Kata mereka, tulislah apa yang kamu tahu. Apa yang ada dalam hati dan apa yang kamu perhatikan di sekeliling kamu. Dunia ini luas. Bukan hanya kepompong sempit yang kamu uliti benangnya namun masih gagal menembusi keluar dari balutan dan helaian dinding yang kamu jaga rapi.
Hidup ini lebih daripada ilusi dan khayalan yang kamu bina dalam kelompok kamu sendiri. Menjadi ulat beluncas yang rajin menenun namun tidak bisa menghasilkan tenunan yang hebat, halus dan penuh seni. Dunia ini bukan dunia kamu seorang sahaja. Dunia ini milik semua. Yang hitam, putih, coklat dan kuning warna kulitnya. Dunia ini bukan untuk kamu pacak tiang tinggi dan meletakkan sempadan untuk menjaga kawasan kamu. Dunia ini luas. Milik Tuhan. Maka, lihatlah langitnya, tanahnya, gemawannya dan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang melata di setiap ceruk denai dunia - untuk kamu mempelajari sesuatu.
Kata orang, hidup ini untuk dinikmati. Namun, apakah kamu bisa reda jika kesukaran menghimpit kamu? Ya, kamu bisa menikmati hidup, namun hidup yang sudah diatur oleh yang menciptakan kamu. Bukan dunia yang kamu ambil dari benua sana dan kamu campakkan dalam hati kamu agar kamu pun menjadi sama seperti mereka. Sama seperti Louisa, Jonathan dan Erica. Malah sama seperti Johannah, Eric dan Casablanca.
Di manakah kamu meletakkan dunia kamu? Dalam hati atau di atas jemala kamu untuk kamu junjung mahkotanya? Atau dunia kamu sudah dicemari noda-noda sehingga segala-galanya sudah kusam, hitam dan lebam? Atau, dunia kamu ini untuk kamu perhiasi dengan permata gilang gemilang yang bersinar sehingga menikam retina? Atau dunia ini kamu lihat tempat kamu bercucuk-tanam sehingga hasilnya bisa kamu tuai apabila ia ranum?
Namun, ini dunia siapa? Soal diri. Dunia untuk mereka yang enak dibuai mimpi, kata hati. Bukankah dunia ini satu perjalanan bukan destinasi? Soal aku lagi. Oh... itu dunia mereka yang enak berfikir bahawa mereka itu infiniti. Tidak akan mati buat selama-lamanya. Dunia untuk mereka meraih kecemerlangan dan kemasyhuran sehingga mereka diikuti dan disanjung hanya kerana pendapat-pendapat mereka di atas kertas, di dada akhbar, di alam maya dan di mana-mana sahaja. Asal pandai tabur air liur, ada sahaja pengikutnya.
Oh... hatinya mengeluh. Lama dia merenung jauh. Mungkin cuba mendalami jiwa yang sudah lama lusuh. Matanya berkelip-kelip. Sesekali dia mengeluh panjang. Selama ini dunia aku hanya untuk aku bercanda dan berjenaka dengan kawan-kawan dan orang-orang yang aku sayang. Aku terlupa bahawa ada malaikat yang mencatat segala perbuatan aku. Hati aku... ah... hati aku yang selalu buruk sangka dan berfikir remeh akan dunia abadi sudah aku karatkan dengan kata-kata nista, aduan domba dan fitnah yang bermaharajalela. Busuknya hati aku sehingga semut pun tidak mahu membanting tulang mengerumuninya. Malunya aku. Malunya aku pada hati aku sendiri sambil dia mula mengangkat sebaldi air untuk mencuci hatinya.
Bukan itu caranya. Hati tiba-tiba berbisik. Hati kamu bisa bersih apabila kamu mula mencucinya dengan solat dan zikrullah. Bukan dengan menceduk air dari dalam kolah dan mengharapkan keajaiban berlaku pada hati kamu. Lama hati berteleku. Cuba mencuit-cuit jiwa dan mengorek-ngorek dalam agar dapat diketemu walau sekelumit butiran permata. Ahh... aku tidak ketemu, kata hati. Aku tidak mahu ketinggalan dengan dunia. Aku mahu terus bersenang-lenang dengan dunia kerana ia membuat aku bahagia. Bodohlah mereka yang berfikir bahawa dunia ini untuk dipersia-siakan. Itu sangat kampung!
Mana mungkin aku mahu menjadi sama seperti kamu.
No comments:
Post a Comment