Monday

Persediaan Sebelum Menulis

Sebelum mahu menceburkan diri dalam bidang penulisan secara serius, kita sepatutnya sudah membuat 'home work' sendiri. 

Pastikan bahasa kita sudah mapan. Kenal pasti seberapa banyak penerbit yang ada dan 'house-style' mereka. Hubungi penerbit untuk maklumat tambahan. Buka laman web mereka dan lihat jenis-jenis buku yang dikeluarkan. Cari di mana kekuatan dan kekurangan mereka sebelum kita menghantar manuskrip.
Jangan apabila mahu mula menulis, anda masih terkebil-kebil dan tidak tahu apa-apa tentang bidang penulisan kreatif. 

Tidak tahu di mana mahu cari penerbit dan tidak tahu bagaimana mahu menulis karya kreatif.

Cari maklumat yang sepatutnya dan asah bakat anda sehingga berkilat. Faham apa itu karya kreatif dan penulisan naratif.

Ia tidak sama dengan penulisan umum.

Jika tidak faham dan tidak boleh nampak perbezaan, belajar dan timba ilmu. Pergi ke bengkel atau kelas penulisan kreatif.

Seorang penulis harus menulis dengan bahasa yang baik. Tidak timbul soal bahasa pasar atau rojak. Jika masih lagi tidak mahir, berlatihlah dahulu sehingga anda boleh mengolah ayat yang baik.

Jangan hantar manuskrip yang masih mentah. Penuh dengan kesalahan typo dan lain-lain. Kemaskinikan sehingga ia hampir sempurna atau sempurna.

Semua itu menunjukkan sikap kita terhadap kerja.

Sikap cincai dan acuh tak acuh tidak akan membawa faedah malah mungkin hasil kerja kita hanya akan dibakul sampahkan.

Semoga bermanfaat terutama buat adik-adik yang mahu mula menulis.

No comments:

Post a Comment