Wednesday

Ajari Mereka - Bukan Mengkritik Yang Berpakaian Wanita

Selalunya, orang yang membuat sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah ialah orang yang tidak faham agama. Maksudnya, mungkin sejak kecil mereka tidak pernah didedahkan atau diberitahu tentang hal yang halal dan haram, juga dosa dan pahala. Jika diberitahu pun, mungkin dalam keadaan kritikan dan leteran atau menakut-nakutkan sehingga mereka rasa cara hidup Islam ini susah untuk diikuti. Mungkin juga mereka tidak diterangkan akan ayat-ayat Allah (sejak kecil oleh ibu bapa) yang menyuruh atau melarang sesuatu dengan keras lantas mereka mengambil mudah dan hidup dengan mengikut naluri semata-mata.

Selalunya, alasan mereka ialah, hati aku baik malah aku lebih banyak membuat kebaikan daripada kamu walaupun aku tidak solat, tidak menutup aurat atau aku berpakaian seperti wanita.

Susah, sebab kalau kita mengikut akal dan naluri, sudah semestinya yang berbuat baik akan dibalas baik.

Namun, kalau kita baca keseluruhan terjemahan al-Quran, kita akan dapat membuat beberapa kesimpulan dengan ayat-ayat, cerita-cerita dan amaran-amaran yang Allah sebutkan.

Puncuk pangkalnya, kita semua kena taat kepada Allah, menyembah-Nya (solat) dan meninggalkan apa yang dilarang dan membuat apa yang disuruh-Nya.

Tidak kira hati kita baik atau jahat, atau kita lebih banyak buat kebaikan atau tidak, selagi kita tidak meletakkan Tuhan di nombor satu, iman kita masih belum cukup.

Jika tidak, sudah pasti tidak ada balasan neraka untuk orang kafir yang enggan beriman (banyak cerita dalam quran) walaupun merekalah yang banyak membuat kebaikan dan kebajikan di dunia. Jika tidak mengaku adanya Tuhan, maka sia-sia sahaja.

Itu satu hal.

Hal kedua, sebagai orang Islam yang ada walau sekelumit iman dalam dirinya, Tuhan itu banyak ehsan dan kasih-sayangnya. Walaupun Allah melaknat orang lelaki yang berpakaian seperti wanita (tidak ingat surah mana) dan memberikan siksaan kepada yang engkar kepada suruhan-Nya yang wajib, Allah itu Maha Pengampun.

Diberikan-Nya masa untuk kita berubah ke arah kebaikan sebelum ajal menjemput kita. Selagi nyawa tidak terlekat di kerongkongan, jika kita bertaubat dengan sepenuh hati, Allah kata Dia akan ampunkan kita.

Maka, kita yang cuba mengikut suruhan Allah sebaik dan semampu yang kita boleh ini haruslah membantu golongan yang sebegini. Mereka yang masih tidak faham hukum Allah seperti solat, aurat dan menukar sifat jantina, haruslah kita bagi faham.

Mungkin mereka kurang perhatian sejak kecil atau mempunyai masalah sosial yang terkesan maka mereka menentang aturan Allah. Mereka duduk dalam kelompok yang sama seperti mereka malah terus disisih oleh masyarakat sehingga kita terlupa untuk memberi mereka dakwah atau tarbiyah.

Ada yang sudah berubah setelah mendapat ilmu agama. Setelah belajar isi-isi al-Quran dan setelah diberikan motivasi dan bukannya kritikan.

Masalah kita, apabila hal sebegini berlaku, kita gemar mengkritik dan mencari salah tanpa mahu mengetahui punca sebenar mereka menjadi seperti itu.

Itu sebab kita kena berdakwah. Namun, ramai orang fobia apabila sebut dakwah dan anggap leteran akan berlaku atau menutup telinga kerana tidak mahu dinasihati. 

Kita juga ingat tugas dakwah itu khusus untuk orang-orang agama. Kita ingat belajar agama dan memahami al-Quran juga hanya untuk orang-orang agama. Maka, sampai bila pula kita mahu memahami agama kita sendiri?

Kita bangga membaca pelbagai buku dari pelbagai pengkarya, buku motivasi, buku inspirasi, novel, buku kewangan namun malas pula mahu membaca kalimah-kalimah Allah yang amat indah, menggetarkan jiwa, menakutkan dan menginsafkan kita.

Saya yakin, kalau setiap daripada kita membaca terjemahan al-Quran dari kulit ke kulit (sebab kita tidak faham Bahasa Arab dalam quran) kita semua akan menjadi takut dengan banyak perkara dan seterusnya hanya akan membaiki diri kita.

Kita juga akan semakin faham apa tugas kita dan apa yang Allah mahu. Walaupun saya pernah disindir oleh seorang penulis ini sebab saya selalu bercakap tentang terjemahan al-Quran, saya kasihankan dia kerana mempersendakan niat baik saya.

Sebab apa? Sebab saya banyak berubah setelah saya khatam terjemahan al-Quran. Dan selepas itu, saya sedar saya ini hanyalah hamba yang hina. Saya sedar saya banyak mempelajari perkara baru kerana apa yang dikongsi oleh ustaz dan ustazah kita hanyalah tidak sampai satu peratus pun daripada isi quran.

Kalau kita mahu harapkan mereka memberi kita seluruh ilmu al-Quran, mustahil kita akan dapat. Malah, mereka hanya gemar berkata tentang dua tiga perkara sahaja sehingga melupakan perkara lain yang Allah tulis termasuklah akhlak yang baik.

Jadi, kalau kita mahu berubah, al-Quranlah rujukan yang paling baik. Di dalam itu, kita akan belajar tentang maksud hidup yang sebenar-benarnya kerana yang berfirman ialah Pencipta kita, maka Dialah Yang Paling Tahu.

Rugilah jika kita tidak ingin belajar dari Pencipta kita sendiri.


Pasti, kita semua akan berubah termasuk yang gemar berpakaian wanita ini.


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment