Hati cukup tersentuh apabila mendengar kisah-kisah kehidupan dan pengembaraan insan-insan yang mencari Tuhan yang satu.
Di dalam kebisuan kata-kata, terselit satu perasaan kagum dengan
cerita-cerita yang mungkin tidak pernah kita gambarkan sebelum ini.
Kisah-kisah terpencil dan jarang-jarang kita dengar kecuali dengan
telinga sendiri.
Kembara yang panjang mencari arah tuju kehidupan, diasak di
kiri dan kanan, ditohmah dan dipandang serong, sudah menjadi asam garam
kehidupan mereka. Kehidupan silam yang penuh onak dan duri, kehidupan
yang tiada bermatlamat malah kehidupan yang sarat dengan dosa dan noda
akibat kejahilan diri sendiri.
Namun, apabila Allah mahu
menitipkan hidayah, maka diselitkan rasa dan persoalan di dalam hati,
apakah tujuan aku hidup di dunia dan mengapa aku dilahirkan? Di manakah
Tuhan aku?
Persoalan demi persoalan mula menghantui diri.
Sedikit demi sedikit mereka mencari jalan pulang. Jalan hakiki yang
lurus dan benar. Jalan yang diredhai-Nya.
Tidak boleh diungkap
dengan kata-kata apabila telinga ini mendengar cerita-cerita benar yang
mungkin hanya bisa didongengkan sahaja. Namun, ia bukan cerita dongeng
malah bukan rekaan. Ia adalah benar belaka.
Kudos dan tahniah
buat insan-insan istimewa ini. Anda semua adalah insan-insan istimewa
yang disayangi Tuhan. Anda bertuah kerana anda mahu membuka hati
berfikir akan hakikat kehidupan. Maka, rugilah insan-insan yang
semulajadinya fitrah hanya mengsia-siakan kehidupan malah ada yang terus
melupakan Tuhan.
Teruskanlah berjalan wahai insan-insan
terpilih. Pasti ada tangan yang memimpinmu ketika mahu berjalan atau
tangan yang menyambutmu ketika kamu jatuh. Tabahlah dengan ujian Tuhan
yang tidak akan selesai sampai kita menutup mata.
Tuhan Sayang Kamu.
No comments:
Post a Comment