Hari ini hujan, sama seperti dua tiga hari yang sebelumnya. Usai sarapan dengan cucur udang dan nugget ayam, saya pun mula membasuh potongan ayam dan menyediakan bahan-bahan untuk makan tengah hari pula. Hari ini ringkas sahaja. Masak gulai lemak ayam dan sambal sotong ditambah denga sayur kai lan lebihan semalam.
Sambil-sambil itu, mata menjeling ke arah dua mangkuk tingkat jenama Tupperware yang berada di atas meja. Hadiah daripada adinda ketika Hari Raya tempoh hari. Cantik warnanya. Merah dan jingga. Dua warna pesona yang bisa menyilaukan mata. Entah mengapa, ingatan saya terus mengimbau zaman persekolahan dahulu apabila melihat mangkuk tingkat itu. Zaman di mana, mangkuk tingkat merupakan sesuatu yang perlu.
Ketika di Tingkatan Empat dan Lima, boleh dikatakan kami makan dengan bekalan mangkuk tingkat yang disediakan oleh seorang mak cik. Mak Cik Bedah namanya. Orangnya gempal dan manis. Tinggal dalam satu kilometer dari rumah kami. Dahulunya, hanyalah jiran selang sebuah rumah, namun selepas ibu dan bapa membuat rumah baharu, kami pun berpindah. Namun, Mak Cik Bedah masih tetap berhubung dengan kami. Ada masanya dia membuat kuih muih dan menghantarnya kepada kami.
Mangkuk tingkat Mak Cik Bedah tidak moden. Tidak seperti mangkuk tingkat yang ada sekarang di mana ia mempunyai pelbagai corak dan warna. Mangkuk tingkat Mak Cik Bedah sama seperti dalam gambar yang saya kongsikan ini. Ringan dan dihiasi dengan corak awan larat yang berliku-liku. Mudah dibuka dan mudah pula dibasuh.
Zaman itu, semuanya bergantung kepada mangkuk tingkat Mak Cik Bedah. Setiap Isnin sehingga Jumaat, sudah menjadi tugas saya mengambil bekalan tersebut untuk dibawa pulang. Usai pulang dari sekolah setelah diambil oleh kerani arwah bapa dengan Mercedes putih zaman enam puluhan (ya, arwah bapa membeli kereta lama itu semata-mata untuk mengambil kami dari sekolah), saya pun akan membuka pintu pagar Mak Cik Bedah. Melangkah beberapa meter ke hadapan, saya akan mengucapkan salam. Samada dia atau anaknya yang akan menghulurkan mangkuk tingkat itu untuk saya bawa pulang.
Ada macam-macam lauk yang dimasak oleh Mak Cik Bedah. Setiap hari menunya berlainan. Ada kari, masak lemak, sayur goreng, sayur lemak dan macam-macam lagi lauk-pauk Melayu kita. Setiap kali membuka tutupnya, hati akan berdebar-debar melihat apakah menu untuk hari itu. Ada masanya suka, ada masanya kecewa jika tidak menepati citarasa. Ada masanya jemu juga tekak ini menelan air tangan dari mangkuk tingkat tersebut. Namun, itulah lumrah kehidupan. Tidak semua ibu boleh meluangkan masa memasak untuk anak-anak kerana kesibukan kerja. Ibu yang bekerja sebagai seorang pengetua sekolah, memang hari-hari balik lambat. Selalunya dalam pukul empat setengah atau lima barulah ibu pulang. Maka, masakan Mak Cik Bedahlah yang mengganti masakan ibu.
Hujung minggu barulah ibu masuk ke dapur. Masa itu, dapatlah kami merasa air tangan ibu. Bee hoon goreng ibu yang lazat, karipapnya yang sedap dan kari ikannya yang enak. Semuanya boleh dinikmati hanya di hujung minggu. Ada masanya arwah bapa pula memakai apron. Kari ikannya memang 'power' sehingga menjilat jari.
Kini, semua itu hanyalah kenangan. Satu memori yang masih terpasak dalam ingatan. Ada masanya kenangan itu berlalu bak angin, namun secara tiba-tiba muncul di sebalik replika asing yang mengingatkan saya kepada masa silam.
Sama seperti mangkuk tingkat pemberian adindaku, mangkuk tingkat Mak Cik Bedah ada 'sentimental value' buat kami sekeluarga.
Terima kasih Mak Cik Bedah kerana menjadi sebahagian daripada hidup kami. Semoga barakah mengiringimu dalam diam. Insya-Allah.
*Gambar ehsan Google*
No comments:
Post a Comment