Monday

Allah No.1

Kita tidak boleh mencintai apa-apapun melebihi daripada cinta kita kepada Allah. Kita tidak boleh mengingati baju, kasut, kereta, rumah, kerja, anak-anak, suami, isteri dan lain-lain perkara melebihi ingatan kita kepada Allah dan Rasulnya. Apa sahaja yang kita bualkan adalah petanda kepada apa yang sering kita fikirkan. Jika semua itu diletakkan lebih tinggi daripada Allah, kita sesungguhnya masih belum faham mengapa kita dihidupkan di dunia ini. Justeru, tidak hairanlah jika ada manusia yang boleh jadi tertekan kerana kehilangan material dan terlalu taksub dengan urusan dunia semata-mata sehingga ingatan pada Allah terletak jauh ke bawah selepas rumah, kereta, baju, kasut, telefon pintar dan lain-lain perkara kebendaan. 

Namun, jika Allah sayangkan kita pasti akan diujinya kita dengan musibah agar kita sedar bahawa kita ini tidak punya daya dan upaya selain daripada mengharapkan Allah semata-mata. Akan datang ujiannya agar kita berfikir dan kembali ke bahagian yang paling asas, iaitu qada dan qadar Allah hanya Allah yang tahu. Ada perkara tidak boleh kita ubah walaupun dengan usaha yang banyak. Ada perancangan tidak berlaku kerana kita tidak mempunyai kuasa mutlak ke atasnya.

Allah boleh menarik balik semua perkara yang kita sayang dan manusia boleh datang dan pergi, namun Allah tetap akan bersama kita di dalam apa keadaan sekalipun. Rugilah jika hidup kita hanya dihabiskan dengan memasang angan, namun terleka dengan dunia sehingga amalan untuk dibekalkan di sana nanti sifar sifatnya. Ramai orang yang saya lihat leka dengan material semata-mata, namun jiwanya kosong. Bila jiwa kosong, hati mudah jadi resah dan marah. Rasa tidak tenteram menghantui diri. Namun, kita tidak tahu apa puncanya.

Ketahuilah, Allah sedang memanggil kita untuk datang dekat kepadanya, sujud kepadanya dan menadah tangan kepadanya. Jangan abaikan panggilan itu. Isilah hati yang kosong dengan zikir, solat dan bacaan Al-Quran sehingga hati kita menjadi tenang dan selepas itu tidak akan ada apa-apa yang merisaukan kita lagi kerana Allah tidak akan mengabaikan makhluknya yang mengingatinya siang dan malam, di dalam dan di luar hatinya, ke mana-mana sahaja kita pergi.

Kembalilah kepada Sang Pencipta. Untunglah manusia yang tersedar apabila diuji, dan malanglah buat mereka yang masih tidak boleh melihat apa yang Allah ingin sampaikan melalui ujian dan musibahNya. Hidayah Allah sentiasa ada di dalam pelbagai bentuk, namun kita yang gagal mengenalinya sehingga menunggu hidayah itu datang. Hidayah tidak akan datang jika kita tidak mahu berfikir. Hidayah sudah lama ada dengan Al Quran dan hadis. Bukalah dan bacalah terjemahannya.

Insya Allah, kita akan faham tugas utama kita di dunia ini ialah untuk menyembahNya dan untuk lulus ujianNya. Tempat kita yang kekal bukanlah di dunia, tetapi di syurga atau neraka. Hidup ini hanyalah ujian semata-mata buat mereka yang mahu berfikir. Hidup ini adalah transit untuk kehidupan yang kekal abadi. Urusan yang lain itu hanyalah ujianNya buat kita.

Yang penting, kita jangan lupa mengingati Sang Pencipta walau di mana kita berada. Sesungguhnya, hidup ini hanyalah untuk kita diuji. Namun, berapa ramai di antara kita yang benar-benar peduli kerana urusan dunia sudah begitu sebati sehingga menjadi lalai dan leka untuk mengingatiNya setiap hari?

Wallahua'lam.

*Facebook 24 Mac 2013

Friday

Di antara Sifat Mazmumah Yang Perlu Kita Jauhi

Saya ingin berkongsi isi kelas tasauf hari ini yang bercakap tentang 2 sifat mazmumah, dusta dan mengumpat iaitu 2 sifat yang dicela oleh Allah.

Apabila seorang itu berdusta walaupun satu ayat, maka malaikat akan menjauhinya sebanyak satu batu. Dusta itu haram dan ia adalah salah satu sifat munafik yang tulen.

 

4 sifat munafik tulen:

1. Bila diberi amanah, dia khianat.
2. Bila bercerita, dia berbohong.
3. Bila berjanji, dia mungkar.
4. Bila bertengkar/berbahas, dia menegakkan benang yang basah (tidak menerima kebenaran)

Manakala orang yang gemar mengumpat pula hanya banyak melihat kekurangan orang lain tetapi tidak nampak kekurangan atau salah diri sendiri. Mengumpat lebih dashyat daripada zina, kerana apabila orang yang zina itu bertaubat dan memohon ampun, Allah akan ampunkan. Tetapi, jika orang yang mengumpat itu bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, Allah tidak akan ampunkan sehingga dia memohon ampun daripada orang yang dia umpat itu terlebih dahulu.

Mengumpat ada ubatnya, iaitu berfikir akan siksa yang mendatang, berfikir akan amalan baik kita yang akan dipindahkan kepada orang yang kita umpat dan berfikirkan mati. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita bimbangkan diri sendiri daripada berfikir pasal orang lain kerana mengumpat atau bercakap pasal orang lain ialah sebesar-besar kecelaan. Juga, sifat orang yang suka mengumpat ini hanya nampak cela orang lain tetapi tidak nampak cela diri sendiri.

Cara terbaik untuk membaiki diri kita ialah dengan beramal soleh, dan amal soleh itu hanya akan diperolehi dengan ilmu dan pelajaran yang kita kutip sepanjang hidup kita. Maka, orang yang jahil ilmu, pasti akan melakukan banyak perkara yang dilarang oleh agama dan gemar mempersendakan hukum Allah. Sebaik-baiknya eloklah kita belajar, mendalami dan memahami tuntutan agama demi kebaikan dunia dan akhirat.

Namun, ada 6 perkara atau tempat/keadaan di mana kita dibenarkan mengumpat iaitu:

1. Orang yang mengadu kepada Raja atau Hakim yang ada insan yang menzaliminya, maka dia harus bercerita akan keburukan/perbuatan orang itu.

2. Orang yang datang meminta tolong untuk menghilangkan maksiat, di mana kita memohon pertolongan seseorang yang kita percayai untuk hilangkan maksiat yang dilakukan oleh seseorang dengan terpaksa menyebut maksiat yang dilakukan orang itu.

3. Orang yang meminta petua atau nasihat daripada Hakim atau alim ulamak, contoh di mana isteri bercerita tentang sifat kikir suami untuk mendapatkan haknya, maka dia harus bercerita akan keburukan suaminya itu.(Namun, sebaiknya, jangan ceritakan keburukan suami atau isteri kepada sesiapun terutama kawan-kawan)

4. Untuk selamatkan orang Islam daripada kejahatan, maka dibenarkan menyebutkan kejahatan yang dilakukan oleh seseorang supaya tiada insan lain yang boleh terpedaya, contohnya lelaki atau wanita itu tidak sesuai dijadikan jodoh kerana sifat-sifatnya yang tertentu, maka boleh diceritakan keburukan itu.

5. Memanggil seseorang dengan gelaran tertentu walaupun seolah gelaran itu mencelanya, seperti gelaran Mat Bulat kerana hanya dengan nama itu orang boleh mengenalinya (Namun memanggil nama orang dengan gelaran yang mengaibkan dan tidak disukainya ialah haram dan berdosa dan termasuk dalam kategori mengumpat juga)

6. Tujuan untuk menzahirkan kejahatan seseorang, maka harus dizahirkan agar orang lain tidak akan mengikuti perbuatannya, terutamanya kejahatan yang tersembunyi dari umum.

Moga perkongsian ini mendapat manfaat buat kita semua termasuk saya. Aamiin.

Jagailah Nikmat Kesihatan dan Waktu Terluang Sebelum Terlambat

Rasulullah saw bersabda: "Ada dua nikmat kebanyakan manusia tertipu padanya, iaitu kesihatan dan waktu yang terluang."

Hadis Riwayat Al Bukhari.

Kesimpulannya, kita banyak terleka dengan waktu sihat dan waktu lapang sehingga terlupa yang satu hari nanti kita akan pergi menemui Yang Maha Pencipta. Jadi, sebelum jatuh sakit atau kesempitan masa untuk membaiki amalan, alangkah baik jika kita bersedia dari sekarang. Semasa kita sihat dan mempunyai waktu luang yang banyak perbaikilah amalan dan tinggalkanlah perkara yang melalaikan sehingga terlupa untuk mengingatiNya.

Wang, keluarga, pangkat hanyalah ujian daripada Allah. Rugilah jika kita terleka dengan semua urusan itu, tetapi tidak mengambil peduli akan hubungan kita dengan Tuhan. Janganlah apabila nyawa sudah di kerongkongan barulah kita tersedar, namun semuanya sudah terlambat. Allah berfirman bahawa ramai di antara mereka di dalam kubur menyesali kelalaian mereka dan memohon untuk kembali ke dunia walaupun sehari, namun semuanya sudah tidak berguna lagi. Semoga kita tidak menjadi orang yang rugi di sana nanti namun orang yang untung dan mendapat rahmat dan barakah daripada Allah. Aamiin.

Jika kita meletakkan Allah dan rasul di tempat pertama, insya Allah yang lain akan menjadi mudah dan kita pun tidak lagi mementingkan duniawi dan kebendaan semata-mata. Tiada apa yang mahu dibanggakaan dengan material jika jiwa kosong. Biarlah sederhana di dalam segala hal dunia dan berusaha untuk menuju akhirat. Insya Allah.

Sunday

Salah Anak atau Salah Kita?

Ada seorang rakan facebook menulis yang di dunia ini terlalu ramai anak-anak yang derhaka. Dia seolah menyalahkan anak-anak jika anak-anak melawan cakap atau tidak mendengar kata. Tertarik dengan topik itu, saya membuat komen yang tulus dari hati saya. Jom baca...

"Kadang-kadang ibu bapa tidak sedar, sikap kita sendiri membuat anak-anak melawan. Setiap kali anak-anak tidak mendengar kata, saya akan muhasabah diri dan berfikir, mungkin cara saya tidak betul atau berkesan, jadi saya akan gunakan pendekatan yang lain. Anak-anak kadang-kadang tertekan dengan ibu bapa, kita pula kadang-kadang bercakap sesuka hati dengan anak seolah mereka tidak mempunyai perasaan. Anak-anak pula mempunyai karektor mereka sendiri, kita harus hormat dan mendengar pandangan dan masalah mereka, tanpa menghakimi. Kita juga pernah menjadi anak dan kadang-kadang tertekan dengan sikap ibu bapa kita sendiri, jadi jangan kita buat kepada anak apa yang kita tidak suka dibuat kepada kita dahulu. Walaupun payah membentuk mereka, saya rasa banyak juga kesalahan terletak di bahu kita... kata-kata kita, bahasa badan kita terhadap anak-anak, ada yang memanggil macam-macam gelaran, ada yang merendahkan keupayaan anak-anak, tidak gemar memuji kebaikan mereka dan hanya mencari kesalahan. Ini semua membuat anak-anak merasa marah dan rendah diri, malah ada ibu bapa yang berlawan cakap dan bergaduh dengan anak, mahu menang sentiasa walaupun pandangan anak itu betul, hasilnya anak-anak akan tertekan dan kita melabelkan mereka derhaka. Sebaiknya, kita mencari punca mengapa mereka bersikap sedemikian dan cuba menyelesaikannya. Anak-anak kadang-kadang melawan kerana cara dan sikap kita sendiri. Kita sebagai ibu bapa bukan berkuasa di atas segala-galanya. Anak perlu dididik dan dibimbing di dalam segala hal dunia dan akhirat. Memang susah dan tidak mudah. Saya sendiri kadang-kadang terasa seperti 'helpless' tetapi itu bukan alasan untuk kita berkata atau bersikap sesuka hati terhadap anak-anak. Just my two cents."

Apa kata anda?

Friday

Reader's Digest - Operasi Otak Sejak di bangku Sekolah

Semasa hayatnya, arwah bapa saya melanggan tiga jenis majalah iaitu Asiaweek, National Geographic dan Reader's Digest. Sebagai budak sekolah, saya sudah didedahkan dengan bacaan-bacaan sebegitu. Selepas dia habis membaca, saya pula akan membelek majalah-majalah tersebut dan membaca apa yang menarik minat saya. Ada dua perkara di dalam majalah Reader's Digest yang saya baca ketika saya berumur tujuh belas tahun yang masih melekat sehingga kini dan saya amalkan.

Pertama, di antara masalah orang perempuan ialah gemar sekali menggunakan emosi ketika melakukan sesuatu dan bertindak mengikut perasaan. Berlainan dengan lelaki yang gemar menggunakan akal. Oleh sebab itu, orang perempuan cepat merajuk, marah dan tidak sabar. Semua tindak tanduk dan kata-katanya ialah berdasarkan emosinya. Pada ketika itu, saya bersetuju, lalu saya mengambil keputusan untuk menggunakan akal saya apabila ada saja masalah yang melanda. Saya akan berfikir dahulu sebelum saya berkata apa-apa atau ketika saya tengah marah, saya cuba sedaya upaya untuk menggunakan akal.

Kedua, di dalam satu perhubungan, tidak ada istilah 50/50. Yang ada hanyalah 60/40. Ini kerana setiap perhubungan itu tidak akan berjaya jika kita mahukan kesamarataan. Ada masa kita melakukan 60 usaha atau kerja, dan ada masa 40, dan sebaliknya dengan pasangan kita. Untuk mencapai hak yang sama rata tidak akan membuatkan satu-satu hubungan berjaya. Kemungkinan, kita akan menjadi murung, marah dan merasa kehidupan tidak adil buat kita.

Jadi, sama-samalah kita amalkan dua perkara ini. Insya Allah jiwa lebih tenang.

Petikan status Facebook saya -15 Mac 2013