Friday

Wajarkah Wanita Arab Saudi Memandu?

Hari ini saya tertarik dengan berita yang agak hangat dan sudah lama diperjuangkan oleh wanita yang menetap di Arab Saudi, iaitu kebenaran memandu di negara mereka sendiri. Menurut seorang aktivis wanita Arab Saudi, Manal Sharif, masanya sudah sampai bagi wanita Arab Saudi untuk mendapat hak memandu. Katanya, wanita Arab Saudi harus memperjuangkan hak itu kerana kerajaan Arab Saudi tidak akan memberikannya dengan mudah. 

Melalui pengalaman saya sendiri yang pernah menetap di Arab Saudi, memang wanita tidak langsung dibenarkan memandu ataupun keluar rumah tanpa ditemani oleh suami atau rakan perempuan yang lain. Memandangkan saya datang daripada negara yang bebas mengamalkan cara ini (wanita memandu), memang pada mulanya agak kekok dengan kekangan yang baru saya hadapi ketika di sana. Bukan itu sahaja, jika hendak ke kedai runcit di hadapan rumahpun saya dilarang sama sekali, bimbang jika ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku kepada saya. 

Di satu sudut, agak bagus jika wanita tidak dibenarkan memandu. Ini untuk melindungi wanita daripada bahaya, memandu berseorangan atau ditimpa kemalangan yang mungkin bahaya untuk dirinya sendiri. Lagipun, para suami diberikan sepenuh tanggungjawab untuk membawa para isteri ke mana sahaja mereka mahu pergi, kecuali jika disediakan seorang pemandu lelaki buat isteri-isteri mereka. Lazimnya, para isteri hanya boleh keluar di waktu malam apabila suami-suami mereka sudah pulang dari kerja iaitu di sekitar jam sembilan malam. Walaubagaimanapun, di dalam sepuluh tahun terakhir ini, wanita dibenarkan berjalan di pasar raya seorang diri dengan syarat dia menutup aurat dan memakai abaya yang berupa 'uniform' semua wanita Arab. Namun, memandu masih lagi satu 'taboo' buat budaya mereka. 

Namun, ada juga masalahnya jika wanita tidak dibenarkan memandu. Jika ada kecemasan, sebagai contoh, para wanita boleh diharapkan untuk memandu. Malah, tugas memandu untuk membeli barangan dapur atau menghantar anak-anak ke sekolah akan menjadi tugas seharian para isteri. Sang suami tidak perlu lagi menghantar dan membawa sang isteri ke mana-mana sahaja kerana sang isteri boleh melakukannya sendiri. 

Namun, secara peribadi, saya berasa istimewa apabila ke mana-mana sahaja saya mahu pergi, saya akan dihantar oleh suami malah akan ditemani olehnya sentiasa. Saya tidak perlu risau akan trafik dan pemandu yang menggila di jalan dan saya boleh menumpukan perhatian pada urusan rumah dan anak-anak. Suami juga akan menemani si isteri apabila mahu membeli barangan runcit dan dialah yang akan menolak troli buat kita. Di sana, wanita dilayan sebagai individu yang perlu dilindungi sepanjang masa, well, itulah yang saya rasakan. Mungkin, wanita lain tidak sependapat dengan saya, dan itu adalah hak individu.

Masalahnya, di era globalisasi di mana pengaruh barat begitu kuat menular di mana-mana pelusuk negara, wanita-wanita Islam khususnya semakin mendesak dan mahukan hak yang sama rata dengan lelaki. Mereka banyak terpengaruh dengan cara barat melayan wanita dan menganggap bahawa cara itulah yang terbaik. Ini mungkin kerana banyak cerita di kaca televisyen yang memaparkan kebebasan wanita berbuat apa sahaja sehingga jika tidak mempunyai pendirian yang teguh, mereka pasti akan terpengaruh. 

Wanita secara dasarnya memang harus dilindungi dan harus mempunyai sifat yang lemah lembut. Namun, dengan pengaruh barat yang begitu hebat mempengaruhi, ada di kalangan kaum wanita yang mahu menjadi agresif dan mahu menjadi lebih hebat daripada lelaki. Tidak salah sebenarnya, namun biar betapa tinggi pun pendidikan yang dipunyai oleh seorang wanita, atau betapa hebatnya dia di dalam kerjaya, dia harus tahu bahawa di rumah dia ialah seorang isteri, dan mungkin juga ibu buat yang sudah mempunyai anak. Buat wanita bujang pula, keinginan untuk meniru budaya dan pemikiran barat di dalam semua aspek kehidupan haruslah bertepi agar kita tidak lupa bahawa kita mempunyai agama dan di dalam agama Islam, wanita mempunyai tempatnya yang tersendiri dari cara pergaulan, berpakaian, akhlak dan banyak lagi.

Dan mengapa saya kaitkan isu di atas dengan perjuangan wanita Arab Saudi untuk mendapatkan hak memandu? Ini kerana kita di Malaysia sebagai contoh, sudah terbiasa dengan acuan barat, iaitu wanitanya bebas ke mana sahaja dan bebas bergerak seorang diri dan memandu seorang diri. Pendek kata, wanita di Malaysia agak bebas membuat keputusan dan bebas bersuara malah bebas melakukan apa sahaja. Tepuk dada tanya selera. Kita bebas bergerak ke mana sahaja tanpa batasan. Namun, kebebasan yang diperolehi ini boleh membuat para wanita menjadi degil atau lupa diri. Maksudnya, dengan kebebasan yang diperolehi dari kerajaan untuk memandu dan para suami, para wanita boleh menyalahgunakan kebebasan itu dan menggunakannya untuk tujuan yang tidak elok seperti memandu ke tempat yang tidak dibenarkan, atau memandu secara bahaya malah memandu untuk bersuka ria.       

Namun, pada masa yang sama, kebebasan dan hak memandu itu juga boleh membuat wanita berdikari dan tidak perlu menunggu para suami atau muhrimnya untuk membawanya ke mana-mana. Di dalam erti kata lain, para wanita boleh membuat keputusan ke mana dia mahu pergi tanpa pemantauan sesiapapun termasuklah ke tempat kerja dan riadah.

Cuma satu sahaja, hak itu boleh disalahgunakan untuk mendapat kebebasan hakiki yang akhirnya boleh merosakkan wanita itu sendiri. Pada dasarnya, bagus jika wanita di Arab Saudi mahukan hak memandu, namun, kebimbangan akan wujud jika kebebasan itu akan membuat wanita di Arab Saudi semakin melupakan tata susila dan budaya mereka dan seterusnya diresapi oleh budaya sekular sama seperi negara ini dan negara-negara lain amnya yang mana akhirnya akan meruntuhkan moral dan akhlak pemuda dan pemudi di sana. 

Saya? Masih sukakan dibawa ke sana sini kerana itu membuat saya berasa selamat. Tapi mungkin untuk sang suami lain pula pandangannya? 

Apa-apapun, the car keys are yours dear! :)

Wallahua'alam.



 

    

No comments:

Post a Comment