Sunday

Semalam Yang Membentuk Diri

Makna yang cukup mendalam. Sudah semestinya setiap daripada kita mempunyai ceritanya sendiri. Kisah silam, sekarang dan akan datang yang akan sentiasa membentuk keperibadian dan personaliti diri kita. Namun, ada segolongan insan yang gemar merenung kisah lampau sehingga boleh merosakkan masa kininya dan ada juga yang belajar sesuatu daripada kisah silam dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kisah silam merupakan satu pengajaran buat kita. Tidak kiralah apa juga kisahnya, kita harus belajar menerima dan meneruskan kehidupan, kerana masa kinilah yang perlu kita harungi setiap hari. Saya berpendapat, setiap masalah ada jalan keluarnya dan setiap yang berlaku di masa dahulu, ada sebabnya. Cuma, terpulang kepada individu itu untuk mempelajari sesuatu daripadanya, mengambil yang positif atau menyalahkan takdir, masa lepas atau sesiapa sahaja akan kejadian yang menimpanya di masa lalu. 
Seperti ungkapan di atas, saya contohnya, tidak akan menjadi diri saya sekarang jika saya tidak mengambil iktibar dan pengajaran di atas apa jua yang telah berlaku di masa silam. Setiap kesenangan, kebahagiaan, kesusahan dan kesedihan saya lalui sama seperti yang lain, namun setiap masalah atau halangan yang saya hadapi, akan saya harungi satu persatu, berhenti sebentar, bernafas dan menyambung semula dari mana saya berhenti. Saya meletakkan Tuhan itu sebagai nombor satu. Jika saya bersedih, kehilangan seseorang atau sesuatu, berasa putus asa, apabila teringatkan Tuhan itu sentiasa ada bersama saya, secara otomatik hati saya menjadi tenang. Maka, apa juga kekusutan atau kepayahan menjadi senang tiba-tiba dan segalanya tampak lebih lurus di hadapan mata. 
Alhamdulillah. Banyak sungguh perubahan yang saya sedari terutamanya dari segi spiritual, ketuhanan dan keredhaan terhadap setiap ujian yang diberikanNya kepada saya. Saya tahu, apa juga kesulitan, itu adalah untuk menguji keimanan dan kesabaran saya. Dan setiap kesabaran itu, akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda dari Yang Maha Esa. Justeru, saya tidak akan sesekali merungut dan menyoal takdir apatah lagi menyalahkannya kerana itu tandanya saya masih belum lagi cukup redha dan keimanan belum lagi kukuh.
Apa juga isunya di masa lepas, jangan sesekali kita menentangnya. Jangan mempersoalkan apa-apa dan teruskanlah kehidupan seperti biasa. Kita mungkin ditimpa sakit, kehilangan ahli keluarga, kekasih, wang atau harta, kehilangan kerja atau diuji dengan pelbagai ujian yang tidak disangka-sangka. Namun, ketahuilah bahawa jika Allah tidak sayangkan kita, Dia tidak akan menguji kita dengan sebegitu hebat, kerana jika kita lulus ujian yang diberikanNya, pasti kita akan berada di tempat yang tinggi di sisiNya. Sesungguhnya, insan-insan yang diuji oleh Allah adalah insan-insan yang terpilih. Tidak semua makhluk Allah mendapat keistimewaan untuk diuji dengan kesakitan, kehilangan dan kemewahan, justeru kita harus menerimanya dengan hati yang tenang dan dada yang lapang.

Sebaiknya, sentiasalah bersangka baik dengan Allah, sentiasa memohon dan berdoa dan sentiasa membasahi bibir kita dengan zikir dan bacaan al-quran. Percayalah, jiwa akan semakin tenang dan dengan sendirinya apa juga masalah yang melanda menjadi mudah dan kecil kerana kita tahu bahawa Tuhan akan sentiasa mengawasi kita. Dan, Tuhan akan memberikan apa yang kita perlu bila kita sudah bersedia dan Tuhan akan menolong apabila tiba masa yang Dia tahu sesuai buat kita. 

Yakin, redha, usaha, tawakal dan doa. Intipati yang harus ada buat muslimin dan muslimat. Kepedihan masa silam, cumalah sebahagian kecil yang akan membentuk kerohanian dan dalaman kita. Yang selebihnya, berserahlah diri sepenuhnya kepada Allah, kerana bantuannya akan tiba jika kita sabar. Insya Allah.

Aamiin.

No comments:

Post a Comment