Ada seorang rakan facebook menulis yang di dunia ini terlalu ramai anak-anak yang derhaka. Dia seolah menyalahkan anak-anak jika anak-anak melawan cakap atau tidak mendengar kata. Tertarik dengan topik itu, saya membuat komen yang tulus dari hati saya. Jom baca...
"Kadang-kadang
ibu bapa tidak sedar, sikap kita sendiri membuat anak-anak melawan. Setiap kali anak-anak tidak mendengar kata, saya akan muhasabah diri dan
berfikir, mungkin cara saya tidak betul atau berkesan, jadi saya akan
gunakan pendekatan yang lain. Anak-anak kadang-kadang tertekan dengan ibu bapa, kita pula
kadang-kadang bercakap sesuka hati dengan anak seolah mereka tidak
mempunyai perasaan. Anak-anak pula mempunyai karektor mereka sendiri,
kita harus hormat dan mendengar pandangan dan masalah mereka, tanpa
menghakimi. Kita juga pernah menjadi anak dan kadang-kadang tertekan
dengan sikap ibu bapa kita sendiri, jadi jangan kita buat kepada anak
apa yang kita tidak suka dibuat kepada kita dahulu. Walaupun payah
membentuk mereka, saya rasa banyak juga kesalahan terletak di bahu
kita... kata-kata kita, bahasa badan kita terhadap anak-anak, ada yang
memanggil macam-macam gelaran, ada yang merendahkan keupayaan anak-anak,
tidak gemar memuji kebaikan mereka dan hanya mencari kesalahan. Ini
semua membuat anak-anak merasa marah dan rendah diri, malah ada ibu bapa
yang berlawan cakap dan bergaduh dengan anak, mahu menang sentiasa walaupun
pandangan anak itu betul, hasilnya anak-anak akan tertekan dan kita
melabelkan mereka derhaka. Sebaiknya, kita mencari punca mengapa mereka
bersikap sedemikian dan cuba menyelesaikannya. Anak-anak kadang-kadang
melawan kerana cara dan sikap kita sendiri. Kita sebagai ibu bapa bukan
berkuasa di atas segala-galanya. Anak perlu dididik dan dibimbing di
dalam segala hal dunia dan akhirat. Memang susah dan tidak mudah. Saya
sendiri kadang-kadang terasa seperti 'helpless' tetapi itu bukan alasan
untuk kita berkata atau bersikap sesuka hati terhadap anak-anak. Just my
two cents."
Apa kata anda?
No comments:
Post a Comment