Tuesday

Permainan Amerika, Dajjal dan Misteri Kehilangan Pesawat MH370

Semakin lama semakin nampak permainan Amerika Syarikat di dalam misi pencarian MH370 ini. Semakin lama teori mereka semakin tak masuk akal pula. Terasa seperti kerajaan dan rakyat Malaysia diperbodohkan dengan teori mereka. Terasa seperti mereka sengaja membawa lari pencarian ke lokasi yang salah. Semakin lama semakin jauh dan semakin luas kawasan pencariannya. Lebih 600 lokasi yang memungkinkan? Berapa lama mahu jumpa?

Jika kita mengikuti sejarah Amerika Syarikat dan permainan politiknya terutama di dalam menakluki negara-negara Islam, sedikit sebanyak terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena sejak akhir-akhir ini.

Dan semakin banyak saya membaca tentang dajjal, semakin saya rasa yakin merekalah dajjal itu yang 'mengaku' mereka tuhan dan siapa yang mengikuti mereka seumpama seseorang yang buta sebelah matanya.

Bertuhankan budaya, cara hidup, ideologi dan matlamat mereka ini boleh membawa kehancuran kepada umat Islam di Malaysia.

Kita kena bersatu. Jangan kata kita tak mahu peduli kerana jika tersilap, kita semua akan diheret ke dalam permainan ini. Lihat sahaja apa yang sudah terjadi di Iraq, Syria dan Mesir. Semuanya sudah 'dijajah' oleh Amerika. Mahukah kita jika negara kita dijajahi oleh kuasa ini? Ke mana kita mahu lari?

Dan Malaysia ialah satu negara Islam yang masih belum berjaya untuk mereka tembusi dan takluki. Semasa zaman Tun M, mereka tak boleh tembus langsung. Namun, sekarang sudah nampak usaha-usaha itu melalui beberapa cara.

Buat orang Kristian, Islam itu ialah dajjal (anti-christ) dan harus dihapuskan. Itu sebab mereka tak pernah jemu menyerang orang Islam sejak dari dahulu lagi. Mereka memang mahu orang Islam terhapus di muka bumi. Mereka menggunakan media untuk memberikan gambaran bahawa orang Islam ialah pengganas.

Jangan kata kita tak mahu tahu, sebab mahu atau tidak, hidup kita dikuasai oleh orang-orang politik yang samada akan memelihara atau menghancurkan negara kita di masa hadapan. Lebih parah, jika ia kesilapan memilih kawan atau menyusun strategi.

Wednesday

Pengalaman Penerbangan dengan MAS

Pengalaman paling menakutkan naik pesawat, apabila berlaku cuaca buruk di mana pesawat MAS terpaksa menjunam turun dan naik untuk mengelak awan. Macam roller coaster. Habis makanan jatuh dan tumpah. Penerbangan terpaksa patah balik sebab cuaca masih buruk.

Pengalaman kedua menakutkan apabila pesawat Saudi Airlines mahu berlepas dan pesawat itu bergegar-gegar seolah susah mahu berlepas dan naik ke udara dan bunyi krek...krek... juga kedengaran. Dalam hati, nak pecah ke pesawat ni. Alhamdulillah, semua selamat.

Pengalaman ketiga menakutkan apabila pesawat MAS terbang cukup rendah di atas aparmen dan bangunan di Jordan seolah bila-bila saja ia boleh melanggar bangunan-bangunan tersebut. Tak dapat dibayangkan bagaimana penduduk di kawasan itu menahan bunyi kuat pesawat sepanjang masa. Risiko juga amat tinggi.

Pengalaman paling saya ingati, apabila pesawat MAS mendarat di London dan semua penumpang bertepuk tangan kerana ia mendarat dengan begitu baik sekali seolah rodanya tidak pernah mencecah tanah.

Pengalaman paling saya hairan, apabila seorang pramugari Arab yang berwajah masam menumpahkan air ke baju saya tanpa memohon maaf dan berlalu pergi.

Pengalaman paling saya tidak suka, apabila saya duduk di sebelah warga asing dan sepanjang perjalanan dia meneguk wain merah tanpa henti-henti. Baunya menusuk sehingga ke tiba destinasi.

Pengalaman agak mencemaskan, apabila saya terbang seorang ke Jeddah dan penerbangan terpaksa ditunda selama lapan jam akibat kerosakan yang baru disedari setelah hampir mahu berlepas.

Moralnya, tidak ada penerbangan yang sempurna. Ada yang baik dan ada yang mencemaskan. Namun, sepanjang pengalaman itu, saya dapati krew MAS ialah yang paling menghormati penumpang dan sentiasa berwajah manis. 

Sementara itu, marilah kita berdoa untuk pesawat MH370.

May God brings you back home.

Friday

Promosi Novel : Tugas Penulis atau Penerbit?

Kalau nak bercakap pasal penerbit, macam-macam cerita yang kita dengar. Ada penerbit yang tidak jujur, royalti tidak diberi dan ada juga mengambil masa yang amat lama untuk memberikan maklum balas samada manuskrip kita itu diterima atau tidak, malah ada yang senyap sama sekali.

Ada juga cerita di mana penerbit pilih kasih. Balik-balik penulis yang sama itu juga diketengahkan. Penulis ikan bilis terpaksa makan hati dan terkapai-kapai mencari arah tujuan. Kalau jualan tak mencecah jutaan, maka jangan haraplah nak dapat promosi.

Namun, haruskah perkara ini terjadi? Pada pendapat saya, penerbit harus membantu penulis baru yang belum ada nama. Penerbit tidak hanya boleh memikirkan untung semata-mata sehingga meminggirkan penulis ikan bilis. Cuba fikir, jika penerbit memainkan lebih peranan mempromosikan buku dan penulis ikan bilis ini, besar kemungkinan buku dan namanya akan cepat dikenali lagi. Secara tidak langsung, jualan pun meningkat dan lama-lama mungkin akan menjadi penulis tersohor yang mengutip jualan mega. Dan penerbit juga yang akan menjadi lebih kaya.

Tidak semua penulis mempunyai tenaga, wang dan kemahiran untuk mempromosikan bukunya. Mungkin kekangan tanggungjawab dan masa juga membataskan aktivitinya. Maka, penerbit dan penulis harus berganding bahu mencari jalan mempromosikan buku penulis ikan bilis ini yang mungkin lebih baik atau setanding dengan penulis-penulis tersohor.

Penerbit juga harus menjadi insan. Editor juga haruslah bekerjasama dengan penulis. Sama-sama memberikan peluang kepada penulis baru atau penulis ikan bilis untuk maju dan bukan hanya fikir, 'aku nak promote penulis ikan paus sahaja supaya kantung wang aku lebih cepat penuh.' Walau pun ia bisnes untuk penerbit, jika penerbit memberikan peluang yang sama rata buat penulis-penulis baru atau ikan bilis, mungkin mereka juga akan meningkatkan jualan buku mereka dan lebih cepat dikenali.

Tapi, ada buku yang tiada di kedai buku atau diletakkan di rak bawah sekali. Di mana peranan pengurus jualan atau marketing? Mereka inilah yang seharusnya membantu mempromosikan buku-buku baru dan bukan hanya meletakkan buku-buku tertentu sahaja di rak. Yakinkan pemilik kedai buku bahawa buku ini bagus dan boleh dijual. Jangan bagi alasan, pemilik kedai buku tak mahu buku itu kerana penulisnya tak terkenal. Jika begitu, sampai bila-bila pun penulis baru atau ikan bilis tak akan dikenali.

Promosi, promosi, promosi.

Memang bukan hanya tugas penerbit, tapi dengan kepakaran, tenaga dan wang penerbit, ia lebih banyak dapat membantu penulis ikan bilis terutamanya yang baru hendak bertapak.

Lagipun, mengapa penulis 'tersohor atau popular' masih lagi dipromosikan penerbit habis-habisan? Tak bolehkah mereka jual dan promosi sendiri buku mereka jika itulah alasannya? Bukankah mereka sudah terkenal? Tak perlu promosi besar pun orang masih mencari buku mereka.

Nampakkan?

I rest my case.