Sunday

Apakah sebabnya kita berkahwin?

Kisahnya agak menarik. Kisah seorang tua dan uzur yang mahu mencari seorang isteri bagi menjaga dirinya yang sakit. Dan ganjarannya bukanlah sebarang ganjaran. Isterinya itu akan diberikan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit jika sudi menjadi suri hatinya. Itu cerita dua minggu sudah. Minggu ini, Harian Metro mengkhabarkan bahawa sudah ada 13 wanita yang sudi menjadi isterinya. Di antara alasan yang diberikan ialah kerana kasihan, ingin menjaganya walapun tidak kisah apa yang akan dikatakan oleh masyarakat sekeliling. Kisah ini agak menarik minat saya. Bukan kerana kisah lelaki tua yang kaya mahu mencari jodoh, dan bukan kisah wanita muda yang tidak kisah menjaga lelaki uzur yang sakit, tetapi kerana saya tertarik akan sebab-sebab yang menarik minat kita semua untuk bernikah dan mendirikan rumahtangga.

Seringkali kita tersalah membuat pilihan di dalam kehidupan kita. Terutamanya di dalam soal jodoh dan peneman di kala suka dan duka sepanjang hayat. Kita sering dibuai mimpi yang indah dan harapan yang meninggi bahawa perkahwinan kita akan kekal buat selamanya. Namun, bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah. Kadang-kadang pilihan yang kita pilih atas dasar suka sama suka itu akhirnya menjadi bak racun yang merosakkan diri kita sendiri. 

Apakah sebabnya kita berkahwin? Adakah kerana paras dan rupa? Harta? Nafsu? Atau apakah kerana kesemuanya? Atau mungkin juga kerana tarikan fizikal dan seksual yang kita rasai membuat kita yakin bahawa insan itu adalah yang paling layak untuk kita kahwini? Dan, mengapakah apabila tahun demi tahun silih berganti, perasaan yang pernah ada di dalam hati kita semakin lama semakin menghilang dan diisi dengan perasaan bosan dan jemu? Apabila ini berlaku, kesannya amat besar kepada pasangan yang pernah bercinta satu ketika dahulu. Atau mungkin juga kita berkahwin kerana hanya itulah sahaja insan yang hadir di dalam hidup kita, dan kita menerimanya kerana tidak ingin membujang sehingga ke tua?

Sebenarnya, kita berkahwin dan berumahtangga kerana banyak sebab yang kita sendiri tidak sedari. Ada juga yang sanggup mendirikan rumahtangga apabila melihat semua rakan-rakan sudah berumahtangga, atau didesak oleh kedua ibu bapa atau ingin menjadikannya 'trend' terkini yang harus dilakukan secepat mungkin. Percayalah, jika kita berkahwin di atas semua sebab-sebab di atas, besar kemungkinan perkahwinan kita tidak akan berjaya sampai ke penghujungnya.

Jika kita berkahwin kerana nafsu, perasaan jemu dan bosan akan segera menerpa apabila nafsu atau tarikan itu sudah tiada.

Jika kita berkahwin kerana harta, perhubungan itu akan goyah jika wang dan harta tiba-tiba berkurangan atau hilang entah ke mana.

Jika kita berkahwin kerana paras rupa, perasaan itu akan menghilang apabila pasangan kita sudah hilang kecantikan dan parasnya.

Maka, semua faktor di atas akan membuat satu perkahwinan itu ditimpa masalah besar kerana sebab penyebab (nafsu, harta, paras dan rupa) semasa berkahwin itu sudah hilang atau tiada lagi. Jadi, di sinilah kita sewajarnya menilai semula mengapakah kita mahu mengahwini seseorang individu itu dan apakah sebabnya kerana nafsu, wang atau rupa? Jika ya, mungkin kita patut berhenti dahulu daripada membuat keputusan yang tergesa-gesa.

Ini kerana, sebaik-baik penyebab untuk kita berkahwin ialah kerana Allah semata-mata. Kita mahukan satu perhubungan yang berada di landasan yang betul. Perhubungan yang sentiasa diredhai oleh Allah dan perhubungan yang harmoni dan penuh dengan perasaan hormat di antara pasangan kita. Biarlah kita jelas akan tujuan kita mendirikan rumah tangga. Selain untuk melengkapi satu sama lain, kita juga ingin berkasih sayang, menjalankan tanggungjawab dan kewajipan, juga menjadi sumber kekuatan buat pasangan kita. Biarlah semua yang kita hadapi diharungi bersama-sama. Susah dan senang. Suka dan duka. Bukan hanya bersama di kala senang dan gembira, di kala paras masih lagi rupawan atau di kala harta masih lagi menimbun. Tetapi, bersama-sama di dalam semua keadaan sekalipun. Semasa susah dan sakit juga semasa senang dan sihat.

Yang pasti, pilihlah pasangan yang tahu tujuannya dihidupkan, pilihlah pasangan yang beramal soleh dan pilihlah pasangan yang menyenangkan hati dan mata kita juga yang tahu tanggung jawabnya kepada keluarga. Insya Allah, perkahwinan itu akan diberkati dunia dan akhirat.

Buat kaum wanita, jadilah isteri dan ibu yang penyayang. Jagalah makan dan minum keluarga, walaupun ala kadar tetapi mencukupi. Didiklah anak-anak dengan ilmu dunia dan akhirat. Jagalah solat dan aurat juga tingkahlaku dan percakapan kita di dalam dan di luar rumah.

Buat kaum lelaki, penuhilah ilmu kepimpinan di dada, ilmu dunia dan ilmu agama dan tunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan janganlah menggunakan kuasa yang ada untuk menindas para isteri dan menjadikannya seperti hamba.

Jika tujuan kita jelas, insya Allah semuanya akan berada di landasan yang betul. Jika tidak, mungkin kita perlu muhasabah diri, mungkin kita belum cukup tabah dan sabar untuk menghadapi sebuah perkahwinan yang penuh dengan dugaan, ujian dan pancaroba.

Ini belum lagi termasuk bab ingin berkahwin kerana menginginkan sesuatu perkara lain seperti kerakyatan, pekerjaan dan penghijrahan. Dan juga kerana ingin suka-suka tanpa menyedari bahaya dan perangkap yang sedang menanti di hujung jalan.  

Apa-apapun, jangan menipu dan bermain kayu tiga, kerana ini juga boleh membuat rumah tangga anda porak peranda!  

Tepuk dada, tanya hati. Juga tanya iman.

*p.s I love you. Senyum sampai ke telinga. :)


 

No comments:

Post a Comment