Thursday

Salju Putih Idaman Lara

Bunyi hembusan bayu yang menguak langsir biru mengejutkan Lara dari tidur. Entah bila jendela itu terbuka tidak Lara ketahui. Semalaman Lara terlelap di bucu katil sehingga jendela yang meniup bayu dingin itu terus menerus menebarkan udara dingin di dalam biliknya yang sempit. 

"Ahh... Aku lupa menutup tingkap." Lara menenyeh matanya yang bengkak kerana kekurangan tidur. Juga dek menangis sepanjang malam melayan kerinduan buat mama dan papa nun jauh di Malaysia. Lalu, Lara menguatkan diri untuk bangun dengan mata yang separuh terbuka lantas menuju ke jendela yang cuma beberapa ela dari katilnya. Jam menunjukkan pukul enam pagi dan di luar sana masih lagi gelap. Namun, kedinginan yang terasa cukup kuat sehingga menyengat ke tulang yang paling dalam. Lara mengeluh. Tiada apa-apa di luar sana, cuma bunyian kereta yang kekadang lalu lalang dan selebihnya cumalah bunyian angin yang menderu laju.

"Tidurlah balik..." Lara cuba memujuk hati yang keluh kesah. Berita di stesyen TV BBC London meramalkan bahawa salji lebat bakal turun di kawasan tengah England di mana Lara tinggal. Sejak itu hati Lara menjadi keluh kesah bak ibu kucing yang kehilangan anaknya. Besok Lara mempunyai temu janji dengan tuan rumahnya yang lama. Sudah berjanji mahu memulangkan semula kunci rumahnya yang sepatutnya dipulangkan dua minggu lepas. Jika salji turun, kemungkinan besar Lara tidak boleh memenuhi temu janji itu kerana Lara tidak bisa berjalan di atas salji yang tebal. Hatinya berdegup kencang bimbang jika salji itu bisa membuat semua urusannya tergendala. Maka, sebelum melelapkan matanya, Lara sempat berdoa pada Tuhan agar jika salji ditakdirkan mahu turun agar ianya boleh dilambatkan sehari supaya dia boleh ketemuan dengan tuan rumahnya yang dulu iaitu Puan Salma Khan yang sudah membebel ratusan kali meminta kunci rumahnya dipulangkan segera. Nasibnya baik. Sehingga jam enam pagi masih belum ada tanda bahawa salji akan turun. Maka, Lara melelapkan matanya semula setelah bimbangnya sedikit reda.   

"Woosh!" Bunyian di luar jendela terus mengejutkan Lara dari lena. Matanya terus terpaut pada jendela kaca yang lebar yang dibiarkan tanpa langsir. Keadaan sunyi seketika dan ketika itulah mata Lara terlihat kepulan-kepulan putih turun satu persatu dari langit dan jatuh ke bumi dengan perlahan. Bak gumpalan kapas, Lara melihat buat pertama kalinya salji nan putih membasahi jalan dan lorong tanpa henti-henti. 

"Ahh... MasyaAllah. Cantiknya!" Terpacul pujian daripada mulut Lara akan ciptaan Allah yang luar biasa. Memang Lara kepingin benar mahu melihat salji dengan matanya sendiri dan akhirnya Lara bisa melihat salji nan putih turun satu persatu di hadapan matanya. 

"Ahh... Alin tentu suka. Mungkin dia sudah bangun pun." Lara melompat dari katilnya dan menuju ke bilik Alin di sebelah. Memang Alin sudah bangun namun Alin tiada di biliknya.

"Alin!" Suara Lara bergema. Matanya meliar melihat jika Alin ada di situ atau mungkin di bilik mandi. Namun kelibat Alin masih tidak nampak. Tiba-tiba muncul seorang gadis manis yang bertudung merah sedang memegang kamera digitalnya dengan satu senyuman yang lebar.

"Aku sudah dapat!" Suara Alin pula yang bergema memenuhi ruang. 

"Dapat apa?" Bingung benar Lara nampaknya.

"Aku sudah dapat mengambil gambar salji turun!" Gadis manis itu hampir melonjak kegembiraan. Matanya yang bulat bersinar dan barisan giginya yang teratur menambahkan lagi kemanisan wajahnya. Lara cuma membatu. Jika diikutkan, memang Laralah yang kepingin benar mahu mengambil gambar salji turun. tapi, nampak gayanya Alin sudah mendahului niatnya.

"Ala... Aku yang berangan mahu ambil gambar salji turun. Alin ni potong steam la..." Lara menarik muka masam. 

"Takpe. Jom turun ke bawah, aku nak ambil banyak lagi gambar ni! Jom!" Alin menarik tangan Lara tanpa banyak soal. Lara sudah tidak mampu membantah kerana Alin sudahpun bergerak ke muka pintu dan menarik baju kotnya yang tebal. 

"Nanti! Aku nak tukar baju!" Lara menjerit kesukaan.

"Tak payah! Aku nak cepat, nanti lambat ke kelas pula." Alin sudah meluru ke lif aparmen di tingkat enam itu. Mahu atau tidak, Lara terus mencapai kotnya yang tebal dan mengikuti Alin dari belakang. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, angin yang amat dingin menerpa ke wajah Lara dan Alin. Salji yang memutih masih lagi turun seolah tidak mahu berhenti. Lantai dan jalan cukup licin dan basah. Gumpalan bak kapas yang turun itu terus menjadi ais yang mencair apabila ianya jatuh ke tanah. Lara mahu cepat. Alin sudah maju ke hadapannya dan sibuk memetik punat kamera. Dengan langkah yang pantas, Lara berlari-lari anak dan cuba mengejar Alin. Tiba-tiba terasa tapak kakinya membeku seolah dicucuk duri-duri halus. Belum sempat Lara berfikir, berdentum! Punggungnya mencecah jalan yang licin dan berais tanpa simpati. Alin ternganga melihat Lara sudah tersembam di atas jalan. Kakinya sudah kebiruan dan kekejangan. Alin pantas menuju ke arah Lara sambil menjerit kecil.

"Lara! Kamu tak apa-apa?" Alin membongkok dan cuba menarik Lara untuk bangun.

"Aku okey... Cuma kaki aku sejuk dan beku. Tolong, aku nak masuk dalam." Lara memohon Alin menolongnya dengan suara yang terketar-ketar. Alin melihat ke bawah dan ketawa tiba-tiba.

"Lara! Kenapa kamu pakai selipar? Patutlah kaki kamu beku!" Alin cuba menahan ketawa namun tidak berjaya.

"Aku teruja sangat mahu melihat salji yang putih sampai terlupa nak pakai kasut." Perlahan sahaja suara Lara kerana menahan pedih di kakinya. Tanpa banyak soal, Alin memimpin Lara masuk ke dalam bangunan dan menuju ke lif. Beberapa orang yang mundar mandir melihat gelagat Lara dan Alin bak melihat orang tidak siuman di jalanan. Malunya bukan kepalang. Lara tahu mungkin ada di antara mereka yang menyangka bahawa dirinya kurang siuman kerana berjalan di atas salji hanya dengan memakai selipar jepun. 

"Itulah... Lain kali kalau teruja sangat pun, sarunglah kasut dulu. Mana ada orang pakai selipar atas salji!" Alin kelucuan.

"Yalah... Silap aku. Sebab nak tengok salji putih idaman aku, langsung terlupa nak pakai kasut." Lara mengetip bibir menahan malu. Maka, pada petangnya Lara terus ke kedai kasut untuk membeli sepasang but baru yang sesuai untuk dipakai di atas salji.

"Kasut yang ada tapaknya licin!" Itulah alasan Lara ketika disoal oleh Alin semasa mahu membeli kasut yang sesuai digayakan di musim sejuk.

"Yalah! Apa sajalah." Alin hanya menurut. Kedua-duanya ketawa geli hati. Dan temujanji Lara dengan tuan rumah lama itu nampak gayanya tertunda lagi. Tapi, apa Lara peduli kerana kasut idamannya haruslah vogue dan terkini buat musim salji yang baru pertama kali dialami!                

Besarnya Basikal!

Siapa pernah melawat kota Jeddah atau menetap di sana? Atau singgah sebentar di bandar Jeddah ketika menunaikan umrah? Saya pernah melalui kedua-dua pengalaman itu. Pernah singgah sebentar di kota Jeddah ketika menjadi tetamu Allah di kota Makkah dan Madinah, juga pernah menetap di Jeddah dan menikmati banyak perkara dan peluang yang mungkin tidak boleh dirasai oleh kebanyakan daripada kita. Alhamdulillah. Banyak perkara baru dan pengalaman unik yang saya perolehi ketika tinggal di sana. Kalau nak cerita, memang banyak juga. 
Namun, kali ini saya hanya mahu bercerita tentang tugu-tugu gergasi yang banyak di tengah-tengah jalan di kota Jeddah ini. Setiap kali melewati 'round about' di Jeddah, mesti ada tugu-tugu gergasi yang pelbagai rupa dan bentuk. Pergi mana-mana pun mesti ada tugu-tugu ni. Ada tugu kapal terbang, ornamen, lampu, bentuk-bentuk abstrak dan banyak lagi. Di pesisiran pantainya pun penuh dengan tugu. Tapi, setiap kali kita melalui kawasan yang ada tugu basikal ni, saya mesti tergelak sebab terasa lucu melihat basikal gergasi di tengah jalan. Tujuannya supaya pemandu tidak sesat jalan dan tahu dimanakah kawasan mereka hanya dengan melihat tugu-tugu sebegini. Tapi rasa membazir saja buat macam-macam tugu seperti ini. Terlalu banyak! Kalau tak percaya, jika ke Jeddah, cuba pusing satu bandar, memang banyak tugu!
Ini baru kisah tugu. Jika ada kelapangan, saya akan bercerita pula beberapa kisah lucu dan tidak berapa lucu yang berlaku di sana di entri yang lain pula! Tunggu!
 

Sunday

Little Chef Workshop

Cuti sekolah baru-baru ini saya dan adik membawa anak-anak kami ke Alamanda, Putrajaya. Selepas singgah sebentar di MPH, kami meronda-ronda sebentar. Bukan niat mahu membeli apa-apa, cuma mahu window shopping saja. Sedang kami berjalan-jalan melihat barangan yang dijual, kami terjumpa satu gerai yang membuat workshop bakeri buat kanak-kanak. Gerainya tidaklah besar mana, namun cukup menarik minat kami untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi. Ada sebuah meja kecil dan beberapa orang kanak-kanak sedang menyiapkan tarts. Suka dengan apa yang kami lihat, kami pun mengajak anak-anak kami untuk mengambil bahagian. Mereka memang teruja untuk menilai kemahiran masing-masing. Dengan bayaran RM 10 seorang, anak-anak kami pun disuruh duduk. Mereka dipakaian skaf kepala yang berbelang dan berwarna warni, cukup meriah!

Pada mulanya, saya ragu-ragu juga... Bolehkah anak-anak dara sunti saya membuat tarts dan memotong bawang, namun mereka ternyata amat berbakat dan mudah mengikuti apa yang diajarkan. Di dalam masa setengah jam saja, mereka sudah menghabiskan apa yang disuruh dan hasilnya cukup membanggakan saya. Dapat jugalah saya merasa tarts tuna dan buah-buahan yang disediakan dan ianya memang lazat!