Friday

Fatamorgana Dunia

Kata mereka, tulislah apa yang kamu tahu. Apa yang ada dalam hati dan apa yang kamu perhatikan di sekeliling kamu. Dunia ini luas. Bukan hanya kepompong sempit yang kamu uliti benangnya namun masih gagal menembusi keluar dari balutan dan helaian dinding yang kamu jaga rapi. 

Hidup ini lebih daripada ilusi dan khayalan yang kamu bina dalam kelompok kamu sendiri. Menjadi ulat beluncas yang rajin menenun namun tidak bisa menghasilkan tenunan yang hebat, halus dan penuh seni. Dunia ini bukan dunia kamu seorang sahaja. Dunia ini milik semua. Yang hitam, putih, coklat dan kuning warna kulitnya. Dunia ini bukan untuk kamu pacak tiang tinggi dan meletakkan sempadan untuk menjaga kawasan kamu. Dunia ini luas. Milik Tuhan. Maka, lihatlah langitnya, tanahnya, gemawannya dan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang melata di setiap ceruk denai dunia - untuk kamu mempelajari sesuatu.

Kata orang, hidup ini untuk dinikmati. Namun, apakah kamu bisa reda jika kesukaran menghimpit kamu? Ya, kamu bisa menikmati hidup, namun hidup yang sudah diatur oleh yang menciptakan kamu. Bukan dunia yang kamu ambil dari benua sana dan kamu campakkan dalam hati kamu agar kamu pun menjadi sama seperti mereka. Sama seperti Louisa, Jonathan dan Erica. Malah sama seperti Johannah, Eric dan Casablanca.

Di manakah kamu meletakkan dunia kamu? Dalam hati atau di atas jemala kamu untuk kamu junjung mahkotanya? Atau dunia kamu sudah dicemari noda-noda sehingga segala-galanya sudah kusam, hitam dan lebam? Atau, dunia kamu ini untuk kamu perhiasi dengan permata gilang gemilang yang bersinar sehingga menikam retina? Atau dunia ini kamu lihat tempat kamu bercucuk-tanam sehingga hasilnya bisa kamu tuai apabila ia ranum?

Namun, ini dunia siapa? Soal diri. Dunia untuk mereka yang enak dibuai mimpi, kata hati. Bukankah dunia ini satu perjalanan bukan destinasi? Soal aku lagi. Oh... itu dunia mereka yang enak berfikir bahawa mereka itu infiniti. Tidak akan mati buat selama-lamanya.  Dunia untuk mereka meraih kecemerlangan dan kemasyhuran sehingga mereka diikuti dan disanjung hanya kerana pendapat-pendapat mereka di atas kertas, di dada akhbar, di alam maya dan di mana-mana sahaja. Asal pandai tabur air liur, ada sahaja pengikutnya.

Oh... hatinya mengeluh. Lama dia merenung jauh. Mungkin cuba mendalami jiwa yang sudah lama lusuh. Matanya berkelip-kelip. Sesekali dia mengeluh panjang. Selama ini dunia aku hanya untuk aku bercanda dan berjenaka dengan kawan-kawan dan orang-orang yang aku sayang. Aku terlupa bahawa ada malaikat yang mencatat segala perbuatan aku. Hati aku... ah... hati aku yang selalu buruk sangka dan berfikir remeh akan dunia abadi sudah aku karatkan dengan kata-kata nista, aduan domba dan fitnah yang bermaharajalela. Busuknya hati aku sehingga semut pun tidak mahu membanting tulang mengerumuninya. Malunya aku. Malunya aku pada hati aku sendiri sambil dia mula mengangkat sebaldi air untuk mencuci hatinya.

Bukan itu caranya. Hati tiba-tiba berbisik. Hati kamu bisa bersih apabila kamu mula mencucinya dengan solat dan zikrullah. Bukan dengan menceduk air dari dalam kolah dan mengharapkan keajaiban berlaku pada hati kamu. Lama hati berteleku. Cuba mencuit-cuit jiwa dan mengorek-ngorek dalam agar dapat diketemu walau sekelumit butiran permata. Ahh... aku tidak ketemu, kata hati. Aku tidak mahu ketinggalan dengan dunia. Aku mahu terus bersenang-lenang dengan dunia kerana ia membuat aku bahagia. Bodohlah mereka yang berfikir bahawa dunia ini untuk dipersia-siakan. Itu sangat kampung!

Mana mungkin aku mahu menjadi sama seperti kamu.

 



      

Wednesday

Mangkuk Tingkat Mak Cik Bedah

Hari ini hujan, sama seperti dua tiga hari yang sebelumnya. Usai sarapan dengan cucur udang dan nugget ayam, saya pun mula membasuh potongan ayam dan menyediakan bahan-bahan untuk makan tengah hari pula. Hari ini ringkas sahaja. Masak gulai lemak ayam dan sambal sotong ditambah denga sayur kai lan lebihan semalam. 

Sambil-sambil itu, mata menjeling ke arah dua mangkuk tingkat jenama Tupperware yang berada di atas meja. Hadiah daripada adinda ketika Hari Raya tempoh hari. Cantik warnanya. Merah dan jingga. Dua warna pesona yang bisa menyilaukan mata. Entah mengapa, ingatan saya terus mengimbau zaman persekolahan dahulu apabila melihat mangkuk tingkat itu. Zaman di mana, mangkuk tingkat merupakan sesuatu yang perlu.

Ketika di Tingkatan Empat dan Lima, boleh dikatakan kami makan dengan bekalan mangkuk tingkat yang disediakan oleh seorang mak cik. Mak Cik Bedah namanya. Orangnya gempal dan manis. Tinggal dalam satu kilometer dari rumah kami. Dahulunya, hanyalah jiran selang sebuah rumah, namun selepas ibu dan bapa membuat rumah baharu, kami pun berpindah. Namun, Mak Cik Bedah masih tetap berhubung dengan kami. Ada masanya dia membuat kuih muih dan menghantarnya kepada kami.

Mangkuk tingkat Mak Cik Bedah tidak moden. Tidak seperti mangkuk tingkat yang ada sekarang di mana ia mempunyai pelbagai corak dan warna. Mangkuk tingkat Mak Cik Bedah sama seperti dalam gambar yang saya kongsikan ini.  Ringan dan dihiasi dengan corak awan larat yang berliku-liku. Mudah dibuka dan mudah pula dibasuh.

Zaman itu, semuanya bergantung kepada mangkuk tingkat Mak Cik Bedah. Setiap Isnin sehingga Jumaat, sudah menjadi tugas saya mengambil bekalan tersebut untuk dibawa pulang. Usai pulang dari sekolah setelah diambil oleh kerani arwah bapa dengan Mercedes putih zaman enam puluhan (ya, arwah bapa membeli kereta lama itu semata-mata untuk mengambil kami dari sekolah), saya pun akan membuka pintu pagar Mak Cik Bedah. Melangkah beberapa meter ke hadapan, saya akan mengucapkan salam. Samada dia atau anaknya yang akan menghulurkan mangkuk tingkat itu untuk saya bawa pulang.

Ada macam-macam lauk yang dimasak oleh Mak Cik Bedah. Setiap hari menunya berlainan. Ada kari, masak lemak, sayur goreng, sayur lemak dan macam-macam lagi lauk-pauk Melayu kita. Setiap kali membuka tutupnya, hati akan berdebar-debar melihat apakah menu untuk hari itu. Ada masanya suka, ada masanya kecewa jika tidak menepati citarasa. Ada masanya jemu juga tekak ini menelan air tangan dari mangkuk tingkat tersebut. Namun, itulah lumrah kehidupan. Tidak semua ibu boleh meluangkan masa memasak untuk anak-anak kerana kesibukan kerja. Ibu yang bekerja sebagai seorang pengetua sekolah, memang hari-hari balik lambat. Selalunya dalam pukul empat setengah atau lima barulah ibu pulang. Maka, masakan Mak Cik Bedahlah yang mengganti masakan ibu.

Hujung minggu barulah ibu masuk ke dapur. Masa itu, dapatlah kami merasa air tangan ibu. Bee hoon goreng ibu yang lazat, karipapnya yang sedap dan kari ikannya yang enak. Semuanya boleh dinikmati hanya di hujung minggu. Ada masanya arwah bapa pula memakai apron. Kari ikannya memang 'power' sehingga menjilat jari.

Kini, semua itu hanyalah kenangan. Satu memori yang masih terpasak dalam ingatan. Ada masanya kenangan itu berlalu bak angin, namun secara tiba-tiba muncul di sebalik replika asing yang mengingatkan saya kepada masa silam.

Sama seperti mangkuk tingkat pemberian adindaku, mangkuk tingkat Mak Cik Bedah ada 'sentimental value' buat kami sekeluarga.

Terima kasih Mak Cik Bedah kerana menjadi sebahagian daripada hidup kami. Semoga barakah mengiringimu dalam diam. Insya-Allah.

*Gambar ehsan Google*  

  

Saturday

Cinta Terpatri Di Jabal Rahmah

Siapa yang tidak pernah jatuh cinta. Saya pasti semua pernah melaluinya. 

Tentu ada macam-macam kisah silam dan pengalaman pahit dan manis yang kita tempuhi dalam percintaan. 

Ada juga yang menganggap cinta itu buta. Ada yang berkata cinta itu tidak akan kekal lama. Namun, biar apapun falsafahnya, cinta itu memberikan seribu macam rasa. 

Jika cinta kita hilang namun ia ditemui semula dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, apakah reaksi kita ya? 

Jom baca cerpen saya di sini http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=3533&idc=18675, jika ia mampu membuat anda mengalirkan air mata.






Tulislah Yang Patuh Syariah

Walau apa sahaja jenis cerita yang kita mahu tulis, ia haruslah patuh syariah.

Walau apa sahaja yang kita mahu cakap, ia juga haruslah patuh syariah.

Walau apa sahaja yang kita mahu pakai, ia haruslah patuh syariah.

Walau apa sahaja yang kita mahu makan, ia harus patuh syariah.

Pendek kata, semuanya harus patuh syariah.

Jika kita mahu menjadi hamba-Nya yang taat, kita haruslah membuat apa sahaja yang Tuhan suruh tanpa apa-apa alasan atau persoalan.

Ini bukan soal kita ini suci. Ini soal kita ini hamba yang hina.

Tidak ada kompromi.