Sunday

Sudah-sudahlah dengan hal politik!

Saya sebenarnya sudah muak membaca 'posting-posting' berkenaan politik di wall (Facebook) saya. Kumpulan A mengata kumpulan B. Kumpulan C mengata kumpulan D, dan seterusnya. Apa yang saya nampak, setiap penyokong parti baik daripada kerajaan atau pembangkang sengaja mengorek, menggali dan mencari-cari salah parti lawan untuk dipersendakan, ditohmah, dikata dan dihinakan. Tolonglah. Buat apa hidup berpaksikan cerita politik semata-mata. Banyak lagi perkara penting yang harus kita lakukan di bumi ini. Bermulalah dengan membaiki diri sendiri sebelum mahu membaiki negara dan dunia.

Membuat sesuatu dengan tujuan sengaja mencari aib, membuat perbandingan siapa lebih baik dan alim adalah satu perbuatan yang sia-sia. Malah, boleh mendapat dosa. Takutlah kepada Allah. Kalau tidak suka, pangkahlah apa yang anda suka bila tiba masanya nanti. Ini, tidak, semua penyokong parti pemerintah dan lawan, sama-sama mahu mencari salah dan dipertontonkan kepada semua. Masalahnya, ahli politik hanya menjalankan tugas mereka tetapi penyokong-penyokong yang terlalu taksub ini ada-ada sahaja caranya untuk menunjukkan betapa salah dan jahatnya parti yang mereka anti (baik pemerintah dan pembangkang) sehingga sanggup buat keratan you tube, artikel, perbandingan gambar dan banyak lagi.

Saya memohon kalau boleh, biarlah kita hidup dengan bersangka baik. Tak perlulah masing-masing mahu menunjuk siapa betul. Cukup-cukuplah membuat dosa. Dosa yang anda lakukan sama dengan dosa mengumpat dan memfitnah dan hanya akan diampunkan apabila kita memohon maaf kepada orang yang kita umpat dan kata. Di mana mahu kita mencari mereka di akhirat nanti jika kita tidak sempat memohon maaf? Ingatlah, Allah akan mengampunkan dosa orang-orang yang bertaubat walaupun dosanya sebanyak buih di lautan, tetapi Allah tidak akan ampunkan dosa umatnya yang berbuat dosa dengan mengata, menghina dan mencaci, sehingga kita memohon ampun kepada orang itu terlebih dahulu. Tidak masuk syurga kita atau apakah kita tidak mahu masuk syurga?

Janganlah biar diri kita dikuasai oleh politik sehingga fikir, makan, mandi dan tidur hanya ingat politik sahaja dan hanya mahu menunggu 'kesalahan' mana-mana pihak untuk diterkam, dicari salah dan disebarkan dengan cara sendiri. Ingatlah Tuhan melebihi segalanya, lebih selamat dunia dan akhirat. Ini untuk semua penyokong taksub baik di pihak pemerintah dan pembangkang. Astagfirullah. Maafkan saya jika anda tidak suka posting ini.

*Ini adalah petikan status di Facebook saya pada 24 februari 2013

No comments:

Post a Comment