Tuesday

Hakikat Sebuah Perjalanan Kehidupan

Life is a choice. You choose your own path and destiny. 

Kata-kata ini selalu bermain di minda saya berselang seli dengan kepercayaan bahawa kehidupan yang kita lalui sebenarnya adalah pilihan kita sendiri. Biar apa juga perjalanan yang kita tempuhi, kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang pilihan, nasib, takdir dan ketentuan. Sudah semestinya hidup mempunyai cabaran dan likunya tersendiri, juga qada dan qadar yang sudah ditetapkan Ilahi. Namun, itu bukannya alasan untuk menyalahkan takdir jika kita mengalami kegagalan atau kekecewaan. Juga bukan faktor penyebab untuk menyalahkan sesiapa. 

Siapa atau apa yang kita mahu ujudkan di dalam diri kita adalah pilihan kita sendiri. Tidak perlu meniru atau mengambil idea atau cara hidup malah pemikiran orang lain untuk menjadi insan yang mulia. Tidak juga perlu berfikir bahawa cara orang lain lebih baik atau buruk dari kita. Cukuplah sekadar membuat apa yang kita suka yang membawa senyuman dan kebahagiaan di dalam diri kita. Mungkin melihat matahari muncul di waktu subuh sambil mendengar kicauan burung, atau berhenti kerja untuk memulakan perniagaan sendiri, atau memulakan 'home-based business' malah mungkin juga menjadi suri rumah sepenuh masa agar anak-anak boleh dibimbing dengan penuh perhatian dah kasih-sayang. Itu semua adalah pilihan kita di dalam kehidupan. Kita tidak boleh berkata bahawa pilihan seseorang indidvidu itu salah hanya kerana ianya tidak sama dengan pilihan kita. Cukuplah sekadar menghormatinya dan berdoa agar apa jua pilihan yang dipilih insan-insan di sekeliling kita akhirnya akan membawa kebaikan, kejayaan dan barakah di dunia dan akhirat. 

Kita memilih lorong perjalanan kita sendiri dan menentukan di manakah tempat persinggahan sementara kita sebelum mengembara lagi. Hidup ini bak diibaratkan satu perjalanan dan pengembaraan yang panjang, dan kita akan berhenti sekejap di destinasi-destinasi tertentu sebelum memulakan perjalanan baru. Hidup tidak akan kekal dan anggaplah semuanya satu pengajaran yang mematangkan dan menjadikan kita insan yang lebih baik dari sebelumnya sebelum kita pergi meninggalkan alam dunia ini menuju ke alam dan kehidupan yang satu lagi, iaitu alam yang kekal abadi. 

No comments:

Post a Comment