Thursday

My Matatu, Elton John!

Bas yang berwarna kelabu itu sudah bertukar wajah. Daripada kelabu yang kusam berdebu, kini matatu kepunyaan Sumi sudah bertukar merah. Seharian Sumi mencari idea apakah warna yang sesuai buat matatu second hand yang diperolehinya minggu lepas daripada seorang warga Amerika yang mahu pulang semula ke negaranya setelah berkelana di situ selamat sembilan tahun. 

"Hitam!" Kiola adiknya hampir melompat apabila mendapat tahu yang Sumi mahu mengecat semula matatunya yang sudah hampir berkarat itu.

"Hitam tidak ceria. Aku mahu warna yang garang!" Sumi menggeleng kepala tidak setuju. 

"Jika begitu, pilih sahaja warna jingga!" Kiola masih lagi mahu memberikan idea buat Sumi yang sedang leka membelek-belek tayar matatunya yang hampir pancit.

"Atau ungu!" Kiola masih belum berputus asa. Namun, seperti biasa Sumi hanya membiarkan Kiola sendirian tanpa memberikan apa-apa reaksi. Pada Sumi, Kioala bukanlah orang yang sesuai untuk memberikannya idea apatah lagi mengenai bas idola yang diidamkannnya sejak sekian lama. Sejak berhenti daripada sekolah tahun lepas, Sumi membanting tenaga membantu ibunya berkebun di satu kawasan kecil berdekatan dengan kolam yang keruh untuk mencari sesuap nasi. Melihat keadaan ibunya yang berkerja keras membanting tenaga seharian membuat Sumi terfikir bahawa dia harus mencari peluang yang lebih baik untuk membantu ibunya. Tidak guna jika mempunyai tulang empat kerat namun tidak digunakan dengan baik. Maka, suatu petang sambil bersandar dibelakang sebatang pokok renek, Sumi memberitahu ibunya akan impiannya yang masih belum termakbul.

"Sumi tengok semakin ramai penduduk kawasan ini memerlukan kenderaan untuk berulang alik ke bandar." Sumi memulakan perbualan. Ibunya hanya merenung matanya mencari jawapan kepada makna ayat yang diucapkan oleh Sumi itu. Namun, ibunya hanya mendiamkan diri.

"Sumi ingat Sumi mahu membeli sebuah matatu." Tanpa berselindung Sumi membuka bicaranya lebih luas.

"Matatu?" Ibunya mengerutkan dahi yang masih lagi tegang itu walaupun umurnya sudah mencecah lebih separuh abad.

"Ya... matatu!" Sumi tersenyum girang. Ada cahaya yang terpancar dari raut wajahnya apabila matatu disebut beberapa kali.

"Mana mahu dicari wang untuk membeli sebuah matatu?" Ibunya seakan gusar dengan pelan yang disebut oleh Sumi. Sebagai seorang ibu, sudah tentu hatinya runsing jika permintaan anak lelakinya itu tidak dapat dipenuhi. Kerjanya berkebun sepanjang hari cuma cukup buat dimakan oleh mereka berempat sahaja. Itupun sekadar cukup-cukup makan sahaja dan ada kalanya langsung tidak berpeluang menjamah apa-apa selain daripada tepung yang dimasak dengan gula. Apa yang baru sahaja disebut oleh Sumi membuat hati ibunya terus runsing.       

"Tak usahlah Sumi... Kita tak mampu untuk membeli sebuah matatu." Ibunya membantah. 

"Tapi ibu... Sumi baru mendapat tahu yang tuan Albert mahu menjual matatunya dengan harga yang amat murah. Sumi mahu memujuknya agar mengurangkan lagi harganya." Sumi tidak bisa mengalah dengan bantahan ibunya. Buat sesaat ibunya terdiam namun meneruskan perbualannya dengan penuh hati-hati.

"Apa Sumi ada wang untuk membeli matatu tuan Albert?" Ibunya menyoal dengan suara yang agak dalam. 

"Ibu usah bimbang. Sumi tahu apa yang Sumi akan lakukan." Sumi membalas dan berjanji bahawa semua urusan itu akan dilakukannya secara berhemah. Maka, Sumi pun berjalan ke rumah tuan Albert yang terletak lebih kurang satu kilometer dari rumahnya untuk menawarkan harga yang murah buat matatu idamannya. 

"Jika aku memperolehi matatu ini, mudahlah sikit buat aku menyara hidup." Sumi berkata di dalam hati.  

Apabila sampai sahaja di hadapan pintu rumah tuan Albert, Sumi melihat tuan Albert sedang membelek-belek stering matatunya sambil menghisap cerut Havana kesukaannya. Asap yang keluar daripada cerut itu bisa membuat sesiapa pun loya kecuali tuan Albert.

"Ah! Sumi... mari sini!" Jeritan tuan Albert membelah kesunyian di petang hari yang sunyi. Tanpa banyak soal, Sumi pun berjalan laju ke arah tuan Albert yang asyik melayan matatunya bak permata yang tinggi nilainya. Matatu berwarna kuning itu masih lagi elok dan berkilat malah bercahaya apabila dipantul oleh cahaya mentari. Tuan Albert sememangnya menjaga matatunya dengan begitu baik sekali. Setiap hari digilapnya matatu yang berwarna terang itu dengan penuh kasih sayang. Sesekali tuan Albert akan bercakap dengan matatunya dan menepuk-nepuk badannya seolah matatu itu adalah anaknya. Sumi hanya tersenyum melihat kelibat tuan Albert yang bermisai lintang itu sedang duduk di bangku hadapan sambil mengelap cermin hadapan matatunya dengan kain berwarna hitam.

"Cantik bukan?" Tuan Albert tersengih bangga sambil menepuk-nepuk kerusi di sebelahnya lalu menjemput Sumi duduk di sebelahnya. 

"Ya... Tuan menjaga matatu Tuan dengan begitu baik sekali." Sumi memberikan pujian yang tidak berbelah bagi. 

"Err... Saya ada mendengar yang tuan mahu menjual matatu tuan dengan harga yang murah?" Sumi tidak menunggu lama untuk menyoal tuan Albert.        

"Yang ini?" Tuan Albert menyoal sambil mengangat keningnya yang lebat.

"Ya..." Sumi membalas namun disambut dengan ketawa yang kuat daripada tuan Albert. 

"Ha! Ha! Ha! Kamu fikir saya akan menjual matatu kesayangan saya ini? Ah! Gila!" Tuan Albert menghembuskan nafasnya kuat-kuat. 

"Saya mahu dikuburkan bersama-sama dengan matatu kesayangan saya ini. Jika boleh, saya mahu tidur sekatil dengan matatu ini." Tuan Albert ketawa lagi.

"Oh... Maaf tuan. Saya ingat tuan mahu menjual matatu tuan..." Nada Sumi terus bertukar. 

"Ya...memang saya mahu menjual matatu saya, tetapi bukan yang ini." Tuan Albert turun melalui pintu hadapan dan terus melangkah laju.

"Mari ikut saya!" Tuan Albert mengajak Sumi mengikutinya. Lalu tanpa banyak soal, Sumi mengekori tuan Albert dari belakang. Mereka meredah semak dan belukar kecil di bahagian belakang rumah tuan Albert sehingga terjumpa satu bangsal kayu usang yang hampir roboh. Tuan Albert membuka pagar kayu yang longgar dan menuju ke dalam bangsar lalu membuka penutup plastik hijau yang menutupi sesuatu yang agak besar.

"Ini dia... Saya mahu menjual yang ini." Tuan Albert mengalihkan penutup plastik itu maka muncullah sebuah matatu lama yang sudah dimamah usia. Jantung Sumi seolah berhenti seketika melihat keadaan matatu kelabu yang usang itu disebalik semak samun dan belukar yang tidak berjaga. Hatinya tiba-tiba rebah namun ianya tidak lama. Tiba-tiba Sumi menyoal.

"Tuan mahu menjual yang ini?" Sumi bertanya.

"Ya." Jawab Tuan Albert.

"Berapa?" Sumi bertanya harganya. Namun tuan Albert tidak pantas menjawab. Agak lama dia berfikir dan merenung matatu yang berusia lebih dari sepuluh tahun itu yang banyak berjasa padanya. Tiba-tiba tuan Albert menyoal lagi. "Kamu mahu membelinya?"

"Ya," balas Sumi.

"Hmm... Sumi, matatu ini banyak berjasa kepada saya. Walaupun saya sudah mempunyai matatu yang baru dan cantik, saya masih menyimpan matatu ini." Tuan Albert membuang debu yang melekat di badan matatu yang sudah usang itu.

"Ianya usang kerana terbiar. Jadi, saya mahu mencari orang yang boleh menjaganya dengan baik." Tiba-tiba Tuan Albert agak emosi.

"Saya ada mendengar cerita yang kamu mahu mendapatkan sebuah matatu untuk meningkatkan taraf hidup kamu." Sambil menyeka peluh di dahi, tuan Albert duduk di bucu pagar yang hampir roboh sambil menghela nafas yang panjang. 

"Ya... memang betul." Sumi membalas. "Tetapi, saya ingatkan tuan mahu menjual matatu kuning tuan yang berkilat itu." Sambung Sumi. Tuan Albert ketawa lagi. 

"Oh... Matatu tu saya akan bawa pulang ke Amerika. Tetapi, yang ini saya akan tinggalkan di sini. Jika kamu mahu, saya akan menjualnya dengan harga 200 dollar Amerika." Tuan Albert membuat penawaran. Namun, harga yang ditawarkan agak besar buat Sumi lalu dia pulang penuh kehampaan kerana tuan Albert tidak mahu bertolak ansur sehinggalah seminggu sebelum berlepas ke Amerika, Tuan Albert menjemput Sumi ke rumahnya.

"Sumi, saya sudah membuat keputusan. Minggu depan saya mahu pulang ke Amerika. Belum ada sesiapa yang mahu membeli matatu buruk itu... Seharian saya duduk berfikir apakah yang harus saya lakukan. Memandangkan kamu menunjukkan minat, saya mahu memberinya pada kamu." Panjang lebar Tuan Albert memberikan penjelasan. Buat seketika Sumi tidak tahu apakah jawapan yang harus diberikan buat tuan Albert. Namun, melihat tuan Albert seolah mahukan jawapan dari mulutnya, Sumi pun lekas membalas.

"Tuan... saya tidak mampu mahu membeli harga yang tuan tawarkan dulu. Saya rasa tuan jualllah pada orang lain." Sumi menolak dengan hormat.

"Kamu pekak ya? Saya kata saya mahu memberikannya pada kamu. Kamu mahu?" Soal tuan Albert.

"Maksud tuan, percuma?" Soal Sumi. Suaranya semakin tinggi dengan berita yang baru didengarinya.

"Ya... saya mahu menghadiahkannya pada kamu. Kamu boleh membawanya pulang dan gunakan wang yang kamu simpan itu untuk membaiki matatu ini dan mengecatnya semula." Sambil tersenyum, tuan Albert mengenyit mata. 

"Kamu boleh memulakan bisnes kamu dan mengangkut penumpang dari kampung ini ke pekan. Saya percaya yang kamu boleh menjaga matatu ini dengan baik." Tuan Albert menepuk bahu Sumi lembut. Tanpa perasaan malu, Sumi melompat dan memeluk tuan Albert dan menjerit kesukaan. 

"Terima kasih tuan!" Sumi tersenyum lebar sambil menjabat tangan tuan Albert kemas dan menggoncangnya kuat-kuat.

"Sama-sama... jaga elok-elok ya!" Tuan Albert menepuk bahu Sumi sekali lagi. Maka, sejak hari itu, Sumi pun mula memberikan wajah baru buat matatunya. Bukan sahaja matatu itu diberikan wajah baru, ianya juga dicat dengan pelbagai warna dan dilukiskan gambar seakan poster yang besar melekat dibadannya. Gambar wajah Elton John dan pokok pisang tersergam megah di sekeliling matatu Sumi yang sudah berubah wajah. Matatu yang baru sahaja diberikan oleh tuan Albert itu dan baru sahaja diubah suai bisa membuat Sumi menjadi kaya. Kioala yang sedang mengelap cermin matatu baru Sumi tersenyum lebar.

"Jika kita dah jadi kaya, saya mahu jumpa Elton John!" Kiola masih mengelap cermin.

"Saya mahu bertanya pada Elton John, apakah dia suka memakan pisang! Matatu ini penuh dengan gambar pokok pisang dan Elton John. Kalau Elton John tengok, kamu ingat dia akan suka tak?" Kiola ketawa kelucuan.

"Entahlah... Harap-harap dia tak marah sebab lukisannya sungguh besar sedang memakan pisang!" Sumi tersenyum lebar dan tersengih bangga kerana matatunya dihias dan dilukis dengan begitu cantik seperti apa yang dibayangkannya.

"Agaknya, apa nama yang sesuai untuk matatu ini ya?" Tiba-tiba Sumi bertanya.

"Sumi and Bananas featuring Elton John!" Kiola ketawa terbahak-bahak sambil memberikan cadangan yang melucukannya.

"Ahh... Tidak mahu. Aku mahu memberikan namanya My Matatu, Elton John sempena gambar besar Elton John di badan matatu ini!" Sumi ketawa sambil mengelap cermin mata gelap Elton John yang bersinar di panah mentari yang terlukis besar di badan matatunya. 

"Suka hati kamulah! Tapi, walau apapun namanya, mari berdoa agar kita akan menjadi kaya seperti Elton John juga!" Kiola menyampuk dan terus bersetuju dengan gelaran yang dicadangkan oleh Sumi. Sumi masih lagi ketawa sehingga memicit perutnya. 

"Ya! Satu hari nanti saya mahu bertemu Elton John dan mengajaknya naik matatu ini!" Sumi menyapu air matanya yang keluar kerana ketawa kelucuan. Kedua-dua beradik itupun terus ketawa sambil mengemas segala barangan mereka dan memparkir matatu merah yang berwarna-warni itu di hadapan rumah mereka yang kecil. Seluruh penduduk kampung pun berduyun-duyun datang ke situ dan bertenggong di hadapan matatu merah Sumi yang berkilat sambil menikmati kecantikan lukisan dan hiasannya yang unik dan besar.

"Wah! Sumi sudah ada matatunya sendiri!" Penduduk di situ memuji dan mengagumi Sumi.

"Sikit masa lagi, dapatlah kita menaiki matatu Sumi." Beberapa penduduk kampung sudah mula memasang angan. Sumi mengelap badan matatunya berulang kali kerana sering dipegang oleh penduduknya yang agak teruja melihat matatu cantik dan berkilat di hadapan mata mereka. Sumi mengelap lagi bimbang jika matatunya kotor dan comot sambil mengeluh di dalam hati.

'Aduh! Habislah kotor matatuku ini. Baru saja dicuci dan digilap, sudah pun berdebu.' Hati Sumi sudah mulai bergelodak. Tiba-tiba beberapa orang pakcik yang sudah separuh abad mendekati Sumi.

"Sumi... Kami mahu ke Nairobi petang ini membawa kambing kami untuk dijual di pasar. Boleh kamu bawa kami ke sana? Soal seorang pakcik yang sedang mencungkil giginya.

"Boleh! Sekarang juga saya boleh bawa!" Suara Sumi bergetar kegembiraan. Nampak gayanya, baru sehari matatunya diletak di hadapan rumah, sudah ada pelanggan yang mahu menggunakannya. Hati Sumi terus berbunga. Begitulah keadaannya selepas hari itu sehingga Sumi tidak menang tangan membawa penduduk dan haiwan ke sana sini dengan matatunya yang baru! Lama-kelamaan matatu Sumi menjadi sebutan dan semakin popular. Bukan sahaja Sumi, Elton John juga sering disebut penduduk setempat sebagai hero yang membantu melariskan perkhidmatan Sumi. Ke mana-mana sahaja, penduduk akan mengaitkan matatu yang terlukis wajah Elton John memakan pisang sebagai matatu yang tercantik di situ. Untung juga Sumi kerana mendapat bantuan Elton John! Semakin lama, matatunya semakin mendapat sambutan sehangat sambutan Elton John di pentas nyanyian dan membuat perkhidmatan Sumi semakin laris dan popular.  Sumi dan matatunya semenjak itu tidak lagi dapat dipisahkan. Terus menerus mendapat sambutan dan perhatian.

"Terima kasih buat Elton John!" Sumi tersenyum bangga menuju ke bank terdekat untuk membeli katil baru buat ibunya.


  


*** Matatu adalah sejenis kenderaan yang digunakan di Nairobi, Kenya sebagai pengangkutan awam yang murah. Selain manusia, matatu juga digunakan untuk mengangkut haiwan dari satu tempat ke tempat yang lain. Selalunya, penumpang matatu ada yang sampai terpaksa duduk di atas bumbung kerana keadaannya yang selalu penuh dan sesak. Ini adalah satu cara pengangkutan yang murah di Kenya, walaupun ada juga matatu baru yang berhawa dingin diperkenalkan.  

*** Watak Elton John dan pokok pisang yang dilukis di badan matatu di dalam cerita ini diambil sempena satu babak di dalam novel Glamor & Vogue, Itulah Aku! yang sedang berada di pasaran sekarang.
   

No comments:

Post a Comment