Monday

Allah No.1

Kita tidak boleh mencintai apa-apapun melebihi daripada cinta kita kepada Allah. Kita tidak boleh mengingati baju, kasut, kereta, rumah, kerja, anak-anak, suami, isteri dan lain-lain perkara melebihi ingatan kita kepada Allah dan Rasulnya. Apa sahaja yang kita bualkan adalah petanda kepada apa yang sering kita fikirkan. Jika semua itu diletakkan lebih tinggi daripada Allah, kita sesungguhnya masih belum faham mengapa kita dihidupkan di dunia ini. Justeru, tidak hairanlah jika ada manusia yang boleh jadi tertekan kerana kehilangan material dan terlalu taksub dengan urusan dunia semata-mata sehingga ingatan pada Allah terletak jauh ke bawah selepas rumah, kereta, baju, kasut, telefon pintar dan lain-lain perkara kebendaan. 

Namun, jika Allah sayangkan kita pasti akan diujinya kita dengan musibah agar kita sedar bahawa kita ini tidak punya daya dan upaya selain daripada mengharapkan Allah semata-mata. Akan datang ujiannya agar kita berfikir dan kembali ke bahagian yang paling asas, iaitu qada dan qadar Allah hanya Allah yang tahu. Ada perkara tidak boleh kita ubah walaupun dengan usaha yang banyak. Ada perancangan tidak berlaku kerana kita tidak mempunyai kuasa mutlak ke atasnya.

Allah boleh menarik balik semua perkara yang kita sayang dan manusia boleh datang dan pergi, namun Allah tetap akan bersama kita di dalam apa keadaan sekalipun. Rugilah jika hidup kita hanya dihabiskan dengan memasang angan, namun terleka dengan dunia sehingga amalan untuk dibekalkan di sana nanti sifar sifatnya. Ramai orang yang saya lihat leka dengan material semata-mata, namun jiwanya kosong. Bila jiwa kosong, hati mudah jadi resah dan marah. Rasa tidak tenteram menghantui diri. Namun, kita tidak tahu apa puncanya.

Ketahuilah, Allah sedang memanggil kita untuk datang dekat kepadanya, sujud kepadanya dan menadah tangan kepadanya. Jangan abaikan panggilan itu. Isilah hati yang kosong dengan zikir, solat dan bacaan Al-Quran sehingga hati kita menjadi tenang dan selepas itu tidak akan ada apa-apa yang merisaukan kita lagi kerana Allah tidak akan mengabaikan makhluknya yang mengingatinya siang dan malam, di dalam dan di luar hatinya, ke mana-mana sahaja kita pergi.

Kembalilah kepada Sang Pencipta. Untunglah manusia yang tersedar apabila diuji, dan malanglah buat mereka yang masih tidak boleh melihat apa yang Allah ingin sampaikan melalui ujian dan musibahNya. Hidayah Allah sentiasa ada di dalam pelbagai bentuk, namun kita yang gagal mengenalinya sehingga menunggu hidayah itu datang. Hidayah tidak akan datang jika kita tidak mahu berfikir. Hidayah sudah lama ada dengan Al Quran dan hadis. Bukalah dan bacalah terjemahannya.

Insya Allah, kita akan faham tugas utama kita di dunia ini ialah untuk menyembahNya dan untuk lulus ujianNya. Tempat kita yang kekal bukanlah di dunia, tetapi di syurga atau neraka. Hidup ini hanyalah ujian semata-mata buat mereka yang mahu berfikir. Hidup ini adalah transit untuk kehidupan yang kekal abadi. Urusan yang lain itu hanyalah ujianNya buat kita.

Yang penting, kita jangan lupa mengingati Sang Pencipta walau di mana kita berada. Sesungguhnya, hidup ini hanyalah untuk kita diuji. Namun, berapa ramai di antara kita yang benar-benar peduli kerana urusan dunia sudah begitu sebati sehingga menjadi lalai dan leka untuk mengingatiNya setiap hari?

Wallahua'lam.

*Facebook 24 Mac 2013

No comments:

Post a Comment