Sunday

Oh Mc Indians!

Ini bukan kisah koboi! Juga bukan kisah Red Indian. Apatah lagi cerita cinta. Ini hanyalah kisah satu restoran yang terletak di sebuah bandar di England yang menjual makanan segera yang halal. Namanya seakan-akan Mc Donald's dan boleh menjadi tumpuan umum jika kita ke sana. Terletak di sebuah selekoh di Charles Street di Leicester, restoran ini menjadi tumpuan pelanggan Muslim yang mahukan makanan segara ala-ala Mc Donald's. Semasa mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Leicester dahulu, saya telah diperkenalkan dengan restoran ini oleh pelajar lama yang masih menuntut di situ. Di dalam hati berasa amat bersyukur kerana ada juga restoran halal yang menjual makanan segera. Jika teringin mahu menjamah burger ayam dan kentang goreng ala-ala Mc Donald's, dapatlah juga merasa dengan adanya restoran ini. Malah, rasa burger dan kentangnya jauh lebih sedap dan enak daripada Mc Donald's. Bukan sahaja burger, restoran ini juga menjual nasi beriani, ais krim dan samosa yang lazat. Kebiasaannya, seminggu sekali selepas habis kelas, saya akan turun ke bandar dengan bas nombor 80 dan memesan ayam gorengnya yang rangup dan lazat untuk dibawa pulang. Bukan saja sedap, kuantitinya juga cukuplah banyak. Memang kita akan kekenyangan sehingga berjam-jam jika memakan ayam goreang dan kentangnya.      

Kini, jika teringin atau teringat, hanya mampu menatap menu atau gambarnya sahaja. Kebetulan pula hari ini saya membelek album-album lama, maka ternampaklah gambar saya, ibu dan kawan-kawan sedang duduk semeja menjamah ayam goreng di restoran Mc Indians yang terkenal itu. Wah! Banyak sungguh memori yang disimpan. Di lain masa, kita kongsi cerita lain pula ya!   

No comments:

Post a Comment