mana peranan pengurus jualan atau marketing? Mereka inilah yang seharusnya membantu mempromosikan buku-buku baru dan bukan hanya meletakkan buku-buku tertentu sahaja di rak. Yakinkan pemilik kedai buku bahawa buku ini bagus dan boleh dijual. Jangan bagi alasan, pemilik kedai buku tak mahu buku itu kerana penulisnya tak terkenal. Jika begitu, sampai bila-bila pun penulis baru atau ikan bilis tak akan dikenali.

Promosi, promosi, promosi.

Memang bukan hanya tugas penerbit, tapi dengan kepakaran, tenaga dan wang penerbit, ia lebih banyak dapat membantu penulis ikan bilis terutamanya yang baru hendak bertapak.

Lagipun, mengapa penulis 'tersohor atau popular' masih lagi dipromosikan penerbit habis-habisan? Tak bolehkah mereka jual dan promosi sendiri buku mereka jika itulah alasannya? Bukankah mereka sudah terkenal? Tak perlu promosi besar pun orang masih mencari buku mereka.

Nampakkan?

I rest my case.

Tuesday

Perlukah Dialog Bahasa Inggeris di dalam Novel Melayu?

Satu perkara yang membuat saya gusar ialah apabila ada segelintir anak-anak muda yang mahu menulis novel tetapi tidak tahu mengapa mereka mahu menulis. Firasat saya, segelintir ini hanya mahu menulis kerana terikut-ikut atau ingin menjadi glamor. Mereka baru berjinak-jinak menulis blog dan mereka berfikir bahawa menulis blog itu ialah sama sahaja dengan menulis novel.

Maka, mereka gagal mengenalpasti apakah yang harus mereka nukilkan. Mereka tidak faham undang-undang penulisan kreatif dan mereka tidak faham mengapa mereka harus memertabatkan bahasa ibunda. Justeru, lahirlah soalan-soalan seperti "Bolehkah saya menulis dialog di dalam Bahasa Inggeris?" atau "Bolehkah saya mencampur adukkan Bahasa Melayu dan Inggeris di dalam naratif?"

Jawapan saya mudah. Jika bahasa asing itu tidak releven dan boleh ditulis di dalam bahasa ibunda, maka tidak perlulah ditulis di dalam bahasa asing kecuali ada satu atau dua perkataan yang jika ditulis di dalam bahasa ibunda, tidak mempunyai maksud yang tepat.

Buku Melayu, tulislah di dalam Bahasa Melayu. Buku Bahasa Inggeris, tulislah di dalam Bahasa Inggeris. Tak kiralah samada wataknya orang Inggeris, orang India, orang Korea atau makhluk asing sekalipun.

Ambil contoh buku A House of Mr Biswas yang ditulis oleh V.S. Nailpaul. Wataknya ialah orang India. Latarnya ialah Trinidad. Namun, kerana ia ialah buku sastera Bahasa Inggeris, maka semua wataknya berbahasa Inggeris. Alasan watak orang India bukanlah alasan untuk menulis dialog di dalam bahasa Tamil.

Samalah juga dengan novel kita.

Bahasa Jiwa Bangsa.

Apa Itu 'poetic licence' di dalam Penulisan Kreatif?

Pernahkah anda semua mendengar tentang 'poetic licence'? Di dalam kesusasteraan Inggeris, 'poetic licence' ialah satu lesen atau kebebasan yang diberikan kepada seorang artis atau penulis untuk lari daripada unsur-unsur sebenar atau fakta-fakta sebenar supaya hasil karya kita dapat mencapai hasil yang dikehendaki.

Dengan menggunakan 'poetic licence', penulis boleh menulis unsur-unsur yang tidak berapa logik jika ia dapat menambahkan nilai atau jalan cerita yang mahu kita usahakan. Saya tidak pasti jika ada istilah Melayu, tetapi secara umumnya kesusasteraan Melayu juga mengikut bentuk dan undang-undang penulisan kreatif yang dihasilkan dari barat.

Buat bakal-bakal penulis, pastikan anda mempelajari ilmu-ilmu penulisan kreatif dengan betul dari segi gaya dan lenggok bahasa, juga hal-hal lain. Jangan mula menulis sebelum anda memahami undang-undang penulisan kreatif. Malangnya, di negara ini, agak kurang diajar akan ilmu-ilmu tersebut kecuali jika anda mengambil jurusan penulisan atau kesusasteraan di peringkat tinggi. Akibatnya, ramai di antara kita yang mahu menulis seolah hilang punca terutamanya yang langsung tidak ada latar belakang di dalam bidang tersebut.

Jadi, jika anda langsung tidak mempunyai latar belakang di dalam bidang ini, pastikan anda menuntut ilmu selain banyak membaca. Jika anda mahir berbahasa Inggeris, anda boleh membeli buku atau paling mudah mencari di laman-laman web yang sesuai untuk anda mempelajari ilmu penulisan kreatif. Ini kerana di barat, mereka mempunyai banyak laman web yang baik. Cukup banyak untuk anda hadam dan fahami dengan sendiri cara-cara menulis penulisan kreatif dengan betul.

Jangan ingat kita boleh menulis sesuka hati, kerana sebenarnya ada caranya untuk menulis karya yang berbentuk kreatif ini supaya ia lebih efektif dan berkesan di hati pembaca. Setelah anda memahami caranya, barulah anda boleh mengolah ayat mengikut gaya bahasa anda sendiri tidak kira cerita cinta, kekeluargaan, serius atau humor sekalipun.

Semoga berjaya.

Poetic Licence - license or liberty, esp. as taken by a poet or other writer, in deviating from conventional form, logic, fact, etc., to produce a desired effect.
- license used by a writer or artist to heighten the effect of their work
licence, license - freedom to deviate deliberately from normally applicable rules or practices (especially in behavior or speech)