Tuesday

Selamat Tahun Baru 2013

Hari ini bermulalah hari baru di tahun yang baru. Banyak persiapan yang mahu dibuat di awal tahun terutamanya hal sekolah anak-anak yang akan memulakan persekolah sedikit masa lagi. Pakaian, beg sekolah, buku-buku harus dipastikan siap sebelum mereka menjejakkan kaki ke sekolah di hari pertama nanti. Alhamdulillah, semuanya sudah beres di awal bulan Disember lagi kerana saya tidak suka melakukan sesuatu di saat-saat akhir. 

Apabila menyebut tahun baru, ramai orang gemar bercakap mengenai azam tahun baru. Namun bagi saya, jika kita mempunyai sesuatu azam, kita tidak perlu menunggu tahun baru tiba untuk memulakannya. Azam boleh dibuat di bulan mana sekalipun. Yang penting, jika kita sudah menanam azam, kita haruslah menjadikannya kenyataan. Tahun ini, saya tidak mempunyai azam yang khusus. Semuanya berjalan seperti biasa namun ada beberapa perancangan yang saya sudah rangkakan buat tahun ini, dan harapannya agar pelan-pelan itu akan direalisasikan dengan izin Allah juga. 

Bulan Januari ini juga, bulan yang agak sibuk buat saya. Saya akan menyambung semula kelas agama di sebuah masjid berdekatan untuk menambahkan ilmu keagamaan di dada. Saya juga mempunyai beberapa urusan peribadi yang perlu dibereskan secepat yang mungkin. Jika ingin mengimbas kembali tahun 2012, ada beberapa perkara yang berlaku yang di luar jangkaan saya. Novel saya dengan PTS Litera telah dijual dengan habis sehingga kehabisan stok semasa Pesta Buku Antarabangsa tempoh hari, dan telah diulang cetak. Saya juga telah diundang untuk duduk sebaris dengan penulis berbakat dan tersohor untuk menandatangai novel-novel saya dengan pembeli dan pembaca. Malah, di hujung bulan Oktober saya mengalami satu peristiwa yang telah mengubah seluruh perspektif hidup saya, harapnya ke arah kebaikan yang berkekalan di dunia dan akhirat.

Tahun ini, saya mengharapkan agar Allah terus merahmati dan memberkati hidup saya dan keluarga. Memakbulkan doa-doa saya dan memberikan saya kasih sayang dan kebahagiaan yang akan berkekalan sehingga ke akhir hayat, di dunia dan akhirat. Saya memohon agar anak-anak saya menjadi wanita solehah, memahami agama dan menghormati orang di sekeliling mereka selain dari menjaga aurat, akhlak dan tingkah laku mereka. Juga, saya berdoa agar mereka cemerlang di dunia dan akhirat dan sentiasa dilindungi Tuhan di mana sahaja mereka berada.

Di dalam aspek peribadi dan perhubungan, saya berdoa agar kasih sayang yang ada ini berkekalan sehingga ke syurga. Agar semuanya berada di landasan yang betul dan lurus dan semoga perasaan kasih dan sayang ini semakin kuat dan kekal sehingga ke akhir hayat. Mohon juga agar dijauhkan Allah daripada badai dan perselisihan juga agar kami sentiasa dijaga, disayangi dan dilindungi Allah sentiasa. Moga tahun ini menjadi tahun yang cemerlang buat kami sekeluarga dan apa yang diharapkan akan dimakbulkan Allah. Hanya Allah yang maha mengetahui apa yang tersirat di luar dan di dalam hati kita semua. Maka, saya hanya memohon dan mengharapkan yang baik-baik sahaja. 

Moga kita istiqamah dan bersyukur dengan segalanya yang datang daripada Yang Maha Esa. Jika cinta hatiku membaca entri ini, ketahuilah saya sangat sayang padamu. Aamiin. 

  

No comments:

Post a Comment