Monday

Tentang Novel Glamor & Vogue, Itulah Aku!


Gembira dan teruja! Begitulah perasaan saya ketika buku ini diterbitkan beberapa hari yang lepas oleh PTS Litera, iaitu salah satu syarikat penerbitan Bumiputra yang terulung. Sejak buku pertama saya, Salahkah Aku? diterbitkan, saya memasang niat untuk menulis dengan syarikat PTS kerana itulah cita-cita yang saya pasang sejak pembabitan awal saya di dalam bidang penulisan. Sebenarnya, manuskrip novel Salahkah Aku? telah dihantar ke syarikat PTS terlebih dahulu sebelum diterbitkan oleh Karnadya Solutions. Namun, setelah beberapa bulan dan beberapa emel yang saya hantar, saya tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak PTS lantas saya mencari penerbit yang lain. Alhamdulillah, akhirnya novel sulung saya itu diterbitkan juga dua tahun lepas.


Hendak dijadikan cerita, saya juga mempunyai satu lagi manuskrip, iaitu manuskrip pertama yang dihantar ke Sayembara Penulisan Novel Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tiga tahun lepas. Saya tidak menang apa-apa lalu saya menghantar manuskrip itu ke PTS setelah merombak, menambah dan membuang apa-apa perenggan yang patut supaya ianya lebih mantap. Saya mendapat jawapan daripada Editor yang terbabit dan mengucapkan tahniah kerana berjaya menghasilkan cerita yang baik dan berkualiti, namun syarikat PTS tidak menggalakkan cerita berkenaan konflik keluarga dipaparkan di dalam bentuk novel. Maka, manuskrip saya itu ditolak.

Agak kecewa, saya membalas semula kepada Editornya dan mempertahankan cerita saya. Beberapa hari kemudian, beliau menghubungi saya dan mempelawa saya menulis cerita berbentuk humor untuk syarikat PTS Litera. Saya menyambut cabaran itu dan mula berfikir cerita apakah yang sesuai untuk diterbitkan oleh syarikat itu dan dapat memenuhi kriteria mereka. Akhirnya, saya mendapat satu idea setelah berhelai kertas dijadikan catatan apa sahaja yang terlintas di fikiran. Saya mahu menulis kisah seorang gadis atau wanita yang mempunyai satu minat, azam atau cita-cita yang tersendiri. Dan saya mula berfikir apakah watak atau jalan cerita yang boleh menarik pihak PTS untuk menerima manuskrip saya. Maka, setelah beberapa hari, saya mendapat idea untuk menulis kisah yang ringan dan lucu namun agak pantas. Kisah seorang gadis yang mengimpikan percutian yang mewah dan penuh glamor dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai impiannya. Maka, saya mula menulis sinopsisnya dan setelah yakin, saya menghantar sinopsis itu kepada Editor PTS Litera. 

Di dalam beberapa hari, saya mendapat jawapan yang saya nanti-nantikan. Sinopsis saya diterima dan saya diminta menulis cerita tersebut di dalam masa tiga bulan. Alhamdulilllah, saya bersetuju dan selepas itu, saya berhempas pulas menyiapkan kerja saya selama tiga bulan tanpa henti. Dan akhirnya, lahirlah novel Glamor & Vogue, Itulah Aku! yang penuh dengan kisah lucu, watak utama  yang agak 'over' dan dicap sebagai 'pentingkan diri sendiri' oleh teman sebiliknya.

Saya begitu senang dan enjoy ketika menulis manuskrip ini kerana ianya ringan dan apa yang perlu saya buat ialah menggambarkan bagaimanakah watak Anatalia itu hendak digambarkan sebagai berangan-angan tinggi sehingga ada kalanya tidak mempunyai perasaan malu. Ada kalanya saya tersenyum atau ketawa sendiri membaca cerita dan watak-watak yang ada di dalamnya. Saya mahu mengujudkan kontra di dalam perwatakan utama dan pembantu, jadi watak Anatalia dan Shasha saya gambarkan bagaikan langit dan bumi. Namun, itulah yang membuatkan cerita ini menarik dan tidak jemu. 

Cerita ini juga membawa pembaca merantau ke seluruh dunia dengan Anatalia, iaitu watak utamanya dan mungkin boleh memberikan sedikit maklumat yang menarik tentang ilmu alam dan keistimewaan sesebuah negara itu di dalam konteks pemikiran dan harapan Anatalia. Semuanya digambarkan dari kaca matanya dan di situlah terbitnya kelucuan dan insiden-insiden yang lucu malah ada yang memalukannya dan membuat orang meradang kerana Anatalia sentiasa mahu bertahan dengan cara dan pendiriannnya. Dengan erti kata lain, Anatalia mahu kelihatan glamor dan vogue sepanjang masa tidak kira di mana dia berada. 

Saya sudah mempunyai perancangan untuk membuat sequel kepada novel ini. Namun, saya harus juga melihat kepada sambutannya dahulu. Semoga novel ini mendapat tempat di hati pembaca dan semoga mereka berpuas hati dengan keletah dan gaya Anatalia yang glamor tak sudah-sudah!       

Thursday

Glamor & Vogue, Itulah Aku!


Novel terbaru saya sudah pun berada di pasaran sekarang! Jika mahu membaca cerita yang agak ringan dan lucu namun ada pengajarannya, silalah capai satu di kedai buku berdekatan anda ya! Anda tidak akan rugi membelinya!
Kisah Anatalia, setiausaha Datuk Saifullah yang glamor lagi vogue! Angan-angannya mahu membeli-belah di New York dan menikmati percutian hebat dan mewah yang penuh glamor! Namun, Anatalia masih berangan-angan sehinggalah dia mendapat peluang yang ditunggu-tunggunya. Anatalia akan mengembara ke serata dunia dengan percuma!

Ya! Hebat, bukan!

Namun, adakah impian Anatalia mahu beli-belah di New York tercapai? Apakah Anatalia akan menjadi terkenal, semakin glamor, dan vogue kerana percutian itu? Hanya Anatalia yang tahu jawapannya! Yang pasti Anatalia mahu kelihatan glamor dan vogue sepanjang masa!

Juga boleh didapati online di :

http://pts.com.my/index.php/buku/glamor-vogue-itulah-aku/

Sunday

Bagaimana Mahu Gembira?

Pagi ini Datuk Maznah Hamid berkongsi sesuatu di laman Facebook yang menarik perhatian saya. Ianya mengenai bagaimana mahu mencapai bahagia. Saya percaya ramai insan di luar sana yang mencari-cari kebahagiaan. Ada yang menjumpainya dan masih ada yang terkial-kial bak layang-layang kerana masih belum ketemu kebahagiaan yang dicari. Walaupun sudah mempunyai harta dan pangkat juga keluarga, masih ada segelinitr yang tidak bertemu sesuatu di dalam dirinya lantas kehidupannya menjadi hambar dan kosong. Hati merasa gundah, jiwa menjadi tidak tenang dan diri cepat menjadi emosi dan marah. 

Mengapa terjadi sedemikian? Keadaan itu terjadi kerana kita masih belum mampu menerima keadaan seadanya dan mengharapkan sesuatu yang terlalu ideal sehingga kita tidak boleh merasa bahagia. Ada juga yang mudah iri hati dan tidak boleh melihat orang lain mengecap kejayaan dan mempunyai sesuatu yang lebih daripada dirinya hatta menyimpan dendam dan benci sehinga mahu melakukan segalanya untuk menjatuhkan orang lain. Apa yang penting, dia merasa puas dapat membuat onar di dalam kehidupan manusia dan mengecap kepuasan dengan bersikap begitu. Namun, hatinya masih belum puas dan gembira kerana selagi ada manusia yang melebihinya, selagi itulah dia akan mencari jalan merosakkan segalanya. Lebih parah jika insan itu gilakan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya dengan menggunakan jalan pintas, menipu atau membuat fitnah. 

Namun, ketahuilah, semakin lama kita bersikap sebegitu, diri menjadi semakin kacau dan tidak tenang. Lantas, bagaimanakah kegembiraan itu mahu dicari? Datuk Maznah Hamid berkongsi beberapa perenggan di bawah yang saya fikir amat benar. Katanya...

"Selagi anda tidak belajar menjadi 'tolerant' bersikap sabar dengan orang yang selalu tidak bersetuju dengan anda…

Selagi anda tidak menjadikan amalan bercakap baik dan memuji orang yang anda 'meluat' dan tidak sukai…

Selagi anda tidak menjadikan amalan sentiasa 'mencari Kebaikan dalam diri setiap orang dari mencari ' Keburukan' mereka...

Selagi anda tidak belajar memaafkan dan melupakan, 'Forgive n Forget' …

Selagi itulah anda tidak akan pernah 'Gembira' dan 'Berjaya'
Percaya lah!

Be a good 'Finder'. "

Ya... Memang benar apa yang dikatakannya. Oleh itu, belajarlah bersikap toleransi, memuji kebaikan orang yang tidak kita sukai, mencari kebaikan orang lain daripada keburukannya dan belajar memaafkan dan melupakan kisah lalu agar hati kita sentiasa tenang dan gembira. Juga, jangan pula lupa mengingati Allah dengan sentiasa berzikir dan mohonlah doa yang terbaik untuk kita dan keluarga di dunia dan akhirat. InsyaAllah. 

Saturday

Belailah Jiwamu

Setiap insan yang dijadikan oleh Allah mempunyai jasad dan jiwa. Kedua-duanya perlu diberikan santapan dan belaian supaya sentiasa segar, sihat dan kuat. Ada sesetengah dari kita yang membelai jasadnya namun jiwanya dibiarkan terbengkalai, tidak dijaga dan diurus dengan baik. Maka, jiwa yang berada di dalam diri menjadi keluh kesah, gundah gelana dan dihiasi dengan hasad dengki, prasangka juga menjadi hitam kerana tidak dibasuh dan dicuci dengan zikrullah. 

Melalui ceramah yang saya ikuti di sebuah majid di sini, di dalam hati kita ada segumpalan darah hitam yang perlu dicuci setiap hari. Di situlah syaitan bisa menginap dan membuat hati kita semakin busuk dan kotor. Cara yang paling efektif untuk membuang darah hitam yang kotor itu ialah dengan berzikir dan bersolat juga sentiasa bersangka baik. Namun, ramai di antara kita yang gagal mengawal hati dan emosi lalu semakin lama ianya menjadi semakin hitam dan busuk. 

Percayalah, hati yang kotor dan jiwa yang celaru akan terpancar di raut wajah kita. Riak wajah kita menceritakan segala apa yang tersimpan di dalam hati. Maka ada manusia yang bersih dan tenang riak wajahnya, namun ada juga manusia yang riak wajahnya kelihatan kusam, tidak bermaya malah kelihatan kusut. Ada juga yang kelihatan amat garang seolah menceitakan gelodak di dalam hatinya.

Percayalah bahawa jiwa yang tenang perlu dibelai. Jiwa yang tenang tidak akan tercapai jika hawa nafsu menguasai diri. Tidak boleh melihat orang lain lebih baik, mulalah hati mahukan yang lebih baik. Tidak boleh melihat rakan yang membeli barangan mahal dan berjenama, hatipun mula mencemburui. Tidak boleh melihat orang lain yang berkuasa, hati pun mahu bersaing agar lebih berkuasa. Tidak senang melihat kawan membuat hidangan yang enak, hatipun mahu berlumba dengan niat mahu membuktikan kita lebih hebat.

Maka hatinya sudah rosak kerana tidak boleh melihat orang lain mendahului atau melebihi diri. Ini semua adalah satu penyakit jiwa yang kita tidak sedari. Hindarilah ia sebelum ianya memakan dan merosakkan hati kita. Sebaik-baiknya tanamlah sifat merendah diri dan tidak suka menunjuk kita lebih hebat dan handal, kerana sehebat manapun kita pasti ada yang lebih baik lagi. 

Belailah jiwamu dengan sentiasa mengingati bahawa Tuhan itu adil, sukakan kesederhanaan dan tidak suka kita berlebihan. Belailah jiwamu dengan sentiasa mengingati bahawa sifat riak dan berprasangka buruk tidak akan memberi kita apa-apa kebaikan dan pahala malah mengundang dosa. Semaikanlah di dalam diri bahawa kita mahu melakukan kebaikan dan menghindarkan kemungkaran. Perbaikilah hati kita sebelum kita membaiki jasad kita kerana jiwa yang tidak tenang akan memberi kesan kepada jasadnya. Jasad yang berjiwa hitam akan sentiasa tidak berpuas hati dan sukar membelai jiwanya kerana sudahpun ditakluki syaitan. Jasad yang berjiwa kotor akan selalu mengeluarkan kata-kata kesat, kotor dan tidak berhemah kerana itulah lontaran dari jiwanya yang bercelaru.

Sama-samalah kita membaiki hati kerana sesungguhnya Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa segalanya bermula dari hati. Belailah jiwamu dan cucilah ia dengan berzikir dan bersifat sederhana. Jika hati mulai berkata dan berprasangka, segeralah bersihkannya dengan zikrullah dan segeralah memohon keampunan dariNya supaya hati kita tidak menjadi semakin hitam dan kotor kerana jika hati sudah tenat, agak sukar untuk menyembuhkannnya semula. Wallahua'alam.

Wednesday

Jangan Pandang Belakang

Ini bukan kisah filem Jangan Pandang Belakang. Ini adalah salah satu daripada moto kehidupan yang saya amalkan. Setiap dari kita sudah pasti mempunyai kisah hidup di masa lampau. Daripada kita di dalam rahim ibu sehinggalah kita lahir, menjadi kanak-kanak, dewasa dan seterusnya meningkat umur tua. Selagi kita bernyawa, semua perjalanan dan fasa ini harus kita tempuh sehinggalah kita dipanggilNya. Namun, semua perjalanan kehidupan yang sudah kita tempuh itu tidak perlu dikenang dan difikirkan sehingga boleh menimbulkan tekanan kepada kita. Layarilah hari ini dengan perkara yang memberikan manfaat dan janganlah diusik lagi memori silam. 

Mungkin hati kita pernah terluka dengan ibu bapa, kawan-kawan, saudara mara malah majikan atau pemerintah, atau mungkin hati pernah membenci dan memberontak, juga mungkin kita mengalami pengalaman yang tidak membahagiakan. Namun, itu semua sudah menjadi sejarah. Hari inilah hari yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Jangan lagi pandang ke belakang dan fikirkanlah perkara yang mahu dilakukan pada hari ini dan akan datang. Jangan membiarkan diri anda dihantui kesilapan lalu, seeloknya gunakanlah kesilapan itu sebagai spot check diri untuk terus memandang ke hadapan. 

Ada segelintir dari kita yang mempunyai jiwa yang rapuh dan mudah goyah. Lantas, kerapuhan itu membuat hati tidak tenang dan murung. Kuatkanlah jiwa dan keimanan dan yakinlah bahawa Allah sentiasa menyayangi kita selagi kita tidak menyekutukannya. Solatlah dan berdoalah dan berzikirlah kerana itu salah satu cara untuk menenangkan dan membersihkan hati. Jangan biarkan diri anda 'terlekat' di masa lampau kerana itu tidak akan membawa apa-apa kebahagiaan kepada diri. Senyumlah dan sentiasa berfikiran positif dan jauhilah syak wasangka dan hasutan syaitan yang selalu mahukan kita tewas dengan emosi.  

Jiwa menjadi rapuh dan goyah jika tidak disirami dengan pemikiran yang positif. Ada segelintir manusia yang menyalurkan kecelaruan emosi dengan memaki dan berkata yang tidak enak. Buka saja internet dan facebook, anda pasti setuju ramai manusia di luar sana yang jiwa dan hatinya sakit malah sudah agak tenat. Jadi, bersihkanlah jiwamu, tukarlah pemikiranmu... Selalulah berfikiran yang baik-baik dan janganlah pandang ke belakang lagi kerana itu tidak akan membawa faedah malah mungkin akan merosakkan lagi hatimu.