Hidup
ini satu perjalanan. Ia mengajar kita erti penat, kecewa, gembira,
bahagia dan pelbagai lagi rasa. Namun, hidup ini tiada erti jika kita
tidak mahu merenung ke dalam diri dan memperbaiki kekurangan dan
kelemahan kita. Kita tidak sempurna tetapi kita boleh memilih untuk
mengubah diri kita menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Jangan kata
aku sudah macam ini, suka hati akulah aku nak cakap atau buat macam mana. Ini tandanya hati kita masih lagi angkuh dan sombong bukan hanya dengan manusia tetapi dengan Tuhan.
Jika sebelum ini kita engkar dengan perintah Tuhan, ubahlah dan
koreksilah diri. Engkar dengan Tuhan bukan sahaja berkenaan solat dan
puasa, tetapi ia lebih daripada itu. Jangan kata kita patuh dan
sayangkan Tuhan jika hati ini masih berkata-kata sinis di dalam, penuh
prasangka, mengadu domba, bangga diri, riak dan takbur dengan kehidupan
kita.
Riak dengan kisah diri sendiri dan keluarga, riak dengan
merasa diri ini baik, riak dengan merasa hati kita bersih padahal
setiap hari kita ketawakan orang atau menyindir orang lain secara kita
tidak sedar. Mungkin kita sudah terbiasa maka sifat itu sudah sebati di
dalam diri sehingga kita gagal melihat yang ia adalah salah satu sifat
yang dicela Tuhan.
Kita harus berubah dari hari ke hari. Kita
harus menjadi lebih baik dari kehidupan kita yang lepas. Kata-kata,
penulisan, kata hati, perbuatan kita haruslah dibaiki setiap masa supaya
Allah menjadi suka dan sayangkan kita. Jangan kita berada di takuk lama
sejak azali sehingga kita mati. Jangan kita sangka kita tidak ada
berbuat dosa jika setiap hari kita menyakitkan hati orang lain dengan
kata-kata, tulisan dan perbuatan kita. Jangan kita ingat kita sempurna
jika hati masih bongkak enggan mengaku kelemahan dan memperbaikinya.
Ia semua bermula dari hati. Hati yang angkuh ialah hati yang tidak
mampu melihat apakah kesalahan diri sendiri tetapi hanya mahu melihat
kesalahan orang lain. Mahu mencari kesalahan orang yang sengaja
dikorek-korek untuk diperkatakan di sana sini. Sepatutnya hati harus
selalu dibersihkan dari kotoran-kotoran dunia sehingga apa sahaja yang
kita ucapkan dan tuliskan ialah perkara yang baik-baik sahaja. Hati yang
baik tidak sanggup menulis kata nista, bercakap tentang diri sendiri,
memuji diri sendiri dan melihat jahatnya orang lain. Hati yang baik akan
membuat urusannya sendiri dan tidak mahu mencampuri dengan benda-benda
tidak berfaedah apatah lagi mahu membebankan diri dengan perkara-perkara
duniawi yang boleh melalaikan kita.
Setiap hari kita harus
menangisi betapa hinanya kita. Setiap hari kita harus menangis melihat
akhlak kita. Setiap hari kita harus menangis mengenangkan dosa-dosa
kita. Setiap hari kita kena berubah dan mengawal perasaan kita. Setiap
hari kita kena berdoa yang baik-baik untuk diri, anak-anak dan keluarga
kita juga umat Islam keseluruhannya.
Kita belum cukup Islam
jika kita tak mendoakan sesama kita. Sehingga kita benar-benar faham apa
itu cara hidup Islam yang dituntut Tuhan, kita sebenarnya bukan lagi
Islam sepenuhnya. Jangan Islam hanya pada nama tetapi jadilah Islam yang
sebetul-betulnya dari segi pakaian, tutur kata, tingkah laku, akhlak,
sifat, sikap, hati, pergaulan dan macam-macam lagi yang Allah suruh.
Fahamilah yang Islam itu ialah satu cara hidup. Maka pilihlah semuanya
dan bukan hanya beberapa perkara yang kita suka dan meninggalkan yang
lainnya.
Jangan bagi Allah murka. Ubahlah diri kita supaya
menjadi lebih baik dari semalam. Hindarilah fitnah dan pujian terhadap
diri sendiri tetapi sentiasalah muhasabah diri supaya kita menjadi lebih
bagus lagi dari hari ke hari.
Insya Allah kita cuba sama-sama.
No comments:
Post a Comment