Saya ingin berkongsi isi kelas tasauf hari ini
yang bercakap tentang 2 sifat mazmumah, dusta dan mengumpat iaitu 2
sifat yang dicela oleh Allah.
Apabila seorang itu berdusta
walaupun satu ayat, maka malaikat akan menjauhinya sebanyak satu batu.
Dusta itu haram dan ia adalah salah satu sifat munafik yang tulen.
4 sifat munafik tulen:
1. Bila diberi amanah, dia khianat.
2. Bila bercerita, dia berbohong.
3. Bila berjanji, dia mungkar.
4. Bila bertengkar/berbahas, dia menegakkan benang yang basah (tidak menerima kebenaran)
Manakala orang yang gemar mengumpat pula hanya banyak melihat
kekurangan orang lain tetapi tidak nampak kekurangan atau salah diri
sendiri. Mengumpat lebih dashyat daripada zina, kerana apabila orang
yang zina itu bertaubat dan memohon ampun, Allah akan ampunkan. Tetapi,
jika orang yang mengumpat itu bertaubat dan memohon ampun kepada Allah,
Allah tidak akan ampunkan sehingga dia memohon ampun daripada orang yang
dia umpat itu terlebih dahulu.
Mengumpat ada ubatnya, iaitu
berfikir akan siksa yang mendatang, berfikir akan amalan baik kita yang
akan dipindahkan kepada orang yang kita umpat dan berfikirkan mati. Oleh
itu, adalah lebih baik jika kita bimbangkan diri sendiri daripada
berfikir pasal orang lain kerana mengumpat atau bercakap pasal orang
lain ialah sebesar-besar kecelaan. Juga, sifat orang yang suka mengumpat
ini hanya nampak cela orang lain tetapi tidak nampak cela diri sendiri.
Cara terbaik untuk membaiki diri kita ialah dengan beramal
soleh, dan amal soleh itu hanya akan diperolehi dengan ilmu dan
pelajaran yang kita kutip sepanjang hidup kita. Maka, orang yang jahil
ilmu, pasti akan melakukan banyak perkara yang dilarang oleh agama dan
gemar mempersendakan hukum Allah. Sebaik-baiknya eloklah kita belajar,
mendalami dan memahami tuntutan agama demi kebaikan dunia dan akhirat.
Namun, ada 6 perkara atau tempat/keadaan di mana kita dibenarkan mengumpat iaitu:
1. Orang yang mengadu kepada Raja atau Hakim yang ada insan yang
menzaliminya, maka dia harus bercerita akan keburukan/perbuatan orang
itu.
2. Orang yang datang meminta tolong untuk menghilangkan
maksiat, di mana kita memohon pertolongan seseorang yang kita percayai
untuk hilangkan maksiat yang dilakukan oleh seseorang dengan terpaksa
menyebut maksiat yang dilakukan orang itu.
3. Orang yang
meminta petua atau nasihat daripada Hakim atau alim ulamak, contoh di
mana isteri bercerita tentang sifat kikir suami untuk mendapatkan
haknya, maka dia harus bercerita akan keburukan suaminya itu.(Namun,
sebaiknya, jangan ceritakan keburukan suami atau isteri kepada sesiapun
terutama kawan-kawan)
4. Untuk selamatkan orang Islam daripada
kejahatan, maka dibenarkan menyebutkan kejahatan yang dilakukan oleh
seseorang supaya tiada insan lain yang boleh terpedaya, contohnya lelaki
atau wanita itu tidak sesuai dijadikan jodoh kerana sifat-sifatnya yang
tertentu, maka boleh diceritakan keburukan itu.
5. Memanggil
seseorang dengan gelaran tertentu walaupun seolah gelaran itu
mencelanya, seperti gelaran Mat Bulat kerana hanya dengan nama itu orang
boleh mengenalinya (Namun memanggil nama orang dengan gelaran yang
mengaibkan dan tidak disukainya ialah haram dan berdosa dan termasuk
dalam kategori mengumpat juga)
6. Tujuan untuk menzahirkan
kejahatan seseorang, maka harus dizahirkan agar orang lain tidak akan
mengikuti perbuatannya, terutamanya kejahatan yang tersembunyi dari
umum.
Moga perkongsian ini mendapat manfaat buat kita semua termasuk saya. Aamiin.
No comments:
Post a Comment