Pada Bulan Februari 2012, novel sulung saya telah mendapat ulasan di slot Dunia Buku di akhbar Berita Harian. Ulasan daripada Puan Latifah ini telah diberikan 3 bintang (Tidak Rugi Baca). Jadi, jom kita baca apa yang ditulis oleh beliau!
*******************************************
Tukang tilik nasib, lelaki misteri calar hidup Maria di London
"KERANA cinta manusia sanggup berbuat apa saja". Begitulah tema
keseluruhan novel Salahkah Aku?, karya sulung penulis wanita, Aimee Nour
yang membawa pembaca mengenal permainan duniawi yang penuh dengan
muslihat di sebaliknya.
Jika dilihat daripada tajuknya, mungkin ramai membuat tanggapan
awal kisah cinta tidak kesampaian bakal dihidangkan kepada pembaca.
Bagaimanapun, telahan penulis sendiri ternyata terpesong jauh, tatkala
menyelak helaian demi helaian novel yang penuh elemen misteri, di luar
jangka dan punya elemen kejutan.
Masih menyelitkan unsur cinta, penulis bijak mengadun jalan cerita
terutama mengajak pembaca berteka-teki terhadap beberapa watak utama
yang ditampilkan secara misteri sehingga sukar diduga jika tidak terus
membaca sehingga akhir kisah.
Mengangkat wanita sebagai pendukung cerita, Maria ditampilkan
dalam alur cerita yang tidak membosankan apatah lagi sisi
personalitinya yang menarik, kecekalan dan sifat keberanian ditonjolkan
pasti mengundang simpati dan rasa kagum di kalangan pembaca kaum hawa.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, khalayak pembaca wanita
seharusnya menjadikan kisah Maria sebagai pengajaran terutama lebih
berhati-hati dalam pergaulan, tidak mudah mempercayai orang yang baru
dikenali dan tidak terlalu mengikut perasaan yang mungkin akan memakan
diri sendiri.
Selain itu, penulis turut terpesona dengan laras bahasa mudah dan
santai yang digunakan dalam novel ini, sekali gus menaikkan lagi ‘mood’
pembaca dalam menghayati cerita yang mengandungi 29 bab itu.
Berkisarkan kehidupan Maria, ahli perniagaan berjaya berusia
pertengahan 30-an yang mengambil keputusan untuk bercuti di kota London
bagi mengubat kekecewaan selepas bercerai dengan lelaki yang begitu
dicintainya, Adam.
Pelbagai perkara di luar jangkaan berlaku ketika percutian
berkenaan bertitik-tolak daripada pertemuannya dengan seorang tukang
tilik misteri bernama Lady M yang kononnya mampu meramal nasib Maria
pada masa akan datang.
Terlarut dek kata manis Lady M itu, Maria semakin hanyut dengan
khayalannya sendiri apatah lagi dengan kemunculan lelaki misteri,
bernama Ammar yang menagih cinta dan menanam janji mahu mengubati hati
wanita yang masih dirundung duka selepas ditinggalkan suaminya tanpa
rela.
Bagaimanapun, kebahagiaan yang dikecapi Maria ternyata bersifat
sementara apabila Lady M, Ammar dan rakan baik yang juga rakan kongsi
perniagaannya, Nora mula menghilangkan diri. Lantas, Maria yang mula
sedar dirinya ditipu, merancang helah bagi memerangkap ketiga-tiga
individu berkenaan apatah lagi jutaan ringgit wangnya juga dipergunakan
mereka.
Maria berusaha keras mendapatkan kembali wang dan maruahnya yang
tercalar dan bertekad tidak akan pulang kembali ke Malaysia selagi tidak
dapat menjejaki kesemua penjenayah berkenaan dan mengetahui motif utama
mereka.
Dalam masa sama, Maria dihimpit ketakutan kerana dibelenggu
ugutan, diekori dan terus diburu individu misteri yang melakukan
pelbagai cara bagi menghapuskannya.
Bagi merungkai nasib Maria selanjutnya, pembaca perlu mendapatkan
novel terbitan Karnadya Solutions Sdn Bhd yang sarat mesej mengenai
pancaroba kehidupan yang mampu menyesatkan manusia jika tidak ditangani
dengan keimanan dan menggunakan nikmat akal yang dianugerahi tuhan
sebaiknya.
No comments:
Post a Comment