Thursday

Novel Cabul Bukan Untuk Orang Islam

Kalau kita sedar bahawa ada dua malaikat yang menjaga dan mencatat segala tulisan, kata-kata dan perbuatan kita, kita akan sedaya upaya menjaga semuanya. Apa yang kita tulis dan apa yang kita cakap tidak akan boleh dipadam sehingga kiamat. Jangan disebabkan alasan mahu buku laris atau takut bisnes tidak maju, maka kita pun sanggup menulis dan menjual buku-buku yang ada unsur-unsur cabul di dalamnya.

Apa sahaja yang kita buat harus seiring dengan agama. Tidak boleh kita asingkan. Jikalau kita bermati-matian mahu mempertahankan cara kita, maka kita sudah engkar dengan Tuhan. Malangnya, ada golongan yang tidak suka ditegur apabila perkara ini berlaku. Pada mereka, mereka boleh bebas menulis apa sahaja atau membaca apa sahaja. Jika ada yang menentang, mereka anggap bodoh dan ketinggalan zaman.

Jika kita memahami agama kita, kita patut faham mengapa Allah menyuruh kita membuat kebaikan, menyuruh kita menutup aurat, menjaga lisan dan perbuatan, dan mengapa Allah menyediakan dua malaikat untuk menjaga kita dan memerhatikan kita.

Allah tidak akan suruh malaikat mencatat jika tidak ada sebabnya. Sebabnya ialah kita akan dihisab dan akan dinilai melalui buku amalan kita. Mahukah kita jika buku amalan kita dipenuhi dengan noda? Noda menulis cerita cabul, noda membuka laman web cabul dan noda membaca cerita cabul? Walaupun sekelumit, ia pasti akan ternoda dan malaikat pasti akan menulis. Jika noda itu tidak dibasuh dengan wuduk dan solat juga istighfar dan taubat, ia akan semakin membesar dan akhirnya menjadi titik-titik hitam dalam hati kita. Apabila hati sudah gelap, maka apa pun sudah tidak nampak lagi. Jika hati sudah buta, semua yang kita tulis dan buat, kita langsung tidak berasa berdosa. Malah, berasa nikmat atas salahnya kita.

Sebagai insan seagama, saya berasa resah dengan fenomena begini. Hendak ditegur, bimbang dimarahi. Hendak didiamkan, bimbang Allah murka. Maka, yang mana satu harus saya dahulukan? Sudah pasti suruhan Tuhan.

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Surah Al 'Asr) 

Allah kata rugilah kita jika kita tidak berpesan-pesan. Maka, saya memohon marilah kita ubah pemikiran kita dan mulalah kita menjadi hamba-Nya yang taat. Biarlah rezeki yang kita dapat itu ada barakahnya.

Kalau tidak ada satu buku pun yang cabul, maka tidak ada pembaca yang akan membeli dan hanyalah yang baik-baik sahaja akan dibeli oleh mereka, Dan ini harus dimulakan oleh penulis dan penerbit buku. Namun, apabila melihat longgokan buku-buku sedemikan di pasaran, saya hanya mampu menapis apa yang baik dan buruk untuk saya dan keluarga dan mendoakan agar tidak ada anak-anak kita yang terbeli dan terbaca cerita-cerita sedemikian.

Ingat, kita hidup untuk mempersiapkan diri untuk mati, dan bukan hidup untuk ingat kita akan hidup selama-lamanya. Maka, apa sahaja yang kita buat haruslah menepati suruhan Tuhan.

Namun, ramainya manusia yang bangga kerana engkar dengan Tuhan, malah menganggap mereka tidak ada salah apa-apa dengan Tuhan. Yang mahu menjadi baik, dituduh pula ekstrim atau fanatik.

Apakah engkar dengan Tuhan sudah dilihat sebagai sesuatu yang harus dibanggakan?

Kita Islam. Ada beza dengan yang bukan Islam.

Mengapa mahu mengikut cara mereka?




Tuesday

Maaf Cakap Tetapi Terpaksa Cakap

Sebenarnya saya mempunyai dua manuskrip yang sudah siap namun masih belum diterbitkan oleh mana-mana penerbit pun. Satu sudah dihantar dan diterima, tetapi saya menarik balik kerana cara mereka yang tidak profesional. Walaupun buku-buku mereka laris namun cara pengurusan dan cara mereka melayan penulis juga penting untuk saya. Ini saya nilai berdasarkan cara mereka menjawab emel-emel saya secara acuh tak acuh dan kemampuan mereka meyakinkan saya bahawa mereka tahu apa yang mereka lakukan. Supaya tidak ditipu dengan ilusi dan buku laku keras namun royalti tidak dibayar, saya rela ia tidak dibukukan oleh mereka.

Kedua, manuskrip itu sudah diterima, sudah siap 70 peratus rekaan kulit bukunya, sudah akan dicetak namun entah di mana silapnya, mungkin kerana birokrasi, editornya terus mendiamkan diri sehingga sekarang. Lalu, ia dinilai oleh editor yang baharu dan ditolak setelah semuanya hampir diterbitkan. Lalu, si editor memberikan saya satu tajuk buku yang harus ditiru oleh saya kerana katanya itulah cara yang 'trending' sekarang ini.

Saya hanya mampu diam dan menggeleng kepala. Buku yang disarankan saya baca ialah buku gaduh-gaduh lelaki dan perempuan, benci-benci dan kemudiannya jatuh cinta. Amat berlambak di pasaran sekarang.

Tiba-tiba saya berasa simpati. Beginikah caranya penerbit mahu bersaing dalam bidang penerbitan? Semua buat dan jual karipap, maka kita pun menukar strategi menjual dan membuat karipap padahal kita sudah menjual crepe durian dan kek keju?

Mungkin yang silapnya ialah pemasaran. Tiada kumpulan yang berusaha keras untuk memasarkan buku dan penulis sehingga banyak buku tidak boleh dijual walaupun sebelum itu laku keras. Selain itu, memberikan tugasan kepada anak-anak muda baru lulus universiti untuk menguruskan perniagaan pun ada risikonya. Mereka banyak bekerja mengikut emosi lalu menjadi terikut-ikut dengan trend terkini. Editor yang masih mentah harus dibimbing kerana mereka tidak memahami skop tugasan mereka dan tidak banyak melakukan tugasan penyuntingan, sebaliknya diserahkan semula kepada penulis tanpa apa-apa panduan khusus untuk pembetulan dan sebagainya.

Penulis pula yang disalahkan kerana tidak mempromosi buku namun kita harus ingat bahawa penulis mungkin tidak mempunyai daya, kudrat, sumber kewangan, 'networking' yang hebat untuk menjual buku dan mempromosinya secara sendirian malah besar-besaran.

Paling banyak pun mungkin setakat seratus dua buku. Selebihnya siapa mahu jual kalau bukan kedai buku?

Di sinilah perlunya strategi pemasaran yang hebat dan promosi yang hebat. Bukan mengurangkan kualiti penulisan buku dan menjadi sama seperti mereka yang menggadaikan bahasa.

Maka, kedua-dua manuskrip itu saya akan perap dahulu sampai tiba masanya.

I am not in a hurry.

Maaf cakap tetapi terpaksa cakap.